Solidaritas Simpang Renggam

Selepas dilancarkan hampir seminggu yang lalu, projek Solidaritas Simpang Renggam dengan objektif mengutip kutipan derma untuk membekalkan barangan keperluan kepada penduduk Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baru Dato’ Ibrahim Majid mencapai kemuncaknya hari ini.

Bukan mudah sebenarnya untuk merealisasikan projek ini ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuatkuasa. Cabaran tim Solidaritas bermula dari peringkat awal lagi iaitu ketika melancarkan kutipan derma. Mungkin kerana ramainya golongan terjejas akibat PKP ini dan pelbagai projek bantuan lain yang sedang berlangsung, kutipan kami meleset dari sasaran yang ditetapkan. Namun ini tidak menghalang usaha kami untuk mengumpul dana sebanyak mana yang mungkin demi membantu penduduk di Simpang Renggam yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan mereka.

Cabaran ini ditambah lagi dengan situasi PKPD yang dilaksanakan, bermakna tim Solidaritas perlu mendapatkan surat kebenaran dari Pejabat Parlimen Simpang Renggam di bawah YB Dr. Maszlee Malik untuk bergerak ke sana menghantar bantuan bekalan keperluan. Kami bernasib baik kerana kecekapan dan kepantasan petugas pejabat parlimen memungkin surat disiapkan dalam tempoh sehari sebelum tarikh penghantaran. Namun sebelum itu, muncul pula permintaan tambahan dalam bentuk bekalan lampin dewasa untuk penduduk yang terlantar uzur, memaksa kami mencari dana tambahan bagi membeli barangan tersebut.

Mencari sumber bekalan barangan juga menjadi satu lagi cabaran buat kami apabila kebanyakan pasar raya tidak mempunyai stok yang cukup akibat PKP. Hanya setelah beberapa panggilan dibuat berserta rayuan untuk mendapatkan bekalan barulah kami berjaya mendapatkan stok barangan keperluan yang cukup untuk 100 keluarga di Simpang Renggam.

Ia masih terlalu sedikit untuk memenuhi keperluan 650 keluarga, tetapi ianya lebih baik dari langsung tiada.

Misi penghantaran bermula dari Bandar Seri Putera, Selangor dengan menggunakan tiga buah trak pikap pelbagai model iaitu Ford Ranger, Nissan Navara dan Toyota Hilux bersama tenaga kerja seramai tujuh orang. Jumlah keseluruhan barangan keperluan yang perlu dibawa adalah seberat 600 kilogram maka ianya dibahagi sama rata antara tiga buah trak pikap tersebut. Perjalanan kami dari tempat permulaan menuju ke Simpang Renggam adalah sejauh 233 kilometer atau sekitar 2 jam 30 minit.

Bekalan barangan keperluan yang dibawa terdiri dari barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung, gula, teh atau kopi, mee segera, biskut, sardin tin juga barangan peribadi seperti ubat gigi dan sabun mandi. Adalah penting sebenarnya selain makanan pada masa yang sama kebersihan diri turut memainkan peranan apabila berdepan darurat pandemik sebegini. Selain itu, barangan khusus lain pula terdiri dari susu formula  dan lampin bayi serta dewasa.

Perjalanan ke Simpang Renggam adalah lancar tanpa kenderaan yang banyak. Rata-rata rakyat Malaysia patuh pada PKP dan menghadkan perjalanan melainkan benar-benar perlu. Yang kelihatan hanyalah beberapa lori kargo yang menghidupkan rantaian logistik negara. Sunyi dan sepi, ibarat alam semesta ini baru lepas disumpah oleh Thanos yang memetik jarinya.

Kami menempuhi sekatan jalan sebelum masuk ke lebuh raya dan selepas keluar dari lebuh raya. Anggota polis dan tentera yang bertugas melakukan pemeriksaan sewajarnya seperti bertanya dari mana dan hendak ke mana serta atas tujuan apa. Surat kebenaran yang diberikan oleh pejabat parlimen benar-benar memudahkan kami memberikan penjelasan yang perlu kepada anggota keselamatan bertugas. Memahami tujuan kami, mereka juga tiada masalah untuk membenarkan konvoi kami meneruskan perjalanan. Cuma hanya pada sekatan pertama sahaja seorang polis yang bertugas mengajukan soalan;

“Berani kamu semua masuk Simpang Renggam ya?”

Soalan itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa cuak, tetapi niat baik memberikan kami kekuatan meneruskan misi.

Selepas menempuh perjalanan ratusan kilometer, beberapa jam dan bayaran tol bernilai hampir RM25 di Plaza Tol Simpang Renggam, akhirnya konvoi kami tiba di destinasi yang dituju. Ketibaan kami di sana disambut mesra walaupun tanpa berjabat tangan oleh para petugas pejabat parlimen.

Walapun tanpa kelibat Dr. Maszlee Malik yang khabarnya sedang kuarantin kerana disyaki pernah berhubungan dengan kes COVID-19, beliau masih cakna dan mengucapkan ribuan terima kasih melalui pegawainya kepada kami. Memang penduduk Simpang Renggam khususnya di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baru Dato’ Ibrahim Majid sangat-sangat memerlukan bantuan barangan keperluan sebegini. Mereka terkurung tanpa akses kepada dunia luar dan juga barangan keperluan tidak seperti kita yang masih boleh turun ke pasar raya.

Sumbangan kami tidaklah besar mana. Tetapi setidaknya kami percaya malam ini akan ada nasi panas dan lauk sardin di meja, teh dan kopi panas untuk dihirup, biskut atau mi segera buat melapik perut serta sabun mandi buat menjaga kebersihan diri. Akan ada anak kecil yang tangisannya boleh didiamkan dengan sebotol susu, atau lampinnya ditukar ganti dengan yang bersih. Akan ada mereka yang terlantar uzur juga terjaga dirinya layak sebagai manusia bermaruah.

Pada akhirnya, yang paling utama ialah sesama kita rakyat Malaysia membantu satu sama lain. Inilah yang selari dengan kata azimat kita jaga kita.

Solidaritas Simpang Renggam!

Komen