Titah Sultan Nazrin 2014 Untuk Pengundi Johor 2022

PENGUNDI Johor tidak boleh memilih parti yang bergelumang rasuah, korupsi dan menerima sogokan sekecil-kecil 50 Ringgit, sehingga ratus atau ribuan ringgit untuk mengundi calon mereka. Hayat peradaban dan maruah bangsa Melayu terletak dalam tangan pengundi Johor, jantung kebudayaan Melayu.

Dalam kalangan orang Melayu, nampaknya kata rasuah tidak disebut secara langsung. Tetapi itu tidak bermakna Melayu tiada kesedaran mengenai hal rasuah ini. Najis rasuah ini diberikan pelbagai nama. Dari segi bahasa Melayu, seperti disebutkan oleh Kamus Dewan (2007), rasuah adalah ‘pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap)’. Nama-nama lain rasuah itu disentuh dalam peribahasa dan simpulan bahasa, yang antara lain dirujuk sebagai, ‘duit kopi’, ‘tumbuk rusuk’, ‘belanja kopi’, ‘pembasah leher’, ‘pekaras’, ‘minyak pelincir’, ‘wang bawah meja’, ‘kantau’, dan ‘sunglau’.

Jika tuan dan puan selaku pengundi diberi sogok sekecil-kecil 50 Ringgit, sehingga ratus atau ribuan ringgit untuk mengundi calon mereka, ketahuilah itu adalah rasuah, dan yang seumpama dengannya. Janganlah dikompromi. Jangan pula ada tuan dan puan yang menelefon pusat khidmat parti dan menanyakan berapa yang boleh diperolehi untuk mengundi calon bertanding. Hendaklah tuan dan puan pengundi tahu yang rasuah itu merosakkan masa depan anak-anak dan keturunan kita.

Saya terpaksa memetik titah Diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sempena ulang tahun penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR/SPRM) ke-47 pada tahun 2014. Saya memetik titah baginda kerana Tuanku Sultan Nazrin paling banyak bersuara mengenai rasuah, dan diketahui tidak berleluasa berniaga, atau menyimpan kemewahan melampau. Tambahan pula baginda Sultan Nazrin seorang raja yang bijak dan terpelajar.

Oleh sebab pengundi Johor sayangkan institusi beraja, maka saya memetik pandangan seorang Sultan yang berwibawa. Menurut Sultan Nazrin ‘rasuah adalah perbuatan pecah amanah’. Baginda menegaskan betapa rasuah itu adalah ‘dosa masyarakat’, kerana ia merupakan ‘dosa pertama yang dilakukan manusia adalah kesalahan melanggar amanah’. Dalam hal ini baginda memetik kisah nenek moyang kita seperti difirmankan dalam ayat 115 Surah Taha yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat”.

Seterusnya baginda Sultan Nazrin menyatakan pula ayat 35 Surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Dan Kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.”

Ayat-ayat yang dipetik Tuanku Sultan Nazrin itu menunjukkan baginda menyedari maksud meluas rasuah itu sebagai satu korupsi, atau pecah amanah, atau ketidakmampuan untuk menahan diri dari meluaskan kekayaan.

Saya telah menyatakan yang rasuah itu merosakkan masa depan anak-anak dan keturunan kita. Baginda Sultan Nazrin dalam titahnya itu menegaskan yang rasuah boleh menjejaskan ekonomi negara. Pengundi Johor telah melihat bagaimana pembangunan bantut di negeri kalian, dan bagaimana generasi anak-anak tuan dan puan bekerja keras di seberang tambak. Singapura, seperti mana kita tahu tiada kompromi dengan rasuah dan korupsi. Itulah sebabnya antara lain negaranya menjadi maju dan berjaya.

Tidakkah tuan dan puan pengundi Johor menjadi seperti itu?

Itulah sebabnya Tuanku Sultan Nazrin bertegas dalam titah dirajanya, mengatakan begini:

‘Rasuah sebagai antara sebab utama membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan serta mendorong kepada berlakunya ketidakstabilan politik. Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan tetapi kerana rasuah, ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran – ada yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna – hasil mahsul lesap, akibatnya kemunduran terus melanda – kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, ia akan tumbuh melebar – subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, hingga memusnahkan sesebuah negara bangsa.’

Dalam hal di atas, jika kita menghubungkan titah baginda dengan penjarah dan penjenayah rasuah, kita akan jelas bahawa rasuah jangan ditolakansur, malah rasuah menjadi punca kepada kemelaratan dan kepapaan bangsa. Pendek kata kita tidak bergambar dengan perasuah misalnya. Apatah lagi membawa pesalah rasuah ke ruang tamu kediaman kita.

Sultan Nazrin, seorang raja yang pintar menyatakan lagi bahawa rasuahlah punca kepincangan politik. Kata baginda lagi; ‘rasuah sebagai antara sebab utama membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan serta mendorong kepada berlakunya ketidakstabilan politik.’

