Umur 15 Anak 1

“SIAL! Ei doktor… kau tak faham ke? Belajar tinggi-tinggi tapi bodoh. Aku tak nak anak nilah! Aku tak nak!” Jerit Farah.

Ayesha memandang Farah dengan penuh kasihan. Begitu kesat kata–kata remaja ini. Ayesha tidak menyalahkannya. Tidak langsung memarahinya. Dia mengambil keputusan untuk berdiam diri. Berdiam bukan bererti menyerah kalah tetapi untuk lebih mendengar dan memahami. Farah masih mentah. Dalam usianya 15 tahun, dia sudah bergelar ibu kepada seorang anak kecil. Selayaknya, Farah berada di sekolah menengah dan belajar bersungguh–sungguh untuk masa depan yang cerah sama seperti remaja perempuan yang lain. Namun, fikirannya serabut dek anak ‘haram’ yang dilahirkan tiga hari lepas. Dia tidak mahu memikirkan bagaimana untuk menyusukan anaknya. Dia tidak mahu memikirkan bagaimana mahu mendapatkan duit belanja untuk membeli lampin dan pakaian anaknya. Dia tidak mahu memikirkan apa-apa. Yang utama, bayi ini harus diberikan kepada sesiapa yang mahu kerana pada pandangan matanya, bayi ini adalah beban.

“Doktor, kau dengar sini baik-baik. Kau tau tak, mujur aku tak buang anak ni dekat tong sampah. Cuba kau bayangkan kalau aku flush dia dalam toilet. Aku nak kau ambil anak ni dan letak mana–mana kau nak. Yang penting, budak ni tak akan menyusahkan aku!”

“Farah, saya nak minta nombor telefon ibu awak, boleh?”

“Kau nak buat apa dengan dia? Aku benci mak akulah. Dia tu perempuan jahanam.” Farah mencemuh ibunya sendiri.

“Nombor telefon ayah ada?”

“Bapak aku? Huh.. Itu lelaki tak guna sejak azali! Lari entah ke mana. Batang hidung tak pernah nampak. Aku anggap dia macam dah mati!”

“Ada sesiapa yang boleh saya telefon untuk tolong awak? Saudara mara yang awak percaya ke? Farah, ini tanggungjawab saya untuk pastikan anak awak berada dalam jagaan yang baik sebelum boleh discaj.” Ayesha bertanya dengan lembut. Hanya kelembutan boleh meredakan kemarahan Farah yang membuak-buak.

“Aku tahu kau baik. Orang lain tak layan aku macam kau. Kau ni berguna jugak ya. Tak sia–sia mak bapak kau besarkan kau. Nah ambil nombor ni. Ni makcik aku. Mungkin dia boleh tolong.”

“Terima kasih Farah. Terima kasih.” Akhirnya Ayesha berjaya mengambil hati ibu muda ini. Dalam diam, dia lega. Alhamdulillah. Termakan juga pujukannya.

Sejak bayi Farah dimasukkan ke wad NICU, Farah dipanggil untuk duduk bersama supaya dapat belajar teknik penjagaan bayi dengan jururawat terlatih. Namun, dia sering mengamuk, mencaci dan memaki hamun doktor dan jururawat yang menjaga anaknya. Sehinggakan, pakar kanak–kanak sendiri sudah meluat dengannya. Tatkala tiba masa untuk anaknya menyusu, Farah akan buat-buat pekak. Anak kecil itu menangis meronta-ronta kelaparan. Farah meneruskan tidurnya dengan selamba. Kerap kali jururawat mendapati lampin bayinya basah lencun kerana kencing yang tidak dibersihkan walaupun sehingga sudah berbau hancing dan busuk. Farah tidak pernah mengambil endah. Sudah berbuih mulut jururawat menasihati Farah, jawapannya tetap sama.

“Kau ni membebel je kenapa? Serabut kau tau tak! Kalau kau dengar dia nangis, kau je lah bagi dia susu. Kerja kau bagi susu bukan nasihat aku. Menyalak je! Pergi berambus boleh tak!”

Sejak dari peristiwa itu, bayi Farah ditempatkan di ruang lain yang agak jauh sedikit dari ibunya. Mereka risaukan keselamatan anak kecil itu. Lagipun, tiada siapa yang dapat tahan dengan perangainya yang tidak tahu mengenang budi sehingga ada yang melabelnya ‘ibu setan’! Astaghfirullah.

