Solidaritas Selangor & Malayan Mansion

Terus terang saya katakan, memungut derma untuk membantu warga asing bukanlah tugas mudah.

Ada sahaja pihak yang mempertikaikan usaha kami di Solidaritas. Antara yang dibangkitkan, kenapa perlu bantu warga asing? Kenapa tidak berikan bantuan kepada rakyat Malaysia sahaja? Bukankah kerajaan Malaysia atau kedutaan mereka sepatutnya yang membantu? Di mana majikan mereka? Mereka sudah baling air kencing pada petugas keselamatan kita, kenapa masih nak tolong?

Kami tiada jawapan untuk semua persoalan di atas. Senang cerita, bantuan yang kami hulurkan sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan adalah buta agama, bangsa dan warganegara. Tidak kira apa kepercayaan seseorang, apa warna kulit mereka dan apa kewarganegaraan mereka, itu semua perkara remeh yang kami tolak tepi dalam memberikan bantuan.

Bantuan kami ialah bantuan kemanusiaan. Ia perlu kerana dalam perang melawan pandemik ini, hanya dengan sifat manusiawi sahaj kita mampu menang. Kita tidak boleh lepas tangan, pejam mata atau peluk tubuh melihat manusia lain terjejas hidupnya kerana pandemik COVID-19 yang melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Setelah seminggu kutipan dana dilaksanakan, kami akhirnya mencapai sasaran kutipan iaitu RM8,400 yang diperlukan. Walaupun pada asalnya sasaran yang ditetapkan jauh lebih rendah, tetapi permintaan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahu kami menyediakan 280 pek barangan dapur untuk memenuhi 280 unit apartment yang dihuni penduduk. Tidak ada sesiapa pun yang tercicir, kata pegawai JKM. Ini penting bagi mengelakkan berlaku situasi tegang dan pertikaian di kalangan penghuni yang rata-ratanya adalah golongan B40, warga asing dan juga pelarian.

Dan ketika inilah juga kami dimaklumkan oleh pihak JKM, penduduk di Selangor dan Malayan Mansion bukanlah semuanya warga asing. Masih ada sekitar 40% lagi warganegara Malaysia yang turut terjejas dan ini menguatkan hujah kami bahawa dalam memberikan bantuan kita tidak boleh selektif. Kerana akhirnya bantuan yang dituduh bulat-bulat untuk warga asing akhirnya akan pergi juga ke tangan rakyat Malaysia.

Lantas berbekalkan dana RM8,400 yang dikumpul kami membekalkan beras, tepung, minyak masak, gula, teh dan sardin dalam tin untuk 280 unit apartment terlibat. Kami sedar sumbangan ini tidaklah sebesar mana, tetapi setidaknya ia dapat membantu mereka yang terjejas menempuhi tempoh PKP ini dengan perut yang berlapik. Kuncinya ialah menghalang kelaparan yang melampau.

Kerana satu perkara yang perlu kita ingat, perut lapar seorang manusia boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak dingini. Bukan sedikit kita terjumpa kisah kecurian kecil sebuku roti, sepinggan nasi atau satu tin sardin oleh mereka yang kelaparan. Tambah menyayat hati, bila ianya berlaku atas sebab anak di rumah yang tangisannya tidak berhenti laparkan sesuap nasi.

Memberikan seseorang makan, adalah satu tindakan yang boleh menjadikan manusia itu bermaruah. Supaya tidak perlu dia terjerumus ke lembah hina selaku pelaku jenayah.

Terima kasih kami ucapkan kepada pihak JKM yang bekerjasama demi memastikan bantuan yang diberikan dapat diagihkan kepada kumpulan sasar. Dan ucapan terima kasih tidak terhingga juga kami di tim Solidaritas ucapkan buat semua yang turut menderma, dari segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan kewarganegaraan.

Ya, projek kutipan dana kali ini sebenarnya turut menerima sumbangan dari bukan warganegara Malaysia. Sebab itulah kami katakan, dalam menolong satu sama lain kita sentiasa perlu buta agama, bangsa dan kewarganegaraan.

Kerana akhirnya kita belum tentu tahu yang kita tolong siapa dan yang menolong kita, entah siapa. Maka, tolonglah selagi mampu.

Solidaritas!

Komen