Oleh sebab itulah baginda mengingatkan yang bumi kita ini mewah sumber, kata baginda; ‘banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan tetapi kerana rasuah, ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran – ada yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna – hasil mahsul lesap, akibatnya kemunduran terus melanda – kemiskinan terus merebak.’

Baginda berpesan dengan penuh nasihat, betapa; ‘apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, ia akan tumbuh melebar – subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, hingga memusnahkan sesebuah negara bangsa.’

Justeru jangan kita pula yang menjadi penggalak rasuah dan perasuah dengan menjulang dan memuja mereka. Apatah lagi kita pula yang mengundi mereka yakni meletakkan penjenayah dan sang keji ini sebagai pemimpin dan tokoh. Janganlah kerana seratus dua ringgit kita menggadaikan generasi mendatang. Tak berbaloi tuan-puan.

Dalam sejarah negara kita, satu masa dahulu, perasuah tiada dikompromi. Mereka dikecam dan dihina. Tuanku Sultan Nazrin memperihalkan bagaimana ketika era penjajah, majistret pertama yang dilantik di Pulau Pinang lebih 200 tahun lalu telah dipecat kerana melakukan rasuah. Manakala ketika zaman kepemimpinan Tunku Abdul Rahman, baginda mengisahkan bagaimana ‘Menteri Pelajaran merangkap Menteri Kesihatan pada tahun 1964, Abdul Rahman Talib kalah dalam perbicaraan kes sivil melawan S P Seenivasagam’. Ini ‘memberi implikasi Abdul Rahman Talib terlibat dengan rasuah’, lantas ‘Abdul Rahman Talib mengundur diri dari menjadi anggota Jemaah Menteri.’

Ini berbeza sekali di zaman ini, bila ada menteri yang melakukan rasuah dan didapati bersalah malah menagih perhatian pengundi dengan harapan untuk menjadi pemimpin kembali. Perasuah ini sangat bangsat dan hina tuan-tuan, dan puan-puan. Jangan benarkan mereka naik kembali.

Kerana itulah kata baginda Sultan Nazrin, rakyat bulat tekad menolak parti politik rasuah. Baginda bertitah lagi dalam tahun 2014 itu begini; ‘sokongan terhadap parti pemerintah, PERIKATAN, merosot pada Pilihan Raya Umum 1969. Tun Abdul Razak peka membaca mesej rakyat. Tun Abdul Razak meneliti isu-isu utama yang dijadikan peluru menyerang Parti Perikatan dan kerajaan semasa kempen pilihan raya; lalu segera bertindak melakukan langkah pembetulan. Imej kerajaan berkaitan rasuah ditangani tanpa bertangguh. Tun Abdul Razak tidak memberi perlindungan kepada anggota pentadbiran dan ahli parti yang terpalit dengan rasuah. Atas nasihat Datuk Harun Hashim, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) melalui Ordinan Darurat No. 22, memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), membekukan aset orang yang disyaki melakukan rasuah.’

Nah, cuba pengundi Johor membandingkan era kita sekarang? Tidakkah hal yang ada ini sangat pelik. Kita malah meraikan kempen parti rasuah dan pengkhianat. Kita malah tidak segan silu mengambil wang sogok yang haram di sisi agama dan budaya itu. Kita berpesta pula bersama mereka.

Pemimpin di peringkat negeri yang terkantul dengan rasuah bukannya tiada. Sultan Nazrin memetik begini; ‘Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Said didedahkan memiliki hampir satu perpuluhan dua juta ringgit (RM1,138,403); tiga ratus tiga puluh ribu ringgit (RM329,979) disita kerana didapati diperoleh secara rasuah. Ahmad Said meletakkan jawatan pada Februari 1970.’

Harus diingat baginda Sultan Nazrin itu berasal dari Perak. Baginda seterusnya memetik keadaan di Trengganu pula; ‘pada Julai 1970, Menteri Besar Terengganu, Ibrahim Fikri diarah bercuti dua bulan; selepas itu beliau digantikan dengan Mahmood Sulaiman. Pada peringkat Persekutuan, Khaw Kai Boh diarah berundur daripada menjadi anggota Jemaah Menteri pada September 1970.’

Tuan-tuan, sejarah rasuah dan didapati bersalah oleh mahkamah seperti Najib Razak yang paling hebat itu pernah terjadi kepada Harun Idris. Tuan-tuan dan puan-puan pengundi lama tentu mengingat hal ini.