Semua doktor dan jururawat tidak mahu berinteraksi dengannya. Itu yang Farah idam-idamkan. Farah bangga dengan dirinya sendiri. Dia bebas dari mendengar bebelan panjang orang-orang ber-’baju putih’. Bebas dari tangisan bayi yang menyesakkan jiwa dan fikiran. Bebas daripada pandangan keji orang terhadapnya. Farah mempunyai misi yang kedua. Dia mencari–cari dan memikirkan cara terbaik untuk melarikan diri dari wad ini.

“Dr. Ayesha kenapa baik sangat dengan si Farah tu? Pelik saya tengok. Saya yang bagi susu untuk anak dia. Saya yang mandikan. Saya yang tukar pampers. Ada ke patut dia suruh saya berambus? Saya jaga sebab kesiankan baby ni je dan memang dah tanggungjawab kita.”

Kak Maryam adalah jururawat senior yang diamanahkan menjaga bayi kecil yang tidak berdosa ini. Dia begitu berpengalaman dalam penjagaan bayi, sentuhannya sama seperti seorang ibu membelai anaknya sendiri. Ayesha kagum dengan sifat penyayang yang ada padanya. Kak Maryam memanggil anak kecil itu dengan panggilan sayang. Ada masa, dia akan menidurkan anak kecil itu dengan alunan zikir dan surah–surah pendek Al–Quran. Memang tidak layak Farah memaki hamun jururawat yang baik seperti Kak Maryam.

Ayesha memberi senyuman manis. “Kak Maryam, Farah tu budak lagi, manalah faham jaga anak. Jaga diri sendiri pun tak pandai. Budak tak ada didikan. Sama–sama kita ikhlaskan niat kita kak ya, walaupun saya tahu ada masanya cukup susah. Farah tu tak akan cakap terima kasih pun. Takpe, janji kita buat Lillaahita’ala. Kita mesti pastikan baby ni selamat untuk discaj.”

“Dr. Ayesha dapat cakap ke dengan makcik dia?”

“Alhamdulillah, dapat kak. Petang ni Ayesha nak jumpa. Akak doakan kita dapat selesaikan penempatan baby ni.”

“Sayang, sayang nak balik dah. Makcik doakan selamat ya. Makcik yakin Allah jaga. Nanti dah besar, jadi budak baik, okey?” Kak Maryam bercakap dengan bayi kecil yang comel lagi putih gebu itu sambil mengusap–usap rambutnya yang halus.

Merungkai segala rahsia

“Boleh saya jumpa Dr. Ayesha?”

Seorang perempuan berusia 50-an berdiri di kaunter wad NICU. Berbaju kurung, manis bertudung.

Kak Maryam menyapa Ayesha dari belakang. “Dr. Ayesha, makcik Farah dah sampai.” Ayesha baru sahaja selesai memeriksa seorang bayi kecil yang jaundice di bawah sinaran lampu phototherapy.

“Oh, sampai dah. Alhamdulillah. Jom kak, kita interview makcik Farah ni. Harap-harap bolehlah tolong kita.” Ayesha berjalan ke bilik kaunseling.

“Assalammualaikum Puan Sakinah. Puan makcik Farah ya?” Ayesha menghulurkan tangannya. Mereka bersalaman. Jari jemari Puan Sakinah kasar. Urat–uratnya timbul.

“Waalaikummusalam. Saya ni mak long Farah. Tak payah panggil puan, panggil mak long je. Saya yang bela dia di KL ni. Dia dah selamat bersalin ke? Baby boy. Betul tak?”

“Alhamdulillah, bersalin tiga hari lepas. Betul mak long, baby boy. Comel.”

“Dia nak cuba sorok dari mak long. Pakai baju besar-besar. Ingat mak long tak tahu tapi nampak juga. Perut memboyot macam tu, mak long dah agak dah anak lelaki.” Puan Sakinah tersenyum. Tenang raut wajahnya.

“Saya telefon mak long sebab Farah yang bagi nombor telefon. Kami nak discajkan baby dan Farah.”

