Saya memerhati dalam berita saban hari, dan semenjak kebelakangan ini, saya melihat di Amerika Syarikat terdapat sekumpulan warga sana memberontak terhadap polis dan kerajaan. Punca pemberontakan yang dijalankan adalah daripada pembunuhan yang dilakukan di depan kamera oleh pasukan polis peronda di Minnesota. George Floyd ditahan atas disyaki memalsukan cek wang di kedai berhampiran, kemudian dibawa polis keluar dari kedai itu, digari tangannya sambil dipaksa meniarap dengan meletakkan kaki di leher, tindakan itu melemaskan George Floyd dan walaupun diminta olehnya supaya polis mengalihkan kakinya, polis tetap tidak berganjak dan George Floyd mati di khalayak ramai.
Kematian George Floyd yang begitu menyayat hati telah menjadi satu kejadian yang memanggil hati rakyat Amerika Syarikat supaya bingkas bangkit dan melawan kerajaan dan rakitan polis yang sudah lama mengamalkan penyelewengan kuasa dan penindasan kepada kaum bukan orang putih. Sekian lama, kaum-kaum ini cuba untuk membangkitkan isu ini dengan aman, dengan senyap, tetapi tidak membuahkan hasil bagai ingin menuai padi pada musim kemarau. Penyelewengan kerajaan dan kegagalannya mereka untuk melindungi rakyat daripada penindasan dan kehilangan kerja berikutan melengahkan usaha untuk membanteras Covid-19 bagaikan mencekik rakyat Amerika, kelemasan, sebagaimana George Floyd yang ditekan lehernya.
Perjuangan rakyat Amerika sekarang ini adalah perjuangan yang mempunyai sebab yang sahih, tidak dapatlah kita nafikan lagi bahawa sememangnya rakyat Amerika terdesak untuk perubahan, tetapi bagi kita dan untuk orang awam di Tanah Air ini mungkin tidak dapat memahami betapa pentingnya sebuah pemberontakan. Maka izinkan saya untuk bercakap dalam bahasa yang semua akan faham, yakni dalam sudut pandang Islam mengenai pemberontakan.
Sepertimana dalam segala sudut pandang Islam, terdapat pelbagai pendapat mengenai pemberontakan. Ada cendekia (Ulama) yang cenderung mengatakan pemberontakan itu hukumnya Haram ataupun ditegah, dan ada juga yang cenderung mengatakan bahawa pemberontakan itu adalah hak malah dituntut dalam Islam. Soal politik di dalam Islam agak sukar untuk diterangkan secara bersepadu, kerana hal-hal bidang siasah di dalam Islam terutamanya kesiasahan moden, tidak diterokai penuh dan jika ada pun, terperangkap dalam konteks zaman yang terdahulu. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa Ulama dan keturunan (generasi) Salaf melontarkan pandangan mengenainya.
Sejarah Islam bermula daripada pemberontakan Nabi Muhammad terhadap kekuasaan Arab Jahiliyah yang menggunakan segenap pengaruh mereka untuk menindas orang yang miskin, mengamalkan perhambaan, serta memakan harta anak yatim. Nabi Muhammad diarahkan oleh Allah untuk melawan mereka untuk memberikan contoh dan tanda kenabian bagi penganut Islam untuk masa akan datang, sebagai bukti bahawa Islam datang bukan sebagai agama yang kosong bahkan sebuah agama yang mengajak penyembahan kepada Allah yang mengangkat keadilan dan menolak kezaliman. Corak yang sama terlihat pada para Sahabat khususnya dalam kalangan Khulafa Ar-Rasyidin yang cergas melawan penindasan orang yang tidak mahu membayar zakat (tidak mahu menyumbang harta mereka dalam pembinaan prasarana kemasyarakatan) serta penindasan dari kuasa besar Parsi dan Rom yang menjadikan wilayah Jazirah Arab dan Syam sebagai padang peperangan proksi.
Menurut Dr. Usama al-Azami, dalam tulisannya mengenai hal ini, dia menegaskan bahawa kebanyakan cendekia feqah seperti Imam Abu Hanifa, Imam Maliki, Imam Syafii, serta Imam Hanbali masing-masing menggalakkan pemberontakan terhadap kerajaan yang kejam merupakan satu perkara yang dituntut dalam cabang feqah mereka usulkan. Apabila cabang feqah ini semakin matang, cadang yang diberikan oleh keempat-empat Imam ini diperhalus kepada tahap “pemberontakan yang dilakukan tidak semestinya mengangkat senjata”. Menariknya daripada Mazhab Syafii, terdapat dua tokoh yang sama-sama bersetuju akan hak rakyat untuk memberontak, tetapi berlainan dalam pelaksanaannya, iaitu Imam Fakhruddin Ar-Razi serta Ibn Hajar al-Asqalani. Bagi Imam Ar-Razi, jangankan taat kepada pemerintah itu bukanlah tanggungjawab Muslim, bahkan ada kemungkinan besar ianya ditegah kerana jarang apa yang diarahkan oleh pemimpin adalah selari dengan suruhan Allah. Untuk Ibn Hajar pula, jikalau boleh untuk merampas kuasa daripada pemerintah yang zalim (Umara al-jawr) tanpa mengundang kacau bilau (fitnah), maka ianya dituntut dan jika sebaliknya diharap bersabar.
