Wajarkah Menteri Membaca Teks Jawaban Di Parlimen?

Tular video di Twitter beberapa minggu yang lalu berkenaan segelintir menteri yang membaca teks jawaban ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), antaranya adalah petikan video Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beberapa ahli parlimen pembangkang telah mengkritik pendekatan Siti Zailah yang terus-menerus membaca teks jawaban sewaktu penggulungan RMK12 tanpa memberi ruang kepada wakil rakyat mendapatkan sebarang penjelasan. Insiden ini telah mendapat reaksi negatif orang awam yang rata-ratanya kecewa dengan kualiti menteri yang tidak mampu menjawab pertanyaan parlimen dengan baik.

Ini bukanlah perkara baharu dan ia hanya berlaku kepada segelintir menteri. Cuma, amalan yang tidak produktif ini kerap diulangi oleh jemaah menteri sehingga menjejaskan integriti dan fungsi parlimen dalam membahaskan isu rakyat dan negara. Perkara ini menjadi punca perbahasan di parlimen mendatar dan lebih kepada mendengar ‘kuliah’ Pak Menteri.

Ketika persidangan Dewan Negara pada September 2020, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim pernah menegur segelintir menteri membaca teks jawaban yang agak panjang sehingga menimbulkan lebih banyak kekeliruan dan sukar difahami oleh ahli parlimen. Teguran ini amat berasas sama sekali.

Maka, tidak harianlah mengapa sistem demokrasi berparlimen sukar berubah jika barisan jemaah menteri sendiri tidak kompeten dalam menyediakan jawaban yang tuntas dan bermakna kepada ahli parlimen.

Jawaban Menteri Yang Sering Mengelirukan

Ada juga segelintir jemaah menteri yang menjawab pertanyaan ahli parlimen dengan memberi penjelasan palsu dan tidak berfakta. Ia pernah berlaku ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul didapati  telah memberi jawaban palsu dengan mendakwa saudari Veveonah Mosibin hanya ‘berlakon’ susah untuk mendapat capaian Internet di Sabah bagi menduduki peperiksaan universitinya.

Kita juga perlu ingat bagaimana kecuaian Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) memberi jawaban tidak tepat di Dewan Rakyat berkenaan pembatalan Ordinan Darurat. Ia telah menjadi punca pergeseran atau konflik antara kerajaan, parlimen dan Yang Di-Pertuan Agong yang mencetuskan krisis politik di tengah-tengah pandemik.

Kelemahan menteri dalam memberi jawaban di parlimen, sama ada membaca teks bulat-bulat atau membuat kenyataan tidak berfakta, akan menjejaskan kedaulatan parlimen dan tadbir urus negara. Tidak tepat jika kita memandang remeh kepentingan jawaban menteri ini kepada parlimen dan tidak berbuat sesuatu untuk mengatasi masalah ini.

Untuk membentuk sebuah kerajaan bertanggungjawab, pendekatan menteri dalam menjawab pertanyaan di parlimen perlu berubah, daripada seorang menteri yang kerap membaca teks jawaban secara bulat-bulat kepada menteri yang mampu memberi penjelasan secara terbuka dan terperinci dalam menerangkan sesuatu dasar di parlimen.

Ini tidaklah bermaksud setiap menteri perlu menghafal teks jawaban ketika menjawab pertanyaan ahli parlimen. Dokumen atau teks jawaban yang disediakan cukup sekadar rujukan menteri bagi membentangkan angka-angka, statistik, atau fakta yang agak teknikal ketika sesi pertanyaan atau penggulungan parlimen.

Apa Lagi Yang Boleh Dibuat?

Perubahan ini juga lebih bermakna sekiranya penjawat awam, yang ditugaskan menyediakan jawaban buat menteri di setiap kementerian, mengubah cara menjawab pertanyaan di parlimen  ke arah lebih infomatif dan berfakta. Penyediaan jawaban panjang lebar tanpa maklumat yang terperinci daripada kementerian bukanlah satu pendekatan efektif dalam membantu ahli parlimen memahami sesuatu isu yang berlaku.

Apabila menteri mampu memberi jawaban  yang berfakta, terbuka menerima teguran daripada ahli parlimen, ia akan membentuk perbahasan yang berkualiti di parlimen. Kemampuan menteri dalam memberikan jawaban secara telus akan meningkatkan keyakinan orang awam akan kredibiliti kerajaan dalam memimpin negara.

Selain itu, Speaker parlimen perlu memainkan peranan penting dalam hal ini. Faktanya, Speaker parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengawal atau mengkritik jawaban diberikan menteri.

Tetapi, Speaker boleh menegur jemaah menteri yang membaca teks jawaban  panjang lebar sehingga tidak memberi pengisian bermakna dan lebih mengelirukan ahli parlimen. Tidak wajar Spekaer parlimen mengejar masa sehingga membenarkan menteri membaca teks jawaban tanpa menghiraukan teguran daripada ahli parlimen.

Untuk jangka masa panjang, terdapat keperluan untuk menyemak semula Peraturan Mesyuarat yang dilihat melindungi menteri daripada menjawab pertanyaan parlimen. Contohnya, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (PMDR) 23(4) yang memberi kuasa kepada Speaker Dewan Rakyat membenarkan menteri tidak menjawab pertanyaan ahli parlimen yang melibatkan kepentingan awam. Malah, kuasa Speaker ini tidak boleh dicabar atau disoal. Peraturan seperti ini tidak lagi relevan dan boleh disalahgunakan untuk melindungi menteri yang tidak mampu menjawab pertanyaan parlimen secara telus.

Saya kira, sesi pembentangan Belanjawan 2022 yang akan bermula pada 29 Oktober ini adalah peluang terbaik bagi jemaah menteri dan penjawat awam membawa pembaharuan dalam menyampaikan jawaban di parlimen. Jika boleh, janganlah ada lagi menteri yang masih membaca teks jawaban di parlimen. Saya optimis, perubahan kecil dalam memperbaharui pendekatan dalam menjawab pertanyaan parlimen akan memberi impak positif kepada perjalanan parlimen yang lebih bermakna.

Komen