Untuk Orang-orang Di Belakang

Dalam bab Satu Malam di Khemah Pelarian, ZF Zamir mencatat pengalaman perjalanan beliau mengikuti Musa al- Nuwayri, pengasas NGO Tangisan Syria Di Bumi Jordan (TSDBJ) melawat pelarian perang Syria di Jordan. Cerita Musa ditulis semula oleh ZF Zamir dalam Berlari Dari Jogja Untuk Menemukan Si Dia Di Christiana begini;

“Kami kalau bulan puasa, dalam seminggu akan ada sekali atau dua orang Syria ajak buka puasa kat rumah. Ada sekali kami pergi, mereka hidang makanan mudah tapi banyak.”

Van mula menaiki jalan bertar meninggalkan khemah Abu Abdullah. Aku melihat Quraiyyim melambai dari jauh sambil badannya dipegang oleh abangnya, Abdullah.

“Kami pun makan sampai tak ingat dunia sebab sedap. Bila dah kenyang, talam kami dia angkat masuk dapur. Dia hidang teh pula. Saya bangun basuh tangan. Bila lalu dapur nak ke tandas, terus menangis, tengok anak bini dia duk kerumun makan sisa talam yang kami tak habis tadi.”

Aku menelan air liur mendengarkan cerita ini.

Disember 2017, sepanjang tiga hari dua malam program Kem Kebudayaan dan Latihan Komuniti di Pos Piah, Sungai Siput, Perak, anjuran Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), makanan kami mewah. Berada jauh di dalam hutan tanpa bayang warung makan, apatah lagi restoran, namun kami tidak pernah disapa rasa lapar.

Disambut sebagai tetamu, juadah terbaik disediakan sebanyak-banyaknya. “Makan lagi, tambah nasi, itu lauk banyak lagi, makan.” Kata orang kampung.

Kami makan di balai adat. Di situ juga tempat tidur. Balai adat yang dibina daripada buluh itu agak luas, memanjang dan bertiang, berfungsi sebagai tempat penduduk kampung berkumpul sama ada untuk aktiviti sosial, upacara sewang dan bermesyuarat.

Kampung Kembok, yang terletak dalam gugusan Pos Piah ini adalah kampung orang Asli suku Temiar separa moden. Ada penduduk yang tinggal di rumah buluh. Ada juga yang tinggal di rumah batu.

Satu jam perjalanan lagi dari Kampung Kembok masuk ke dalam hutan, terletaknya Kampung Pen. Kampung Pen adalah kampung asal penduduk Kampung Kembok. Menurut cerita, ketika zaman darurat dahulu, penduduk Kampung Pen dipindahkan ke bahagian yang lebih dekat dengan kawasan luar. Mudah untuk pihak berkuasa memantau selain untuk tujuan keselamatan juga.

Perjalanan untuk ke Kampung Pen tidak mudah. Musim hujan hujung tahun membuatkan beberapa kali kenderaan pacuan empat roda hampir-hampir terbabas.

Kemudian kami tiba di satu lokasi yang mana tiada kenderaan lagi boleh memasukinya. Perjalanan diteruskan dengan berjalan kaki, merentas tiga batang anak sungai.

Terdapat hanya beberapa rumah di Kampung Pen, dibina semula sebagai ‘istana hinggap’ oleh penduduk yang ingin dipeluk damai ‘tanah asal’ mereka. Rumah-rumah di Kampung Pen semua rumah tradisional. Tidak ada elektrik dan sumber air 100% dari sungai berhampiran. Kehidupan asli, lestari dan harmoni dengan alam semula jadi boleh ditemui di sini.

Penduduk kampung menjalankan aktiviti pertanian bersifat sara diri. Izzeady Amir, salah seorang yang terlibat dengan program Permarkultur Pulau Bidan di Pulau Bidan, Kedah dan menyertai juga program bersama KUASA ini menerangkan praktikaliti konsep permakultur yang diamalkan penduduk kampung.

Ketika berada di sana, selain berpeluang melihat sendiri budaya tradisi penduduk kampung, kami dihidangkan dengan ubi bakar yang begitu lemak manis rasanya. Manakala kopi panas cap Kapal Api bawaan kami melengkapkan nikmat suasana hujan renyai-renyai. Paling tidak dilupakan, selepas diberi penerangan tentang tanaman sekoi dan menyentuhnya, kami juga berpeluang merasai sekoi yang telah dimasak. Trip satu hari ke Kampung Pen sememangnya pengalaman yang bernilai.

Hari terakhir program, penduduk kampung mengadakan kenduri untuk kami sebelum pulang. Nasi dan lauk-pauk semuanya dimasak menggunakan buluh. Aroma asli daripada herba-herba liar hutan membuat setiap hidangan lazat tidak terperi.

Selepas upacara memuliakan makanan atas nikmat yang diberikan Tuhan menurut kepercayaan masing-masing, saya juga seperti yang lain, merasa tidak sabar-sabar untuk menikmati hidangan.

Entah bagaimana, pengalaman Musa di Syria seperti yang diceritakan ZF Zamir mengetuk pintu ingatan – tentang meninggalkan apa kepada orang-orang di belakang.

Saya bersyukur ingatan itu datang. Selepas kami habis makan, saya melihat sendiri lauk-pauk lebihan kami dikerumuni anak-anak yang tadinya bermain, berlari dan melompat ketika hidangan kenduri disediakan ibu-ibu mereka sejak pagi.

Berbeza dengan anak-anak di kem pelarian, anak-anak di Kampung Kembok ini sebenarnya bukanlah kelaparan pun. Mereka mewah makanan segar dan berkhasiat dari sumber hutan. Tidak mengapa jika kami habiskan. Tetapi saya terfikir, bukankah mereka juga sebahagian daripada keraian?

