The Drug King: Melihat Korupsi Berfungsi

LEE DOO SAM ketika meneguk kencing ahli kongsi gelap tidak pernah berfikir kalau dia akan bergelar Raja Narkotik di Busan. Dia juga tidak pernah berfikir kalau dia akan ditundukkan oleh serbuk nikmat tersebut. Namun yang pasti dia mahu segalanya memuntahkan wang. Meski dia perlu terjun ke dalam laut, dibantai pegawai polis sehingga memancutlah air kencingnya atau perlu menukar identitinya sekali pun. Lee Doo Sam yang pada awalnya hanyalah seorang suami dengan kehidupan sederhana ini merupakan seorang penyeludup handalan. Sehingga akhirnya, dia dihantar menyeludup dadah. Kata Doo Sam – lebih baik dipenjara kerana menyeludup berbanding mati kelaparan.

The Drug King ialah sebuah filem Korea yang agak rancak dengan babak-babak penting. Ia bergerak perlahan. Penonton berkemungkinan besar akan terlena dan Lee Doo Sam tidak akan  beraksi dalam mimpi mereka. Filem lakonan Song Kang-Ho (juga memainkan watak bapa dalam filem Parasite) ini adalah tentang seorang lelaki ordinari yang akhirnya bergelar Raja Narkotik. Lee Doo Sam mengeksport dadah ke Jepun yang kemudiannya disebarluaskan secara domestik.  Satu hal penting dalam filem ini adalah bagaimana ia menggambarkan seorang lelaki ordinari yang tak punya apa-apa melainkan bakat sebagai tukang emas akhirnya menjadi terkenal seluruh Korea. Lee Doo Sam menerima darjah kebesaran. Lee Doo Sam ialah penasihat persatuan terkemuka. Lee Doo Sam ialah penyumbang utama ke pusat-pusat kebajikan. Lee Doo Sam di sini. Lee Doo Sam di sana.

Kata Lee Doo Sam, untuk berjaya (dan kaya), dia perlukan jalinan hubungan bersama orang berkepentingan. Lalu, tanpa rasa bersalah Lee Doo Sam menghadiahkan sejumlah wang kepada pegawai polis. Kata SPRM, perbuatan ini sudah tentu dianggap sebagai perbuatan merasuah. Menurut suruhanjaya murni ini, rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun. Mudahnya, rasuah ialah perbuatan menghadiahkan wang atau perkhidmatan untuk kepentingan tertentu.

Beginilah akhirnya demi mencapai kekayaan yang tak berkesudahan, Lee Doo Sam berjabat tangan bersama ahli politik. Demi perlindungan yang tak berbatas, Lee Doo Sam membelanjakan wangnya untuk kempen ahli politik. Lee Doo Sam membeli integriti setiap individu yang berkepentingan demi kepentingan peribadinya. Ketika melihat jenayah rasuah dalam kalangan kolar putih ini, pernahkah kita terfikir bagaimana di lorong-lorong gelap di Malaysia, masih ada laki-laki dan perempuan terbang ke bulan? Pernahkah terlintas difikiran kita bagaimana dengan kecanggihan sistem imegresen, kita masih menerima beratus ribu warga asing tanpa izin? Pernahkan sekali difikirkan mengapa sistem jalan raya kita tidak baik? Barangkali terlintas difikiran bagaimana binaan yang tak pernah siap di Selangor menjadi pembunuh? Ia persoalan yang mungkin mudah dijawab namun sukar sekali mendapatkan kebenaran.

Rasuah sudah tentu berselirat jalannya sehingga sukarlah badan seperti SPRM mencari kebenaran. Sehingga terlepaslah individu seperti Ku Nan dari pertuduhan. Memikirkan suapan, The Drug King mengajarkan sesuatu – kalau ia tak mungkin berlaku dengan sekali lingkaran sahaja. Ia bermula dengan menghadiahkan wang kepada polis, kemudian membantu membelanjakan kempen buat ahli politik, memberi nikmat seks kepada anak perempuan tuan presiden sehingga dia duduk di kerusi orang-orang berkepentingan. Dia akhirnya seperti orang-orang di atas takhta – tidak boleh disentuh.

