Untuk Apa Kerajaan Hari Ini: Sebuah Luahan Hati

Saban hari kes COVID-19 meningkat hingga ke angka yang mengejutkan. Kita pernah merasai angkar sifar pada satu ketika dahulu, tetapi angka tersebut mencanak naik tanpa rasa belas dan ihsan pada hari seterusnya dek kerana sebahagian ahli politik yang dahagakan kuasa dan pangkat tanpa merasa keluh kesah rakyat.

Entah mengapa dengan negara ini, saya pun tidak tahu. Kelu. Cuba untuk berfikir tetapi gagal untuk menemui titik temunya.

Kita punyai komposisi menteri dan kementerian yang banyak. Jumlah menteri dan timbalan menteri pula kurang lebih hampir 70 orang. Tetapi negara tetap punyai masalah yang rumit dan sukar untuk dirungkaikan. Kita harus sedar bahawa hari ini kita berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19, ketidakstabilan politik dan ketidaktentuan ekonomi. Hal ini selalu membungkam harapan rakyat untuk hidup dengan tenang dan harmoni.

Ingatkan, tahun 2021 kelak nanti kita sudah boleh bergembira dengan kemunculan vaksin dan kembali kepada suasana sedia ada. Tetapi itu hanya mimpi dan dijahanamkan oleh orang yang kemaruk kuasa hari ini.

Peliknya, kita punyai 3 orang menteri di dalam kementerian kesihatan. Seorang dilantik menteri dan dua orang lagi dilantik sebagai timbalan menteri. Ironinya, kita tak nampak mereka di sidang media setiap hari. Bahkan, kita tak nampak dia memainkan peranannya yang signifikan di Parlimen.

Untuk apa lagi semuanya ini? Kita dahagakan satu dasar dan polisi yang segar di peringkat kerajaan. Kita dahagakan satu tindakan yang efisien di ambil dalam menghadapi dan menghapuskan ketidaktentuan virus yang menyerang ini

Cuma yang ada ialah saranan air suam, menjerit dan memekik sewaktu menjawab soalan ahli parlimen ketika menggulung dan gaji yang lumayan memenuhi ruangan poket. Kasihan pada petugas barisan hadapan yang terpaksa menghadap tragedi ini setiap masa.

Untuk apa lagi semuanya ini?

Kes harian sahaja sudah mencecah sehingga 3 ribu kes baharu. Ia bukti yang jelas kerajaan gagal mengawal pandemik ini.

Menuju Pilihan Raya Umum Ke-15

Bukan sekadar itu, kita juga dengar bahawa suara-suara orang kuat parti yang mahukan PRU 15 dengan kadar segera. Alasanya apa? Alasannya adalah untuk mendapatkan semula mandat rakyat yang mereka sendiri khianati sewaktu pembentukan kerajaan “tebuk atap” ini. Itu kata parti keramat UMNO.

Apatah lagi kelmarin seolah-olah nasib bangsa Melayu ini hanya terletak pada keputusan Majlis Tertinggi UMNO semata-mata. Semua sepakat memberi tumpuan. Dan akhirnya, usul untuk berpisah dan bercerai dengan BERSATU dibawa ke Perhimpunan Agong UMNO (PAU) kelak. Cuma bagaimana dengan nasib BERSATU dan PAS selepas ini? Hanya boneka UMNO untuk terus kekal relevan?

Jadi apa yang BERSATU dan PAS boleh buat hari ini? Bagi hemat saya wajar untuk mencari tempat bergantung dan berteduh yang baru. Cari pasangan baru untuk berpaut dan menagih kasih.

Cuma dalam hubungan tiga serangkai ini, dilihat PAS lebih untung kerana akan memilih mana-mana yang akan memberi manfaat yang lebih kepada dirinya. Menurut satu kenyataan pimpinan PAS semalam, mereka akan memilih mana yang lebih menguntungkan meraka. Itulah cerminan PAS. Bagi mereka, mereka sahaja yang punyai kaca mata teropong yang suci dan bersih.

Dulu mereka kata, gabungan yang dibentuk ini adalah demi perpaduan ummah dan kepentingan orang Islam. Dulu mereka kata, gabungan ini membuatkan malaikat bertakbir sehingga bergema ke seluruh alam.

Sedangkan realiti hari ini, masing-masing berebut untuk menikmati kuasa dan pangkat. Segala laungan semasa menjadi pembangkang dulu seperti kes arwah Adib, isu Chin Peng, isu Dong Zong, isu judi nombor ekor cabutan khas ditambah dari 8 ke 22 kali setahun dan sebagainya tampak senyap dan sunyi. Sudah dua kali sidang parlimen PAS menjadi kerajaan, tetapi RUU355 tidak juga dilaksanakan. Ke mana perginya semangat dan aura itu?

Itulah mereka yang menggunakan sentimen dan api perkauman ini untuk kepentingan politik masing-masing. Tiada siapa yang peduli nasib rakyat, cuma Ustaz Ebit Liew sahaja yang prihatin.

Ya. Kerajaan hari ini bagaikan telur di hujung tanduk. Tinggal tunggu masa.

Artikel ini adalah tulisan saudara Luthfi Yusri dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas.

(Luthfi Yusri merupakan seorang mahasiswa yang suka untuk memerhati gerak geri senario politik semasa negara serta sangat berminat dengan perbincangan dasar dan polisi negara. Juga sedang menghabiskan sisa-sisa tahun akhirnya di Universiti Malaya.)

Komen