Kata Sultan Nazrin dalam titahnya; ‘pada era pimpinan Datuk Hussein Onn, Datuk Harun Idris pada tahun 1976 disabitkan kesalahan rasuah. Datuk Harun dibicarakan di hadapan Paduka Ayahanda Beta, ketika itu Hakim Raja Azlan Shah. Hakim Raja Azlan Shah menghadapi tugas berat. Tertuduh, bukan sahaja mempunyai sokongan politik, tetapi seorang individu yang baginda kenal. Ketika menjatuhkan hukuman antara lain Hakim Raja Azlan Shah menyatakan, hal ini sangat pahit lantaran baginda Sultan Azlan sebagai hakim mengenali politikus terbabit dan kecewa dengan kemerosotan integriti yang sedia ada; ‘It is painful for me to have to sentence a man I know. I wish it were the duty of some other judge to perform that task. To me this hearing seems to re-affirm the vitality of the rule of law. But to many of us, this hearing also suggests a frightening decay in the integrity of some of our leaders.’

Sultan Nazrin memetik penghakiman Sultan Azlan dalam kes Harun Idris tersebut, bahawa kuasa itu membawa kepada korupsi dan kuasa mutlak pula membawa kepada korupsi yang maha dahsyat; ‘It has given horrible illustrations of Lord Acton’s aphorism ‘power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely’, and has focused concern on the need of some avowed limitations upon political authority.’

Oleh sebab yang melakukan rasuah ini adalah pemimpin, Sultan Azlan mengenakan hukuman keras untuk Harun Idris, kerana kata baginda undang-undang harus mengatasi individu. Jika seseorang pemimpin itu betul negarawan mereka akan malu, dan sebetulnya melihat kuasa yang sedia ada untuk berbakti kepada negara. Bukan dengan merompak hasil mahsul negara dan menyelewengkan maklumat serta menunggang kebodohan sesetengah rakyat yang naif dan miskin. Jika kita membawa titah Sultan Nazrin itu kita akan faham bahawa pemimpin perasuah bukan diundi lagi, tetapi dihumban berkali-kali ke dalam penjara”

‘..the law is no respector of persons. Nevertheless it will be impossible to ignore the fact that you are in a different category from any person that I have ever tried. It would be impossible to ignore the fact that, in the eyes of millions of our countrymen and women, you are a patriot and a leader. Even those who differ from you in politics look upon you as a man of high ideals. You had every chance to reach the greatest height of human achievement. But half-way along the road, you allowed avarice to corrupt you. It is incomprehensible how a man in your position could not in your own conscience, recognise corruption for what it is. In so doing, you have not only betrayed your party cause, for which you have spoken so eloquently, but also the oath of office which you have taken and subscribed before your Sovereign Ruler, and above all the law of which you are its servant’.

Tuan-tuan dan puan-puan pengundi Johor, kalian adalah benteng terakhir peradaban dan maruah Melayu hari ini. Di tangan kalian adalah peluang untuk melakukan satu perkara yang betul, iaitu menolak parti perasuah, parti rasuah, parti menjulang penyangak dan parti banduan ini. Janganlah kita meraikan pesalah jenayah.

Titah Sultan Nazrin, demokrasi dan pilihan raya harus dijadikan kaedah betul untuk memberikan yang terbaik kepada kita. Anak-anak tuan dan puan berkhidmat di Singapura kerana mereka tegas dan benci akan korupsi, takkanlah di negeri sendiri tuan-tuan memilih penyamun mentadbir kampung dan negeri? Hayatilah kata-kata Sultan Nazrin pada tahun 2014 ini, yang relevan untuk pengundi Johor pada tahun 2022:

‘Sistem pemerintahan berteraskan demokrasi, berpegang kepada doktrin kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Betapa sekalipun kecacatan yang ada, sistem demokrasi sering kali dianggap lebih superior, memiliki mekanisme dan saluran untuk mendedahkan amalan rasuah elit pemerintahan. Ia dikatakan modul terbaik, membolehkan berlangsungnya amalan ketelusan, akauntabiliti serta semak dan imbang. Doktrin demokrasi membolehkan rakyat menukar kerajaan. Jika kerajaan gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.’

Semoga pengundi Johor yang cintakan raja yang sebenar molek dan berdaulat, akan arif menafsir dan menilai titah tuanku Sultan Nazrin. Johor tidak boleh memilih parti yang bergelumang rasuah, korupsi dan menerima sogokan sekecil-kecil 50 Ringgit, sehingga ratus atau ribuan ringgit untuk mengundi calon mereka. Hayat peradaban dan maruah bangsa Melayu terletak dalam tangan pengundi Johor, jantung kebudayaan Melayu.

Turunlah ramai-ramai mengundi, baik di Felda, di kampung, di pekan dan bandar kelak. Lantas di hadapan peti undi bacakan basmalah dan pangkahlah parti yang mengatakan tidak kepada rasuah. Janganlah memilih perasuah, parti perasuah dan mereka yang berparti dan berkeramaian dengan rasuah. Malulah dengan bangsa lain. Malulah dengan Sultan pewaris kerajaan Melaka ini. Malulah dengan Tuhan. Malulah dengan anak-cucu yang akan kencing di atas kubur kita kerana kita tersalah memilih hari ini. Malulah, inilah maksudnya malu itu sebahagian daripada iman. Jika tiada malu seperti Kemaluan Negara, maka jahanamlah negeri.

Komen