Petang hujung minggu yang sudah, saya turun beriadah keliling tasik di Putarjaya. Tidak pasti pula Presint yang ke berapa, kerana saya sendiri pun tidaklah mahir dengan selok-belok di Putarjaya ini. Kata orang, kalau masuk Putarjaya jangan cakap besar atau seronok sangat, kelak nanti tidak jumpa jalan keluar. Lagi saya tidak faham, entah dari mana datangnya istilah ‘presint’. Kenapa tidak dinamakan saja ‘seksyen’ atau lebih sedap ‘gugusan’ seperti di Felda, saya tidak pasti. Mungkin ‘presint’ bunyinya lebih moden dan setaraf negara maju ketika Prang Besar ditukar nama menjadi Putarjaya. Saya kira selepas ini jika ada pembangunan bandar terancang yang baharu, mungkin ia mengguna pakai istilah ‘kluster’ pula kerana sejak COVID-19, perkataan ‘kluster’ agak trendy.
Sedang khusyuk saya lari-lari anak membakar kalori yang banyaknya Tuhan sahaja yang tahu, eh eh macam kenal, ternampak satu figura merangkap YB Menteri yang selalu nampak aktif di Twitterjaya dan juga hotel-hotel ternama sekitar ibu kota seperti Renaissance, Sheraton dan Berjaya Times Square. Tak ada pengiring, saya rasa tidak perlu pun memandangkan nama timangan beliau Mak Lampir sudah cukup menggerunkan bagi sesiapa sahaja yang cuba mendekatinya. Maka saya juga buat keputusan bijak buat-buat tak nampak dan berniat mahu teruskan lari-lari anak.
Tetapi YB Menteri ada niat lain.
“Assalamualaikum. Tak jawab dosa.” Tegur YB Menteri.
Saya menyumpah seranah dalam hati. Namun sebagai Melayu Islam, saya sopan dan husnudzon untuk menjawab. “Walaikumsalam.”
“Nak tangkap gambar ke? Hah, silakan, sila.” YB Menteri tersebut mempelawa saya.
Saya tak hingin nak ambil gambar pun sebenarnya. Lalu saya jawab tidak mengapa.
“Eh eh. Jangan segan. Saya rendah diri orangnya, berjiwa rakyat. Ambil lah gambar, saya posing kayuh basikal ni.”
“Er, baiklah.” Saya jawab sambil keluarkan telefon bimbit dari kocek seluar.
Mula-mula niat saya hanya mahu pura-pura menangkap gambar. Tetapi teringat pula di zaman teknologi tanpa Kodak dan cuci gambar ini, lazimnya orang sibuk mahu melihat rupa diri mereka selepas ditangkap gambarnya. Jadi terpaksalah saya buat betul-betul.
“Ha cantik, cantik. Nanti tweet dan jangan lupa mention saya.” Pesan YB Menteri sambil membelek gambar yang diambil di telefon bimbit saya. Kan betul sangkaan saya, dia mesti nak tengok bagaimana rupa gambarnya.
Saya ingat seksa saya habis di sini, rupanya tidak. YB Menteri ajak saya beriadah bersama keliling tasik Putarjaya, entah di Presint berapa saya tak pasti. Saya cuba menolak, tetapi YB Menteri mendesak kerana katanya dia mahu luangkan hujung minggu ini untuk berbual dengan rakyat seperti saya. Barulah berjiwa rakyat, katanya lagi.
Tidak pasti saya bagaimana kami beriadah bersama. Kerana jika sudara-sudari masih ingat, awalnya saya lari-lari anak sedang YB Menteri mengayuh basikal. Mungkin YB Menteri menolak basikal dan berjalan bersama saya? Atau mungkin saya berlari saing YB Menteri yang mengayuh basikal? Saya lupa betul template yang diberikan oleh rakan saya ketika dia meminta saya menulis artikel ini dengan sedikit bayaran saguhati.
Maka kita abaikan persoalan di atas dan anggap sajalah kami beriadah bersama sambil berbual isu-isu penting negara.
YB Menteri tak banyak cakap. Katanya sebagai seorang wakil rakyat, perlu lebih banyak mendengar dari bercakap, kecuali ketika kempen pilihan raya dimana YB Menteri perlu bercakap banyak untuk menabur janji manis sebagai gula-gula buat rakyat.
Lalu saya memainkan peranan untuk menyampaikan keluh-kesah rakyat kebanyakan. Tentang Mak Cik Kiah berniaga pisang goreng di kejiranan saya yang pisang gorengnya kini kurang laris akibat tidak ramai yang keluar membeli jajan, juga suaminya yang kurang permintaan e-hailing akibat pelanggan malas keluar dan mengadap sekatan jalan sana-sini dan anaknya yang mengaji di universiti tapi kini terperap di rumah kerana tiada komputer riba dan kemudahan Internet.
