Tulah Seorang Migran

PADA tahun 2020 ketika Covid-19 mula mengganas dan Malaysia diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang migran asal Bangladesh bernama Mohamad Rayhan Kabir muncul di dalam dokumentari Al Jazeera mendedahkan tentang layanan buruk kerajaan Malaysia terhadap migran.

Susulan pendedahan tersebut, Mohamad Rayhan Kabir ditahan pihak berkuasa dan akhirnya dikenakan deportasi atau dihantar pulang ke Bangladesh. Al Jazeera pula dikenakan siasatan dengan wartawan serta kakitangannya dijadikan subjek interogasi.

Ramai yang marah kepada Mohamad Rayhan Kabir dan Al Jazeera ketika itu. Dikatakan keduanya membangkitkan isu yang tidak sepatutnya kerana migran terutamanya yang tiada dokumen tidak perlu dibela nasib mereka. Tindakan kerajaan menangkap, menghimpun dan menahan ribuan migran dalam kurungan sempit ketika pandemik sedang mengganas dilihat adalah tindakan yang tidak ada salahnya baik dari segi perundangan mahupun moral.

Setahun berlalu dan ramai yang sudah lupa tentang peristiwa itu. Lupa tentang pendedahan dokumentari Al Jazeera dan lupa tentang sorang migran yang berani bersuara bernama Mohamad Rayhan Kabir. Dan yang terpaling dilupakan, nasib ribuan migran berdokumen atau tidak yang ditahan ketika awal PKP hingga ada yang dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia.

Masyarakat Antarabangsa Tidak Lupa

Tetapi lupa rakyat Malaysia itu telah diingatkan kembali baru-baru ini. Diingatkan oleh masyarakat antarabangsa yang ingat baik bagaimana kita sebagai sebuah negara melayan pendatang yang mencari rezeki di negara kita.

Berita tergempar baru-baru ini tentang tindakan sebuah syarikat United Kingdom iaitu Dyson mahu menamatkan kontrak perniagaan dengan pembekal mereka di Malaysia mencetuskan panik. Ini kerana nama seperti Dyson bukanlah satu jenama yang biasa-biasa apabila kita bercakap tentang perkakasan elektrik.

Tindakan Dyson menamatkan kontrak dibuat kerana amalan buruh yang tidak beretika dan patuh pada perundangan oleh pihak pembekal, ATA IMS yang merupakan syarikat tempatan. Ia susulan audit yang dibuat oleh pihak Dyson dan juga aduan oleh whistleblower yang merupakan bekas pekerja tentang amalan buruh paksa dan penderaan fizikal.

Penamatan kontrak tersebut mengakibatkan saham ATA IMS di Bursa Malaysia jatuh menjunam kerana 80% sumber perniagaan ATA IMS datang dari Dyson. Impak penamatan kontrak mengikut ulasan pakar akan menjejaskan pendapatan ATA IMS dan berisiko mengakibatkan lebih 10,000 kakitangannya hilang pekerjaan jika syarikat tersebut terpaksa ditutup kerana gagal mendapatkan kontrak pembekalan dari pembeli lain.

Apa yang berlaku antara Dyson dan ATA IMS bukan sesuatu yang baharu. Syarikat-syarikat Malaysia sejak sekian lama menjadi perhatian masyarakat antarabangsa akibat amalan buruh yang tidak baik. Pertengahan tahun lepas syarikat pembuat sarung tangan, Top Glove menjadi sasaran kerajaan Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan amalan buruh paksa.

Menggunakan Akta Tarif 1930, pihak Kastam dan Perlidungan Sempadan AS (CBP) melaksanakan sekatan import ke atas sarung tangan dari Top Glove. CBP juga membuka kertas siasatan ke atas Supermax dan Hartalega, dua lagi syarikat pembuat sarungan tangan Malaysia.

