TUHAN sudah mati!
Tuhan sudah mati. Dan kita yang membunuh Dia.
Ungkapan ringkas dari idea ahli falsafah Jerman pada lewat 1800-an ini pernah menggegarkan dunia falsafah suatu ketika dulu, meskipun sekarang tidak ramai yang pernah mendengar atau mengenal siapa dia Nietzsche ini.
Secara ringkas, Friedrich Wilhelm Nietzsche (1844-1900) adalah seorang ahli falsafah yang agak berpengaruh lantaran idea-idea kritikalnya dalam agama dan menilai semula asas moral kemanusiaan dan hubungan antara manusia dan alam.
Antara sebab nama beliau tidak lagi menjadi antara nama yang tercatat dalam sumber pendidikan di universiti, mungkin disebabkan sejarah hidup peribadinya yang pernah melalui fasa hilang kewarasan sekaligus menjadi sebab utama idea dan sumbangannya dalam dunia akademik dan falsafah terbatal.
Namun bagi penulis, idea dan tulisan-tulisan beliau sedikit sebanyak memberi perspektif baru dalam kita melihat dunia pada hari ini, dan yang penting memberi nilai tambah kepada bagaimana kita, hidupan yang menghuni alam menggunakan akal fikiran sebaiknya bagi membentuk gagasan moral dan etika yang kebal dari hentaman arus kemajuan duniawi.
Dalam dunia akademik, bidang falsafah dan teologi pada masa ini telah dikesampingkan, dan sama sekali dilihat tidak mempunyai kerelevanan dalam melahirkan produk masyarakat berpendidikan yang signifikan dengan keperluan “pasaran” dunia. Setuju atau tidak, kepentingan material sudah menjadi tujuan utama kehidupan kita pada hari ini. Agama dijaja dan dijual dengan interest yang tinggi, Tanah Suci jadi lubuk kapitalisme, dan ilmuan agama diletakkan sama standard dengan selebriti hiburan. Tiga premis ini tidaklah tertakluk kepada agama yang kita anuti, bahkan kepada semua jenis sekta dan institusi agama moden yang masih wujud pada hari ini.
Nietzsche dengan keras dan pedas mengkritik bagaimana jati diri seorang manusia terhakis, etika dan kompas moral disesuaikan mengikut peredaran zaman dan agama dijadikan komoditi. Idea “Tuhan Telah Mati” ini tidak wajar diambil secara literal kerana isi dan makna idea ini tidak sama sekali membawa maksud yang umum. Premis kedua “Dan kita yang membunuh Dia” membawa kesinambungan yang memaksa kita tunduk dan bermuhasabah diri.
Hubungan manusia dan alam tidak hanya pada struktur fungsionalisme semata, bahkan membawa pengertian yang mendalam bagaimana hakikat insan dalam menyantuni dan menanggapi alam dan keadaan sekeliling sebagai sebahagian dari karakter, personaliti dan struktur sistem sosial kemasyarakatan.
Apabila material dan kehendak yang didasari seseorang atas pengaruh keadaaan sekeliling, tuntutan dan fitrah jadian alam dan manusia mula dinafikan secara tidak sedar dan tidak langsung. Atau dalam erti kata lain, kita cuba melawan Tuhan atas semangat kemajuan dan keterujaan mencapai ketamadunan skala progresif. Inilah intipati sebenar dan teras idea “Tuhan telah mati” oleh Nietzsche. Sama sekali tidak berkait dengan idea dari Karl Marx -“Agama adalah candu” meskipun ada di kalangan filsuf terkenal yang cuba meromantiskan maksud dari tokoh Komunis itu.
Dalam Islam, objektif utama adalah kemajuan moral, dan pertimbangan etika mengatasi pertimbangan yang bersifat utilitarian. Tuhan telah mati saat kita melakukan pertimbangan terhadap material mendominasi semua manifestasi aktiviti harian. Kecenderungan kepada kebendaan dan hal-hal duniawi yang berteraskan kekayaan harta benda membuatkan identiti dan jati diri masyarakat mulai terhakis atas nama globalisasi.
Menerusi beberapa perbahasan oleh ahli akademik terhadap ayat ini di dalam buku tulisannya iaitu The Gay Science pada tahun 1882, meskipun Nietszche adalah seorang ateis, beliau tetap bimbang dengan kejatuhan institusi agama dalam masyarakat yang didorong oleh perkembangan dan revolusi sains.
Beliau juga percaya dengan kejatuhan institusi agama ini akan menyebabkan risiko moral awam dalam menyantuni ilmu falsafah sekaligus merencatkan pertumbuhan nilai insan dalam masyarakat.
Dalam konteks negara kita, institusi agama memainkan peranan sebagai sumber rujukan berkaitan hukum fekah, undang-undang syariah, fatwa, dan pelbagai lagi demi kepentingan masyarakat secara keseluruhan.
Dengan mengambil iktibar dari deklarasi Nietzsche ini, terlalu banyak yang kita boleh pelajari terutama dalam mendepani cabaran materialisme dan kekaburan garis sempadan dunia. Moral dan etika tidak seharusnya dibentuk sejajar dengan idealisme yang dinatijahkan bersama sistem ciptaan manusia. Sepertimana kita menghayati dan mengambil hikmah wahyu dalam riwayat kitab Tuhan tanpa cuba mengaplikasikan fahaman sains di dalamnya.
Adam Mukhriz lahir dan membesar di ceruk Pulau Langkawi. Pentaksub dunia sosiologi yang berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar impian menjadi pemuzik Grindcore.