STATUS PEMBANGUNAN RANGKAIAN 5G

Pembangunan rangkaian 5G adalah satu usaha berterusan Kerajaan Perpaduan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam memastikan teknologi dan infrastruktur komunikasi kita berdaya saing.

Pembangunan rangkaian 5G dijalankan dalam dua fasa dimana fasa pertama akan memberi fokus kepada liputan menyeluruh manakala fasa kedua akan memfokus kepada penerimagunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G.

Fasa pertama pembangunan rangkaian 5G kini dijalankan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) sehingga mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.

Manakala fasa kedua pula melibatkan peralihan kepada model dwirangkaian bagi menamatkan unsur monopoli dan mencambah elemen penerimagunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G secara komprehensif dan akan dimulakan seawal 2024.

Menteri KKD pada 9 Oktober 2023 telah memaklumkan kepada Dewan Rakyat status pembangunan rangkaian 5G yang kini sedang dibangunkan oleh DNB.

Sehingga 30 September, sejumlah 5,873 tapak 5G sudah siap dibangunkan manakala liputan kawasan telah mencapai 70.2% liputan di kawasan berpenduduk.

Sasaran yang telah ditetapkan untuk penghujung 2023 adalah untuk 7,509 tapak 5G siap dibangunkan dan liputan 80% di kawasan berpenduduk.

Pengumuman oleh Menteri KKD ini jelas menunjukkan status pembangunan rangkaian 5G berada di landasan yang betul dan tidak mustahil sasaran yang ditetapkan dapat dicapai menjelang penghujung 2023.

Langganan 5G juga sudah mencapai angka 2.49 juta langganan bersamaan 7.4% kadar penembusan dan peningkatan sebanyak 514% berbanding hanya 404,323 langganan pada Disember 2022.

Kini, enam syarikat pemberi perkhidmatan mudah alih telah menawarkan pelan komersial 5G iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia, YTL Communications dan Yoodo.

Komen