Amalan buruh paksa yang dilaporkan adalah berkaitan dengan bon hutang (debt bondage) yang mengikat kebanyakan pekerja asing di Malaysia. Para pekerja dari Nepal dan Bangladesh contohnya, terpaksa membayar harga yang mahal kepada broker pekerja asing untuk datang bekerja di Malaysia. Oleh kerana mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar, para pekerja asing ini terpaksa ‘berhutang’ dan membayarnya dengan bekerja tanpa gaji di Malaysia sehinggalah ‘hutang’ yang ditanggung selesai.

Dalam kes industri sarung tangan, pekerja asing di Top Glove, Supermax atau Hartalega dipaksa bekerja 12 hingga 14 jam sehari tanpa cuti rehat dan tanpa gaji kerana ia digunakan untuk membayar ‘hutang’ kepada broker pekerja asing tadi.

Candu Para Kapitalis

Pekerja asing sejak sekian lama telah menjadi satu ketagihan buat syarikat dan perniagaan di Malaysia kerana satu faktor mudah, kos yang rendah.

Kos yang rendah ini membantu syarikat dan perniagaan melipat gandakan produktiviti dan memaksimakan keuntungan. Maka tidaklah menghairankan apabila syarikat seperti Top Glove dan pembuat sarung tangan lain berjaya meletakkan Malaysia sebagai negara pengeluar sarung tangan terbesar dunia dengan 70% penguasaan pasaran hasil kelebihan kos rendah ini.

Kita semua tahu, di Malaysia hampir semua sektor industri bergantung pada tenaga pekerja asing. Baik dalam pembuatan, perkhidmatan atau perladangan. Pekerja asing memberikan kelebihan buat kaum kapitalis kerana mereka boleh diupah dengan gaji yang rendah.

Akhirnya mereka ini menjadi candu para kapitalis, yang tidak boleh dihentikan ketagihannya.

Namun di sebalik kelebihan dari segi kos kepada para kapitalis, kecanduan pekerja asing sebenarnya menjejaskan kita semua. Faktor pekerja asing yang membuatkan gaji di Malaysia kekal rendah kerana para kapitalis iaitu syarikat dan perniagaan mempunyai pilihan yang menjimatkan kos mereka. Ia juga sekali gus menafikan peluang rakyat Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan pada kadar gaji yang bermaruah.

Situasi ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Malaysia sendiri. Kita mula melihat bahawa para migran berhijrah ke negara kita untuk membolot peluang pekerjaan yang ada dan pada masa yang sama menyekat kenaikan gaji di Malaysia. Rasa tidak puas hati ini menimbulkan dendam kemudiannya.

Lantaran itu apabila kerajaan bertindak menangkap dan menahan ribuan migran tahun lalu, bukan sedikit antara kita yang menyambutnya dengan tepuk sorak. Apabila muncul pula media luar seperti Al Jazeera dan migran seperti Mohamad Rayhan Kabir mendedahkan penahanan ini, kita merasa marah dan mahu kerajaan bertindak menghukum mereka.

Tetapi kita lupa, apa yang didedahkan adalah pekung yang kita mulakan sendiri. Kegagalan kerajaan dan kita sendiri selaku rakyat untuk menekan kerajaan dalam memberikan perhatian kebajikan dan keadilan kepada migran akhirnya memakan diri sendiri.

Mohamad Rayhan Kabir sebenarnya hanya menyampaikan kebenaran tentang apa yang berlaku. Tetapi kita gagal melihat kebenaran tersebut kerana dikaburi rasa tidak puas hati dan dendam terhadap migran.

Hakikatnya layanan buruk kita terhadap migran, khususnya pekerja asing akan hanya menjejaskan negara kita sendiri. Apa yang berlaku dalam kes Dyson dan ATA IMS, serta dalam kes Top Glove adalah sebahagian kecil dari hukuman yang boleh dikenakan oleh komuniti antarabangsa terhadap cara kita melayan sesama manusia.

Mungkin itulah sebenarnya tulah seorang migran.

Komen