“Dr. Ayesha, Farah ni sebenarnya budak baik. Masa sekolah rendah, dia budak bijak. Tapi lepas ayah dia lari, mak dia murung. Sampai sekarang tak tahu mana ayah dia pergi. Tup, tup hilang macam tu je. Nafkah satu sen pun tak dibagi.”

Puan Sakinah menyambung ceritanya. “Mak dia jadi depress sampai nak bunuh diri. Mak dia jadi kurus kering, tak makan, tak kerja, asyik nangis je. Si Farah ni jadi mangsa keadaan. Habis budak ni kena pukul. Biru birat badan dia. Mak dia asyik dengar seperti ‘suara–suara’ suruh pukul Farah. Padahal takde orang suruh pun. Saya kesiankan Farah. Saya hantar mak dia pergi hospital bahagia, lepas tu Farah ni saya yang bela.”

Ayesha tergamam.

“Farah mula memberontak, berkawan dengan budak-budak jahat di sekolah. Penat mak long nasihat, tak dengar. Tiap-tiap malam mak long bangun tahajud doa untuk dia. Sekolah menengah sampai tingkatan satu je. Dia beritahu mak long, dia nak berhenti. Mak long ni jual nasi lemak dengan kuih pagi-pagi, petang pula mak long ambil upah basuh baju dekat kedai dobi. Dia kata mak long tak bagi dia cukup duit, dia nak cari duit sendiri. Nak kerja.”

“Bila mak long tahu Farah mengandung? Mak long tak marah dia?” Ayesha ingin tahu.

“Si Farah ni, bila susah dia datang jumpa mak long. Bila mak long tahu dia mengandung dalam 6 bulan, mak long paksa dia jumpa doktor. Scan perut, ambil darah. Mak long ugut dia, kalau dia buang baby ni, mak long tak nak tolong dia dah. Nak marah pun dah tak guna Dr. Ayesha, benda dah jadi. Dia tak pernah cerita pun siapa bapa baby ni.” Puan Sakinah memandang lantai. Termenung.

Puan Sakinah mengangkat mukanya dan memandang Ayesha. “Mak long tak kahwin. Biarlah baby ni mak long jaga. Cucu mak long juga. Amanah Allah untuk mak long. Dr. Ayesha, boleh tolong tak? Rujukkanlah Farah untuk kaunseling ke, apa-apa lah yang boleh tolong dia. Yang penting sekarang, mak long tak akan putus asa bantu dia. Balik kepada agama. Memang apa yang dah jadi jijik, tapi bukan tugas kita menghukum Farah kan? Dosa pahala kerja Tuhan.”

“Kami dah refer dia kepada pakar kanak-kanak yang selalu jumpa kes ibu remaja muda. Cuma mak long kena pujuk dia datang appointment. Nanti ada juga ustazah yang bagi nasihat. Saya doakan mak long sabar untuk mendidik Farah dan cucu. Allah tempat kita bergantung. Kekuatan semua ada dan datang daripada Dia.”

“Terima kasih Dr. Ayesha. Saya minta maaflah, mesti Farah banyak menyusahkan.”

“Ini kerja kami. Tanggungjawab kami nak pastikan baby sihat dan selamat bila balik. Mak long ada fikir ke nama untuk cucu?”

“Muhammad. Nama cucu saya Muhammad bin Abdullah.” Puan Sakinah senyum. Dia memberi nama sempena seorang lelaki termulia lagi soleh yang telah menyinari dunia dengan syiar Islam. Nabi dan Rasul yang terakhir buat umat manusia. Ayesha memandang rupa bayi tersebut, di dalam hatinya, dia yakin yang bayi tersebut akan membesar dengan baik, sebaik nama yang diberi.

Di kala kita semua bersangka buruk terhadap remaja perempuan yang melahirkan anak luar nikah, tersembunyi seribu penderitaan atau kisah silam yang hanya Tuhan yang tahu hikmahnya. Namun, kita sering alpa dan menyangka kita ‘tuhan’ yang layak menghukum dan melabel mereka sebagai manusia hina. Tidakkah kita semua sedar bahawa, yang dikejar dalam hidup ialah pengakhiran yang baik dan bukan sebaliknya? Ruang untuk bertaubat itu luas, tetapi kita sering menyempitkannya dengan beralasan tanpa henti dan terus galak berbuat dosa tak puas-puas.


Tulisan Dr Azah Isa ini ada di dalam DIAgnosis.

Komen