Bagaimanapun menanggapi duit kopi sebagai satu kesalahan yang tidak terampunkan, lihatlah bagaimana ia berlaku dalam keterdesakan. Sebuah Sekolah Memandu membisikkan kepada calon kalau RM 800 kepada pegawai JPJ boleh memberikannya sekeping kad untuk lolos sekatan jalan. Orang-orang yang sudah berbelas kali gagal dalam ujian memandu dalam keterdesakan demi kehidupan yang lebih baik – apakah ada jalan lain yang boleh mereka lalui? Boleh jadi, tangan-tangan pengkhianat ini dengan sengaja menggagalkan demi RM 800. Di kampus-kampus, ada siswa dan siswi yang dipaksa mengulum kemaluan pensyarah demi nilai markah yang tinggi. Korupsi memang jijik. Dan sudah pasti, dalam permainan makan suap ini – relasi kekuasaan berada di dalamnya.

Menjadi Orang Awam Dalam Dunia Serba Cedera           

Entah siapa tahu kalau tangan yang menghulurkan cek puluhan ribu ialah tangan yang sama mengadun opium di bilik rahsia dalam sebuah singgahsana. Lee Doo Sam di sebelah pagi mengirimkan sumbangan kepada mereka yang tidak bersenang-lenang di kayangan dan di sebelah malam mengukur bahan demi bahan untuk penghasilan dadah. Dia tidak gentar kerana di kiri dan kanannya ada orang-orang berkepentingan membina jambatan untuk dia lari dari penguatkuasa – kalau di Malaysia, SPRM.

Lalu, ketika Lee Doo Sam dijaga kukuh oleh jaringan hubungan bersama ahli politik, orang muda berbunuhan kerana candu. Mereka agresif. Mereka bengis kerana nikmat terbang ke bulan sukar untuk didapatkan. Ketika kehancuran demi kehancuran dilakukan, Lee Doo Sam sedang tidur nyenyak di atas tilam empuk. Di kiri dan kanan katilnya, ada wang berkepuk-kepuk yang sehingga kiamat pun tidak habis dimakan.

Di Malaysia, ketika pandemik menghentam kita semua, ada orang-orang sedang bermabuk-mabukan di Genting Highland. Saat seorang bapa menghembuskan nafas yang terakhir di atas kerusi roda ketika menunggu rawatan, ada isteri menteri dianugerahkan kenaikan pangkat untuk kali ketiga. Dan ketika kematian bergantung-gantung, kilang-kilang besar terus beroperasi. Louis Vutton tiba-tiba menjadi sebuah perniagaan penting.

Di Busan, Lee Doo Sam ditangkap dan dibebaskan semula kerana permainan korupsinya. Di Malaysia, Ku Nan sudah terlepas dan Najib Razak belum pun diberikan perhitungan. Selamat Hari Lahir, Dato Sri. Harap belumlah terlewatkan. Di Busan, permainan korupsi Doo Sam membunuh mereka yang kecanduan. Di Malaysia, tangan-tangan ini seringkali gagal disekat oleh SPRM tetapi masyarakat terbanyak menunggu-nunggu dipanggil menghadap Tuhan. Lebih sukar jika akhirnya SPRM ikut sama dipaksa berjabat tangan.

The Drug King mengajarkan kalau dadah memang haram dan membinasakan, namun, lihat dengan siapa kalian berkawan. Pohon balak boleh jadi haram ditebang, namun lihatlah bah di serambi Mekah dan negeri Abdullah. Gaza dan Giza tidaklah boleh dijejaki ketika pandemik, namun lihatlah perbalahan mereka yang disayangi Allah. Penderaan kanak-kanak boleh jadi satu kesalahan jenayah, namun lihatlah siapa yang dibebaskan tahanan reman. Duit kopi memang manis buat mereka berkolar putih, namun ia pahit buat kita semua beruniform kilang.

Filem ini sememangnya akan membawa penonton semua ke satu kisah silam dan buruk masyarakat Islam di Malaysia – pendedahan kartel daging. Sehingga hari ini, di manakah Raja Daging – belum pun ditemukan. Yang tinggal, hanyalah fatwa daging zirafah dan wagyu serta renungan terhadap daging kangaroo yang sudah selamat menjadi darah daging setiap daripada rakyat Malaysia.  Karya Woo Min-Ho ini boleh jadi sarat, namun percayalah untuk melihat bagaimana korupsi memberi manfaat dan mudarat, duduk dan tontonlah. Selamat menonton!

Komen