Di sebalik kemeriahan Tahun Baru Cina hari ini, kita dikhabarkan dengan berita sedih dan mendukacitakan apabila ada satu tokong Datuk Gong di Klang telah ‘dinasihatkan’ oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) agar diubah suai kerana dikhuatiri binaannya yang seakan kubah masjid boleh mendatangkan rasa tidak senang pihak tertentu.
Pihak PDRM mengambil maklum bahawa tokong tersebut dengan binaan kubah masjid sebenarnya dibina mengikut kepercayaan pemiliknya tanpa niat mengganggu sensitiviti mana-mana agama, namun kerana ia telah disensasikan dan tular di media sosial, ia terpaksa diubah suai.
Siapa Punca Tular?
Isu tokong berkenaan timbul apabila seorang wanita bernama Cleopatra menghantar ciapan di Twitter dengan menyertakan gambar tokong tersebut dengan bertanya siapakah yang membinanya. Beliau kemudian menuntut penjelasan lanjut sambil berkongsi lokasi tokong tersebut.
Yang menghairankan, jika sudah tahu lokasi di mana, kenapa tidak bertanya sahaja pada pemilik tokong? Tanyalah soalan siapa yang bina? Kenapa begini? Apa niatnya? Tetapi, individu bernama Cleopatra ini sebaliknya memilih untuk bertanya di media sosial, lalu mencetuskan persepsi liar yang boleh mengganggu sensitiviti pihak lain.
Sebenarnya sangat pelik seseorang yang bangga mengaku “Dutch Chinese mix blood” tidak tahu tentang tokong sebegini di Malaysia walaupun ada darah Cina mengalir dalam dirinya. Datuk Gong atau Na Tu Kong adalah amalan kepercayaan orang Cina di Nusantara dan ianya telah lama diamalkan sejak mereka berhijrah ke sini.
Mengenali Datuk Gong
Datuk Gong sebenarnya adalah bukti asimilasi orang Cina dengan kebudayaan asal di tempat mereka menetap. Orang Cina sejak dulu lagi di tempat asal mereka iaitu tanah besar China mengamalkan penyembahan leluhur atau nenek moyang, selaras dengan ajaran Confucius mereka. Bila berhijrah ke Nusantara, amalan ini kemudiannya bercampur dengan amalan orang Melayu ketika itu.
Orang Melayu satu kala dulu juga ada amalan menghormati semangat nenek moyang. Sebab itu kita ada isitilah Datuk Keramat, lazimnya merujuk pada pemimpin, orang kenamaan, panglima, mahaguru atau alim ulama yang sudah meninggal tetapi kerana statusnya, masih dihormati oleh masyarakat setempat. Oleh kerana itu adanya tempat-tempat keramat bagi orang Melayu yang dijaga rapi dan kerap diziarahi kerana ada penunggu yang merupakan Datuk Keramat tadi. Amalan ini asalnya dari kepercayaan setempat masyarakat Melayu sebelum adanya Islam dan masih ada diamalkan setelah Islam bertapak di Nusantara, walaupun tidak seluas zaman dahulu.
Apabila pendatang Cina yang berhijrah ke Nusantara melihat amalan orang Melayu ini, mereka dapati ianya sama dengan amalan mereka di tanah besar China, iaitu menyembah nenek moyang atau leluhur. Lantaran pendatang Cina juga turut menyembah nenek moyang orang Melayu ini sebagai rasa hormat, tanda terima kasih kerana diberi izin bermastaution dan juga sebagai mendapatkan perlindungan secara spiritual.
Amalan Datuk Gong ini sebenarnya jika kita lihat secara positif, adalah testimoni bagaimana orang Cina mengakui dan menghormati masyarakat Melayu sebagai tuan tanah atau penduduk terawal di Nusantara. Datuk Gong yang berbangsa Melayu ini dihormati bahkan diberi jamuan oleh orang Cina, sama seperti yang mereka amalkan di tanah besar China kepada dewa-dewa Cina di sana.
Penghormatan kepada Datuk Gong ini dibuat dengan membina tokong menyerupai binaan Melayu atau Islam, seperti kubah masjid. Patung atau berhala pula dibuat dengan imej pembesar Melayu, ada yang bertanjak atau mengenakan songkok atau kopiah, berbaju Melayu dan berkain pelikat atau berjubah dan kebanyakannya memegang keris sebagai alat kebesaran orang Melayu. Ada juga Datuk Gong yang berpakaian serba kuning, iaitu warna diraja untuk menunjukkan kaitannya dengan kerabat raja.
Jamuan yang diberikan juga adalah makanan kebiasaan orang Melayu. Jika ayam yang dipersembahkan ianya mestilah disembelih secara Islam dan halal. Jika minuman tidak boleh arak atau apa-apa yang memabukkan. Ini dibuat sebagai tanda hormat dan agar Datuk Gong tidak marah. Begitulah bagaimana kedudukan Datuk Gong di mata masyarakat Cina di Nusantara.
Amalan Datuk Gong ini sebenarnya unik di Nusantara kerana ia tidak ada di China. Amalan ini adalah hasil asimilasi budaya Cina dan Melayu, bagaimana keterbukaan atau kefahaman antara dua bangsa ini menghasilkan satu keunikan dan keindahan budaya. Dari sudut lain, ia ibarat amalan ‘duit raya’ di kalangan orang Melayu yang sebenarnya dipinjam dari amalan ‘ang pow’ orang Cina.
Kesimpulan
Binaan tokong seperti di Klang sebenarnya ada banyak di Malaysia dan sudah lama wujud. Tetapi sayang apabila ada individu cetek akal dan tidak bertanggungjawab seperti saudari Cleopatra yang memilih untuk mencetuskan polemik yang tidak sepatutnya.
Apa yang lebih mengecewakan, selepas tindakannya ditegur orang lain individu ini bertindak pula menunggang agama dan mempersoalkan keIslaman orang lain. Sudahlah ignorant, kini bersikap holier than thou pula?!
Sedangkan Islam itu letaknya bukan pada kubah masjid, tetapi jauh lebih penting pada sikap dan perilaku mereka yang mengaku Islam. Dan salah satu sikap yang dituntut Islam adalah menghormati agama lain, bukannya menjadi autoriti tidak kena tempat yang sibuk campur tangan dan mempersoalkan amalan keagamaan pihak lain.
Agak menggusarkan sebenarnya apabila individu seperti Cleopatra, yang dangkal dalam memahami kebudayaan orang lain, menggunakan kebebalannya untuk menindas atau mempersoal pihak lain. Dan mengambil kira hubungan rapatnya dengan menteri dan parti tertentu di dalam kerajaan, kita hanya boleh berharap beliau bukanlah sejenis api dalam sekam, gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut yang hanya akan memecah-belahkan serta memporak-peranda semangat Malaysia Baharu yang sedang kita bina.

Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.