TIKTOK: TELADAN ATAU TEGAHAN?

Hari ini New York Times melaporkan bahawa Nepal telah mengharamkan aplikasi media sosial TikTok di negara itu.

Pengharaman ini dibuat selepas mesyuarat kabinet Nepal dan Menteri Luar, Narayan Prakash Saud mengumumkan ia berkuat kuasa serta merta.

“Kerajaan telah memutuskan untuk mengharamkan TikTok kerana ia adalah perlu untuk mengawal penggunaan platform media sosial yang mengganggu keharmonian sosial, muhibah dan aliran bahan tidak senonoh,” kata Menteri Luar Nepal.

Nepal bukanlah negara pertama mengharamkan TikTok, malah banyak negara lain juga pernah bertindak mengharamkan TikTok walaupun ada sesetengahnya telah menarik pengharaman tersebut.

Hasil kajian JKOM Pro Bono, sejumlah 29 negara pernah bertindak ke atas aplikasi media sosial asal China tersebut.

Bahkan China sendiri yang tidak mempunyai TikTok mengadakan regulasi yang ketat ke atas Douyin, iaitu TikTok versi China yang dikawal selia kandungannya oleh kerajaan.

Langkah Nepal dan negara lain ini menimbulkan persoalan sama ada perlu atau tidak Malaysia melakukan sekatan atau pengharaman yang sama ke atas TikTok?

Kita sedia maklum, banyak aduan berkaitan TikTok telah dibangkitkan di negara ini berkaitan kandungannya yang provokatif dan menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini.

Kerajaan juga pernah beberapa kali memanggil pihak pengurusan TikTok Malaysia atas kegagalan penyedia platform itu menjalankan regulasi terhadap kandungan di TikTok.

Mungkin sudah tiba masanya Malaysia juga mengikut jejak 29 negara lain mengharamkan TikTok sekiranya lebih banyak tegahan timbul berbanding teladan di aplikasi media sosial itu.

Komen