Tanggungjawab Kerajaan Pulihkan Keyakinan Rakyat

Drama politik negara akhirnya menemui titik noktah apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri ke-8 oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Walaupun pihak Pakatan Harapan (PH) kelihatan akan terus berusaha membuktikan sokongan yang mereka perolehi namun buat seketika isu ini boleh dianggap selesai, paling tidakpun sehingga Parlimen bersidang.

Hakikatnya rakyat semakin muak dan bosan dengan gelagat ahli dan parti politik yang mencetuskan kemelut dan krisis seperti ini pada ketika negara sedang berhadapan dengan pelbagai masalah seperti ancaman wabak Covid-19 serta kelembapan ekonomi yang sangat serius. Tuntasnya bukan ini yang rakyat mahukan, dan ini juga bukan masanya untuk kita bergelut dengan persoalan siapa patut menjadi perdana menteri. Tetapi, orang politik tetap orang politik. Mereka sentiasa mencetuskan pelbagai krisis dan kemelut sehingga urusan lain terganggu.

Oleh itu dengan berakhirnya drama pelantikan perdana menteri baharu ini kita mahukan kerajaan baharu segera menumpukan perhatian untuk memulihkan semula keyakinan rakyat. Keyakinan yang dimaksudkan di sini ialah keyakinan terhadap pentadbiran baharu serta institusi politik di negara ini. Sebagai badan eksekutif, kerajaan baharu perlu meraih keyakinan dan sokongan rakyat agar dapat terus berfungsi seperti yang diperlukan. Jika tidak nasib kerajaan baharu juga kelak akan sama seperti nasib yang menimpa kerajaan sebelum ini.

Dalam konteks ini kerajaan baharu perlu membuktikan dan meyakinkan rakyat bahawa mampu memerintah dengan stabil, kuat dan kukuh. Barisan kabinet baharu yang bakal dibentuk dari parti yang terdiri dari pelbagai latar belakang perlu meyakinkan kita bahawa mereka mampu mengetepikan segala perbezaan ideologi dan kepentingan peribadi sekali gus mengutamakan kepentingan rakyat dan negara. Gabungan ini perlu membuktikan mampu membina kerjasama dan pesefahaman yang erat sebagai satu pasukan dan bukannya bertindak mengikut kepentingan parti masing-masing. Ini penting kerana kita hanya berbaki lebih kurang dua tahun lebih sahaja sebelum berhadapan dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), justeru harus diingat masa sangat mencemburui gabungan baharu ini untuk membuktikan kemampuan sebenar.

Kemunculan semula Barisan Nasional (BN) terutamanya UMNO sebagai sebahagian dari parti pemerintah juga bakal menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat. Paling utama sudah tentu rakyat mahu tahu apa pendirian kerajaan ini terhadap kes-kes berprofil tinggi membabitkan pemimpin UMNO yang sedang didakwa di mahkamah. Integriti dan profesionalisme kerajaan baharu akan teruji dalam hal ini. Jadi perlu yakinkan rakyat bahawa kerajaan ini tidak akan bertolak ansur sebaliknya akan bertindak dengan adil dan sentiasa mengutamakan prinsip rule of law.

Gabungan baharu yang dibentuk ini adalah bertunjangkan kerajaan melayu, Islam dan bumiputera. Sudah semestinya orang Melayu menaruh harapan dan keyakinan yang tinggi agar kerajaan ini akan kembali memartabatkan kedudukan orang Melayu dan agama Islam yang sekian lama menjadi kegusaran mereka. Hal ini sangat penting kerana hakikatnya orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini dan agama Islam adalah agama bagi Pesekutan, jadi orang Melayu dan agama Islam berhak mendapat pembelaan, penghormatan dan kedudukan yang sewajarnya. Ringkasnya, yakinkan orang Melayu bahawa kerajaan ini akan terus menjadi benteng mereka.

Dalam pada itu kerajaan juga perlu sentiasa ingat betapa kita adalah negara majmuk di mana kaum minoriti lain juga ada hak dan kedudukan mereka yang terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru yakinkan mereka kerajaan ini walaupun dilabel sebagai kerajaan bertunjangkan melayu, Islam dan bumiputera tetapi sama sekali tidak akan meminggirkan keperluan, kebajikan dan hak kaum lain sebagai rakyat Malaysia. Ini penting kerana formula kestabilan politik dan keamanan kita sebagai negara majmuk selama ini ialah, perpaduan dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Justeru diharap kerajaan baharu akan menggunakan peluang yang diberikan oleh YDPA ini sebaik mungkin untuk meraih keyakinan dan sokongan seluruh rakyat Malaysia supaya kita sama-sama berganding bahu membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat. Terima kasih Tun Dr Mahathir Mohamad atas segala jasa dan sumbangan yang telah diberikan selama ini. Percayalah, sumbangan Tun akan terpahat kemas dalam lipatan sejarah negara ini. Kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, tahniah di atas pelantikan dan semoga dapat terus memacu kecemerlangan negara.

Komen