Sebagai kampung separa moden, masakan harian mereka kini lebih kurang kita di bandar – menggunakan dapur gas. Anak-anak kampung bukan setiap hari juga dapat menikmati nasi dan lauk-pauk yang dimasak di dalam buluh. Sudah tentu mereka teruja. Setelah tiga hari mereka berkongsi kebaikan yang begitu banyak, apakah patut dibalas dengan menunjukkan kepada anak-anak perangai orang bandar yang suka membolot dan tamak?

Sewaktu sesi perkongsian mengenai isu pembalakan yang mengganggu penduduk kampung, barisan kepimpinan Pos Piah mengatakan sesuatu yang mempunyai maksud ‘Kami ambil juga hasil hutan, itu sudah tentu, tapi masih ingat untuk tinggalkan kepada orang belakang’.

Mendengar itu, saya teringat pula kaum Penan di Sarawak yang berpegang kepada adat ‘Molong’ – bermaksud, jangan ambil melebihi keperluan. Adat itu saya ketahui melalui Surviving Borneo, disiarkan secara bersiri di saluran Discovery, yang mana selebriti Henry Golding melakukan adat ‘Bejalai’ menurut tradisi kaum Iban sebelum melangsungkan perkahwinannya,

Kita harus berterima kasih kepada orang Asli dan orang Asal, kerana pegangan seperti itulah kita masih mempunyai hutan dan hasilnya dapat dimanfaatkan untuk kehidupan. Cara hidup mereka sangat terpengaruh dengan nilai-nilai alam yang mempunyai fitrah cermat dan lestari.

Pulang ke bandar, saya melihat dan sedar bahawa kita sudah sangat jauh terkebelakang dalam hal-hal meninggalkan yang terbaik untuk orang di belakang. Mengapa?

Mungkin sebab nilai murni kini hanya diamalkan oleh komuniti di hutan. ‘Deforestation’ mengakibatkan hutan beransur-ansur hilang. Komuniti hutan semakin banyak dipindahkan (‘relocation’) demi memberi laluan kepada projek pembangunan. Semua ini memutuskan hubungan manusia dengan sifat-sifat alam (‘disconnect people with nature’).

“Kita meraikan kejayaan dalam bentuk material; yang paling besar, paling luas dan paling tinggi. Ghairah membangunkan elemen bukan hidupan – binaan-binaan, lantas membunuh kehidupan – pohon-pohon, haiwan dan manusia itu sendiri.”

Slot Professor Dr. Fadzilah Majid Cooke dalam program Latihan Aktivis Alam Sekita (LASAK) siri ke-3 di Kuala Kubu Bharu, Selangor, anjuran KUASA juga, dua minggu selepas program di Pos Piah adalah butir-butir kata berfakta menembusi hujung hati saya. Apatah lagi melihat begitu permai dan indah rumah-rumah panjang hiasan tradisional di beberapa kampung dipertontonkan melalui slaid, sebelum kesemuanya ditenggelamkan untuk keperluan membina empangan.

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana Dr. Fadzilah yang bertahun-tahun terlibat dalam projek komuniti pasca perpindahan akibat pembinaan empangan di tanah Borneo yang menyaksikan dengan mata kepala sendiri trauma, luka-luka di jiwa yang pasti tidak akan sembuh dengan mudah.

Taburan wang tidak mampu menjadi penawar keperitan diusir daripada tempat tinggal asal – kampung, kebun, kuburan keramat, memori indah ketika membesar dan peninggalan adat untuk anak-cucu.

Saya memikirkan, jika nilai-nilai murni terhadap alam lenyap bersama-sama orang Asal dan orang Asli, entah kepada siapa lagi kita boleh harapkan anak cucu untuk melihat contoh tauladan.

Melihat kita? Aduh, di jalan raya, kita mahu selalu juara. Kemudahan-kemudahan awam, dilenjan sehingga orang lain tidak dapat menggunakannya. Selepas makan, dibiarkan sisa dan pinggan berselerak di atas meja.

Kita kaum yang mencampak sampah dari kenderaan. Troli di pasar raya, dibiarkan berada di tengah jalan. “Biarlah, nanti ada orang buatkan.” atau “Kenapa kena buat, bukankah sudah bayar?” Itulah sikap kita, dan tanpa sedar anak cucu sedang mencontohinya.

Sayang sekali kita tidak fikir meninggalkan yang terbaik untuk orang belakang itu sesuatu yang penting. Ironinya, kita mengharapkan kepimpinan yang terlahir daripada sikap kita sendiri untuk cermat, berhemah dan ‘ingat orang belakang’ dalam pengambilan sumber asli dan penggunaan dana negara.

Pemimpin-pemimpin kita bukannya tiba-tiba datang dari planet lain. Mereka adalah sebahagian daripada kita. Maaf berkata, pemimpin itu sebenarnya cerminan sikap kita, tetapi dalam bentuk skala yang lebih besar. Kita merasa tidak mengapa membuang sampah merata-rata, hasilnya, kepimpinan kita sudi menerima bertan-tan sampah dari luar negara tanpa rasa apa-apa.

Saya bukan tuhan, bahkan terlalu kerdil untuk menjatuhi hukum setiap kali bencana alam yang berlaku itu merupakan bala atau ujian. Tetapi saya percaya, kita masih ada peluang sama-sama bangkit hari ini untuk memulihkan kerosakan, menyambung semula kasih sayang yang terputus dengan alam, supaya di hari depan orang-orang di belakang menerima yang terbaik daripada kita.

Komen