Terperangkap di dalam projek perumahan terbengkalai adalah satu mimpi ngeri buat mana-mana pembeli rumah baharu.
Bayangkan setelah bersusah-payah mengeluarkan belanja untuk memiliki rumah idaman dan tidak sabar menghuninya, tiba-tiba projek perumahan tersebut mengalami masalah.
Ia bermula dengan projek perumahan menjadi lewat, kemudian menjadi projek sakit dan akhir sekali terbengkalai akibat dari kegagalan pihak pemaju sendiri.
Rekod menunjukkan untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun 2023, sejumlah 68 projek lewat, 476 projek sakit dan 111 projek terbengkalai telah dikenal pasti, melibatkan Gross Development Value (GDV) bernilai RM79.03 bilion.
Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagaimanapun tidak mengabaikan nasib pembeli yang terperangkap dalam projek perumahan terbengkalai.
Untuk tahun ini sehingga September 2023, KPKT telah berjaya menyiapkan lapan projek perumahan terbengkalai dengan GDV bernilai RM574.08 juta.
Untuk tahun 2024 pula, KPKT telah meletakkan sasaran untuk menyiapkan 20 projek perumahan terbengkalai bagi memastikan rakyat dapat memiliki rumah idaman mereka.
Secara kumulatif, KPKT sebenarnya telah berjaya memulihkan sebanyak 266 projek perumahan swasta terbengkalai melibatkan sejumlah 67,773 unit rumah serta 46,229 pembeli.
Pembeli rumah yang terperangkap dengan situasi projek perumahan sakit, lewat atau terbengkalai sebenarnya boleh membuat aduan di https://ehome.kpkt.gov.my
Senarai projek sakit dan terbengkalai juga boleh diakses melalui pautan tersebut sebagai panduan bagi mengelakkan pembeli terjebak dengan pemaju perumahan bermasalah.