TV Perosak Masyarakat?

Antara punca kepada pelbagai masalah sosial yang melanda golongan belia negara kita pada hari ini adalah pengaruh negatif rancangan-rancangan televisyen yang boleh dikategorikan sebagai kurang sihat.

Televisyen yang sentiasa menjadi medium panduan dan pendidikan anak-anak kita sudah mula menguasai minda dan pemikiran mereka dengan nilai-nilai yang jauh bertentangan dengan nilai dan adat ketimuran kita yang kemudiannya mempengaruhi segala tingkah laku mereka dalam kehidupan seharian.

Adegan pergaulan tanpa batasan dan seks bebas serta perlakuan ganas seperti gangsterisme yang dipaparkan dalam televisyen kita baik melalui drama dan filem tempatan mahupun Barat boleh diibaratkan telah menjadi guru kepada remaja kita.

Drama-drama bersiri yang berunsurkan tahyul dari seberang dan filem-filem yang ganas dari Barat dilihat cukup mudah mempengaruhi minda para penonton dan itulah yang sedang menjadi gaya dan trend ikutan muda mudi zaman sekarang.

Mereka mencontohi kesemua perlakuan dan gelagat yang ditonjolkan secara bulat- bulat dan sering menjadikannya sebagai panduan dalam hidup mereka. Perbuatan yang dimulakan atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru akhirnya menjadi ketagih dan budaya yang sukar untuk ditinggalkan.

Ini adalah debat tradisi yang sering terjadi di kalangan ahli sosiologi dan media. Memang ramai pakar komunikasi yang berpendapat sedemikian tetapi persoalannya, sejauh manakah pengaruh itu dapat dibuktikan. Sehingga kini tiada penyelidikan konklusif ataupun bukti kukuh bahawa televisyen membawa pengaruh negatif ke atas penonton.

Dalam sistem kapitalisme lanjut (advanced capitalism) dan era maklumat sekarang menurut Paul Virilio dalam bukunya War and Cinema, televisyen ibarat bola mata raksasa yang melaluinya kita dapat dapat melihat sudut-sudut terpencil, ruang-ruang terjauh serta rahsia-rahsia terdalam dari setiap manusia ke dalam jaringannya (televisyen).

Televisyen bukan sahaja berada dalam situasi pengaruh dan mempengaruhi tetapi menciptakan ruang simulasi dalam dunia yang tersendiri yang membuat penonton bagaikan candu, dihisap oleh televisyen atau penonton yang menghisap (terpengaruh) atau disedut atau menyedut oleh televisyen dan penonton. Ia adalah komunikasi dua hala bertimbal balik dalam hubungan antara televiysen dan penonton.

Berhubung dengan penghisapan atau penyedut sosial ke dalam media elektronik seperti televisyen, Baudrillard, pakar pascamoden dan simulasi mengatakan apa yang berlaku hasil daripada penghisapan itu adalah ledakan dalaman atau implosi sosial yang maksudnya adalah perledakan sosial ke arah dalaman iaitu pengumpulan kegiatan dan peristiwa sosial (yang negatif atau positif) di dalam media.

Kalau dilihat di sini semacam ada pemadatan sosial ke dalam segmen-segman simulasi sosial di dalam layar skrin televisyen. Di dalamnya wujudnya simulasi pemadatan (compression) ruang-waktu ke dalam ruang waktu program media; pemadatan narasi sosial ke dalam narasi-narasi media; pemadatan jangka waktu (duration) sosial ke dalam durasi media; pemadatan tanda-tanda sosial ke dalam tanda-tanda media dan pemadatan tanda-tanda sosial ke dalam makna-makna media.

Media kini menjadi ukuran dari apa yang disebut Braudrillard sebut sosial atau sosialisasi. Seperti yang disebut beliau:

“Di mana-mana sosialisasi diukur berdasarkan pendedahan mesej-mesej atau pesanan-pesanan media.”

Sosial dan sosialisasi kini hadir dalam wujud maklumat di dalam ruang-ruang maya sosial di dalam media bukan di ruang-ruang sosial yang nyata. Segala upacara, ritual, masjlis perasmian, debat bahan demontrasi kini hadir dalam ruang dalam media.

Televisyen adalah ruang yang di dalamnya apa-apa yang dirahsiakan secara sosial di dunia nyata di dalamnya ditelanjangi untuk tontonan massa.

Ia adalah sebuah tempat yang di dalamnya rahsia peribadi dibawa dan dipertontonkan di ruang awam. Rahsia-rahsia ruang peribadi itu (tingkah laku, kebiasaan, gaya hidup, seks, tubuh) kini di ruang awam media menjadi milik massa.

Dalam kerangka penelanjangan rahsia dalam media televisyen misalnya, Braudrillard berbicara mengenai apa disebutkannya kecabulan. Kecabulan yang dimaksudkannya tidak harus berkaitan dengan seksualiti akan tetapi dengan fenomena sosial yang lebih luas (sosial, politik, budaya, maklumat dan media) yang di dalamnya berlaku penelanjangan segala bentuk rahsia, pendedahan segala bentuk tanda dan pengungkapan segala bentuk makna.

Apa yang dimaksudkan dengan penelanjangan menurut Yasraf Amir Piliang, pakar semiotika dari Indonesia alah penelajangan berkaitan dengan situasi ketika segala sesuatu ditampilkan, diceritakan, dipertontonkan, difilemkan, di-televisyen-kan, diberitakan dan diceritakan tanpa batas, sehingga pada satu tahap tanpa perlu ada saringan lagi.

Dalam penelanjangan ini, menurut Braudrillard, yang terjadi adalah semacam hipervisibiliti iaitu menampilkan ke dalam layar skrin, ke dalam panggung, ke atas catwalk, ke ruang pamer sebagai objek tontonan termasuk yang kurang penting sekalipun tanpa ada batas dan pembatasnya.

Penelanjangan maklumat adalah situasi ketika apa pun dijadikan maklumat (kehidupan seks artis, kandungan dalam beg artis, selingkuh selebriti, warna kuku dan rambut, baju baru, dan koleksi kasut artis).

Penelanjangan komoditi adalah keadaan ketika apapun dijadikan komoditi seperti program mistik (jin, syaitan, hantu dan bomoh) tubuh manusia, ketiak, betis, bontot, peha, payudara, dan seumpamanya).

Penelanjangan tanda adalah keadaan ketika apa pun dijadikan tanda dan diberikan makna (status, symbol, prestij) dikemas ke dalam rangkaian perbezaan sosial dan gaya hidup (rumah, tubuh, belanja, tempat makanan, pesisir pantai dan senaman).

Semua perkara merupakan penelanjangan yang merupakan suatu kecabulan yang dibongkarkan untuk diisi ke dalam ruang televisyen atas nama program-program disebabkan ia mempunyai terlalu banyak makna dan mengambil terlalu banyak ruang.

Maksudnya yang terjadi dalam penelanjangan ini adalah semacam pertandaan berlebihan ketika tanda, citra, dan makna menjelajah ke dalam hampir semua sudut kehidupan sosial. Seperti ruang maya, televisyen telah menciptakan ruangnya yang tersendiri bagi penonton yang meniru-niru geraknya di alam nyata.

Oleh itu adakah TV sebagai perosak masyarakat?

(Artikel ini adalah petikan dari buku Media=Setan)

Komen