YB Menteri mengangguk. “Jangan risau”, balasnya. “Nanti ada BPN entah berapa point O dan juga boleh keluar duit Akaun 1 KWSP untuk ringankan beban keluarga Mak Cik Kiah. Ditambah dengan moratorium 6 bulan yang sudah diberi dan pengeluaran Akaun 2 KWSP sebelum ini, banyak sebenarnya duit yang kerajaan berikan untuk bantu rakyat.”
Saya membantah dengan menegaskan duit KWSP adalah duit rakyat sendiri dan moratorium pinjaman hanyalah sekadar penangguhan bayaran pinjaman, bukannya penghapusan hutang. Yang rakyat perlukan sekarang, cold hard cash atau jaminan peluang kerja.
Kemudian saya sampaikan pula kisah layanan antara dua darjat. Bagaimana anak muda di stesen kereta api kena kompaun sebab tarik topeng muka ke dagu untuk ambil nafas, penganggur dipenjara kerana langgar SOP juga kisah pengundi yang pulang dari Sabah tetapi dicekup kerana gagal kuarantin diri. Tetapi pada masa yang sama ada ahli politik, VVIP dan burung helang bebas ke sana ke sini tanpa topeng muka, tidak perlu kuarantin, bebas hadiri perhimpunan atau naik kereta beramai-ramai tanpa disekat polis.
YB Menteri tersengih sambil tangannya dihayun ke udara ibarat menepis COVID-19.
“Kita tak boleh sapu rata semua. Ada sebab ahli politik, VVIP dan burung helang diberi kelebihan kerana mereka bertugas untuk negara. Kami tak pakai topeng muka supaya rakyat cam muka kami dan nampak kami buat kerja, kami naik kereta ramai-ramai untuk jimat duit rakyat dan kurangkan pelepasan CO2, kami langgar SOP demi tugas bawa pulang pelaburan berbilion-bilion dari Turki dan kami ke Sabah untuk berkempen supaya kerajaan Melayu Islam menang dalam PRN dan nasib rakyat Sabah semuanya terbela. Kena faham perbezaan ini dan kenapa perlu diberi layan antara dua darjat.”
Saya terkedu. Betul kata orang, pemikiran para menteri memang di luar otak, bukan kotak.
Kerana sudah semakin panas dengan jawapan YB Menteri, saya terus melontarkan soalan paling keras.
“Kenapa khianat?!”
Giliran YB Menteri pula terdiam. Soalan saya tidak terus dijawab. Lama juga dia merenung air tasik Putarjaya yang entah di Presint berapa saya masih tak tahu. Bibirnya tertutup rapat dan saya perasan kelopak matanya mula bergenangan air mata. Saya kaget. Adakah saya terlalu celupar untuk bertanya soalan demikian rupa?
“Maaf YB Menteri kalau soalan saya tadi agak kurang ajar.” Saya cuba memujuk kembali akibat rasa salah.
“Dulu-dulu, saya selalu dengar lagu ni di sekolah.” YB Menteri kembali bersuara.
“Eh?” Baru saya perasan sepanjang perbualan kami, YB Menteri masih mengenakan earphone di balik tudung labuhnya. Saya sebenarnya tidaklah nampak earphone tersebut kerana ditutup hijab, tapi perkara ini memang sudah dijelaskan dalam template yang diberi.
“Tak nak tahu ke saya sedang dengar lagu siapa?” Tanya YB Menteri.
“Er, lagu siapa tu YB Menteri?” Saya bertanya juga walaupun sebenarnya memang saya tak nak tahu pun, tapi kenalah ikut template.
“Bee Gees.”
Kini saya pula terdiam kembali. Punyalah setengah mati saya seru kekuatan diri untuk bertanya soalan maut, akhirnya YB Menteri pusing topik ke cerita lagu kegemaran zaman sekolah.
“By the way, saya tak khianat pun. Saya buat semua ini demi bangsa Melayu dan agama Islam. Semuanya salah DAP dan Anwar yang gila nak jadi PM.”
Akhirnya YB Menteri menjawab soalan maut saya.
Mendengar jawapan itu, saya terus dirasuk syaitan lalu mengangkat basikal YB Menteri dan menghumbannya ke dalam tasik Putarjaya yang entah di Presint berapa saya tidak tahu. Patutnya perkara detail seperti Presint berapa ini ditulis jelas dalam template. Barulah senang saya nak melabun.
YB Menteri yang basikalnya sudah saya humban ke dalam tasik Putarjaya yang entah di Presint berapa saya tidak tahu, tiba-tiba mengilai. Wajahnya berubah menjadi Mak Lampir, pakaian dan tudung labuhnya serta-merta bertukar menjadi baju liplap-liplap gaya disko zaman 1970-an diiringi muzik latar Night Fever dendangan Bee Gees.
Mak Lampir Disko! Jerit saya dalam hati.
Kemudian saya pun terjaga dari tidur petang saya di Kuantan, 265 kilometer jauhnya dari Putarjaya.

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.