SYARIAH: DIANCAM ATAU DITUNGGANG?

Satu himpunan selamatkan syariah yang dianjurkan sebuah parti politik menimbulkan persoalan, benarkah syariah sedang diancam atau ia sekadar ditunggang untuk faedah politik?

Cabaran perlembagaan melibatkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dibuat oleh peguam kelahiran Kelantan sendiri bernama Nik Elin Zurina yang juga secara kebetulan kenalan kepada pemimpin PAS, Takiyuddin Hassan.

Apa yang lebih menarik, cabaran perlembagaan ini dimulakan ketika era Perikatan Nasional menjadi sebahagian dari kerajaan dengan petisyen difailkan di mahkamah pada 13 Oktober 2022.

Nik Elin memfailkan petisyen atau cabaran ini kerana wujudnya pertindihan dengan undang-undang persekutuan melibatkan 20 dari 68 seksyen dalam enakmen syariah tersebut.

Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa undang-undang negeri yang tidak selaras dengan undang-undang persekutuan adalah tidak sah dan terbatal, dan ini merangkumi situasi di mana wujud pertindihan untuk kesalahan yang sama.

Apa yang dicabar oleh Nik Elin sebenarnya bukanlah menafikan hukum Tuhan, tetapi mencabar perkara takzir (hukuman) dalam enakmen tersebut yang sudah pun termaktub dalam undang-undang persekutuan.

Pun begitu, ianya tidaklah bermakna bahawa kedaulatan Islam sedang diancam kerana berbalik kepada Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama bagi Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3 justeru kedaulatannya adalah terpelihara.

Sebaliknya, cabaran perlembagaan yang dibuat ini adalah untuk harmonisasi antara sistem perundangan syariah dan sivil supaya tidak berlaku pertindihan atau hal-hal yang tidak selaras antara dua sistem perundangan ini dan keadilan terjamin kepada semua.

Syariah sebenarnya tetap terpelihara dan apa-apa keputusan mahkamah tidak akan menjejaskan enakmen syariah di negeri-negeri lain melainkan 20 seksyen yang dicabar.

Justeru terbuktilah bahawa syariah tidak diancam sama sekali tetapi yang nyata sekarang syariah ditunggang oleh pihak tertentu demi kepentingan politik mereka sendiri.

Komen