Pandangan cendekia mengenai tuntutan pemberontakan tidak terhenti pada zaman lampau, Sh. Abdullah Bayyah serta Sh. Yusuf Al-Qaradhawi telah menyokong kefahaman menerapkan keislaman dalam rakitan demokrasi moden. Mereka berdua mempunyai pendapat bahawa kewujudan demokrasi merupakan salah satu alat yang ampuh untuk memberontak kepada pemerintah zalim tanpa perlunya untuk menggunakan kekuatan senjata. Walaupun kebanyakan cendekia sedia menyuarakan pendapat mengenai tuntutan pemberontakan, kita perlu faham bahawa kedudukan pendapat mereka bukanlah memberontak kepada kerajaan malah hanya memberontak kepada kerajaan yang zalim. Anjuran mereka sekali lagi bertepatan dengan halatuju Syariah yakni memelihara agama, nyawa, dan harta, kerana mereka mengingatkan selagi boleh, pemberontakan yang dilakukan perlu mengelak daripada menggunakan senjata. Jelas, bahawa Islam tidaklah memanggil kepada anarkisme sebaliknya mempercayai bahawa suatu masyakat yang adil dan saksama hanya dapat dijalankan dalam kerajaan yang adil.
“Athiullaha wa Athiurrasula wa Ulil Amri minkum”
Taati Allah, taati Rasul, serta pemimpin daripada kalangan kamu
Bagaimana pula kita hendak kaitkan dengan pemberontakan di Amerika Syarikat? Kita sudah faham bahawa pemberontakan di sana berpunca daripada berpuluh malah beratus tahun penindasan yang dilakukan oleh kerajaan Amerika Syarikat. Penindasan yang dilakukan bukan sahaja kepada kaum orang hitam, tetapi kepada orang Muslim juga. Berapa ramai saudara Muslim yang disumbat masuk dalam Guantanamo atas tuduhan pengganas tanpa perbicaraan sedangkan ramai anggota pengganas Kristian, Ku Klux Klan masih bebas membunuh orang Islam. Berapa ramai saudara kita di Syria, Afghanistan, Palestin, Kesultanan Filipina diperangi oleh tentera Amerika Syarikat sehinggakan ramai yang terkorban, anak-anaknya dibakar, perempuannya dirogol.
Hak untuk memberontak diiktiraf dalam Islam, kita perlu sedaya upaya menyokong mereka. Jangankan kita seolah-olah terlupa akan apa yang telah berlaku pada seluruh dunia, betapa tidak adilnya dan zalim kekuasaan Amerika. Pemberontakan di Amerika Syarikat ini adalah lebih besar daripada menuntut keadilan buat George Floyd, hakikatnya ia adalah pergerakan untuk memaksa Amerika Syarikat berubah dari satu kuasa besar yang menindas kepada satu kuasa yang lebih menitik beratkan soal kemanusiaan. Dalam erti kata lain, kita dituntut untuk sama-sama berganding bahu sesama mereka.
Kita perlu mempunyai satu kesepaduan, solidariti antara kita, tidak kira warga Muslim ataupun tidak, untuk sama-sama menyokong pergerakan mereka. Sudah terdapat tuntutan dalam agama kita, dan kita hanya perlu membantu mereka dengan apa yang kita mampu biarlah hanya dari kongsian di laman sosial. Meskipun kita berlainan bangsa, agama, dan negara, dasar luar negara Amerika Syarikat semestinya akan memberi kesan kepada kita jika kerosakan yang lama bertandang dalam politik negara itu tidak diubati.
Berikut merupakan ungkapan peninju dunia, Muhammad Ali, ketika dia diminta untuk turut sama sertai tentera Amerika Syarikat dalam penaklukan Vietnam;
“Kenapa mereka mahu saya memakai baju seragam dan pergi 10,000 batu dari rumah, kemudian menjatuhkan bedil dan peluru kepada orang Vietnam sementara kaum kulit hitam di Louisville dilayan seperti anjing lantas dinafikan hak kemanusiaan? Tidak, saya tidak akan pergi 10,000 batu dari rumah untuk membantu membantai dan membakar satu lagi negara miskin semata-mata untuk meneruskan penjajahan orang putih. Hari ini, kezaliman ini mesti berakhir!”
Raden Kraton adalah seorang wanita yang berkicau di Twitter melalui akaun peribadinya @RadenKraton. Ciapan beliau kebanyakannya berkisar tentang hal-hal sejarah dan falsafah.