Teknologi 5G: Manfaat Dan Cabarannya

Teknologi 5G, generasi kelima dalam evolusi rangkaian selular, membawa bersama pelbagai manfaat dan cabaran yang mendatang. Dari segi umumnya, sudah tentu rangkaian teknologi 5G menawarkan kelajuan yang lebih pantas, latensi yang rendah serta kapasiti yang lebih tinggi bagi menjamin kestabilannya merentasi pelbagai sektor khususnya di Malaysia.

Kelebihan utama 5G sudah tentu berpaksikan atas kelajuan muat turun yang jauh lebih tingi berbanding generasi sebelumnya. Dengan kepantasan yang mampu mencapai beberapa gigabit setiap saat, penggunaan aplikasi dan permainan dalam talian yang memerlukan penggunaan data yang intensif akan menjadi lebih lancar dan responsif. Latensi rendah yang mampu dicapai oleh 5G mampu membuka pintu kepada inovasi khususnya dalam bidang IT dan komunikasi antarperanti.

Mungkin ada yang tidak tahu, apakah teknologi 5G ini boleh membawa pelbagai kelebihan yang merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan dan perkembangan teknologi di Malaysia secara menyeluruh. Dalam sektor ekonomi, perlaksanaan 5G di Malaysia akan memacu pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan produktiviti dan inovasi. Kepantasan internet yang melangkaui generasi sebelumnya memberi dorongan kepada perusahaan-perusahaan untuk meneroka teknologi terkini seperti Internet of Things (IoT). 5G bukan sahaja menjana kemajuan, teknologi ini sudah tentu mampu menyumbang kepada aspirasi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) untuk menjadikan negara yang memperoleh pendapatan tinggi. Untuk mencapai kemajuan ini secara menyeluruh, penglibatan pihak berkepentingan perlu dititikberatkan. Kerjasama antara sektor awam dan swasta, perusahaan teknologi dan masyarakat sivil adalah penting bagi menjayakan pelaksaanaan teknologi 5G. Penekanan terhadap keselamatan dan privasi perlu menjadi lebih kritis dengan mewujudkan rangka kerja yang kukuh bagi melindungi data pengguna dan perniagaan.

Dari segi pendidikan, kelebihan 5G sudah tentu membuka peluang dan kaedah untuk memajukan konteks pendidikan di Malaysia. Munculnya teknologi 5G dapat memperluas aksesibiliti pendidikan. Dengan kapasiti jaringan yang lebih besar, kawasan luar bandar khususnya, dapat menikmati akses Internet dengan lebih baik, membolehkan pelajar dari pelbagai latar belakang mendapat taraf pendidikan yang sama. 5G juga membolehkan wujudnya perluasan penggunaan teknolgi realiti tambahan (AR) dan realiti maya (VR) dalam kaedah pengajaran. Tenaga pengajar khususnya dapat mencipta sistem pengajaran yang lebih interaktif dan mendalam, menjadikan pembelajaran lebih menarik dan membantu pelajar memahami konsep dengan lebih baik. Akan tetapi, terdapat cabaran yang perlu dihadapi khususnya kepada tenaga pengajar berkenaan. Munculnya teknologi 5G dalam pengajaran memerlukan latihan yang mencukupi. Hal ini dikatakan demikian kerana, ia melibatkan pemahaman yang mendalam tentang teknologi bagi mencapai kaedah pembelajaran yang moden dan mengintegrasikannya dalam pengajaran mereka. Kos infrastruktur juga merupakan salah satu cabaran yang perlu dihadapi. Keperluan untuk menyediakan asas teknologi ini di seluruh negara mungkin menimbulkan cabaran kewangan.

Teknologi 5G membawa impak positif yang besar dalam sektor kesihatan di Malaysia, membuka peluang untuk penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih canggih dan inovatif. Dengan latensi rendah serta kelajuan tinggi 5G, penyampaian perkhidmatan kesihatan secara langsung atau jarak jauh akan lebih efisien. Rekod kesihatan para pesakit dapat diakses dengan lebih cepat dan tepat. Seterusnya, 5G merangsang penggunaan Internet of Things (IoT) dalam sektor kesihatan. Teknologi IoT dapat membantu pesakit mengenalpasti gejala, memantau kesihatan dan menghantar notifikasi kecemasan secara jarak jauh. Model operasi kesihatan berdasarkan teknologi IoT telah memudahkan pesakit terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar serta pedalaman dengan hanya menghubungi doktor dan mendapat rawatan dari jauh. Teknologi IoT mengoptimumkan model operasi kesihatan, menerusi aplikasi teknologi IoT, menghasilkan data berkenaan tekanan darah, kadar jatung, suhu badan, dan tahap glukosa darah. Pembangunan aplikasi kesihatan juga dapat dicipta dengan hadirnya teknologi 5G yang lebih lancar dan pantas. Keupayaan 5G untuk menangani data dengan kelajuan tinggi memberi ruang kepada pembangunan aplikasi kesihatan yang lebih inovatif. Contohnya, rakyat Malaysia sudah terdedah dengan aplikasi “MySejahtera” yang mampu memantau kesihatan para pesakit khususnya yang mengalami jangkitan wabak virus COVID-19. Dengan wujudnya lagi aplikasi yang dapat membantu kepada pemulihan para pesakit dengan lebih drastik, maka sektor kesihatan di Malaysia akan lebih kukuh tatkala dapat memberi manfaat yang meluas kepada rakyat.

Untuk merealisasikan perkara tersebut, sudah tentu wujudnya cabaran yang mendatang. Dari sudut privasi dan keselamatan data, wujud cabaran dalam memastikan privasi pesakit sentiasa terjaga. Perkara ini dapat diatasi jika wujudnya rangka kerja yang ketat dan peraturan yang jelas mengenai perlindungan maklumat peribadi pesakit. Selain itu, dari segi ketersediaan infrastruktur 5G. Pembangunan infrastruktur 5G sudah tentu memerlukan pelaburan yang tinggi dan pelaksaanaan yang menyeluruh. Oleh itu, rangkaian 5G perlu disediakan secara meluas di seluruh negara bagi memastikan akses kesihatan yang menyeluruh. Dengan wujudnya teknolgi 5G, sudah tentu wujud persoalan mengenai kebolehan akses yang menyeluruh. Walaupun teknolgi 5G membawa peluang yang pelbagai, kesamaan akses perlu diberi perhatian. Hal ini dikatakan demikian kerana, kawasan luar bandar dan komuniti yang kurang berkemampuan sukar mendapatkan akses yang sama seperti kawasan di bandar, sebaliknya hanya menggunakan teknologi berasaskan 4G.

Kesimpulannya, teknologi 5G membawa potensi yang besar dalam memajukan sektor ekonomi, pendidikan dan kesihatan di Malaysia. Manfaat yang dihasilkan oleh teknologi ini sudah tentu membuka ruang kepada era baru yang dilengkapi dengan infrastruktur yang moden dan canggih. Namun, cabaran yang muncul untuk memantapkan sistem teknologi 5G perlu diatasi dengan kebijaksanaan dan kerjasama yang kukuh antara pihak berkepentingan untuk memastikan kejayaan dan penerimaan yang dapat diterima oleh seluruh rakyat di Malaysia.

(Artikel ini ditulis oleh Adib Haiqal bin Subhi, mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia dalam Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Komen