Slim To None

Di kalangan peminat ‘permainan perang’ atau war gaming, ada satu senario pertempuran bersejarah yang kerap dimainkan kembali iaitu Pertempuran Slim River. Sebahagian dari Kempen Malaya dalam Perang Dunia ke-2, pertempuran ini menyaksikan Divisyen ke-5 Tentera Imperial Jepun berdepan dengan Divisyen India ke-11 Tentera British India. Dilaporkan tidak kurang dari 7,000 tentera di sebelah pihak British berada di Slim ketika pertempuran bermula, sedang tentera Jepun menyerang dengan kekuatan sekitar 1,000 anggota tentera dibantu hampir 100 kereta kebal.

Dengan melancarkan serangan seawal jam 3.30 pagi, tentera Jepun telah melakukan kejutan ke atas tentera British yang tidak pernah menyangka serangan terkoordinasi antara infantri dan kereta kebal boleh dilakukan ketika hari masih gelap. Pertahanan British huru-hara dan menjelang 8.30 pagi pihak Jepun telah pun mencapai objektif utama mereka iaitu menguasai dua jambatan yang merentasi Sungai Slim. Leftenan Kolonel Arthur Harrison, salah seorang komander artileri British merumuskan serangan nekad Jepun dengan ungkapan;

“Heedless of danger and of their isolation they had shattered the division: they had captured the Slim Bridge by their reckless and gallant determination.”

Kekalahan British di Slim membawa implikasi besar dalam Kempen Malaya. Leftenan Jeneral Arthur Percival, pemerintah ketumbukan tentera British di Malaya dan Singapura, memutuskan untuk melepaskan seluruh Malaya selepas Slim dan menumpukan pada pertahanan terakhir di Johor sebagai peluang terakhir sebelum kubu Singapura. Kekalahan di Slim juga menyaksikan Divisyen India ke-11 dikeluarkan terus dari barisan hadapan dan British beralih kepada menggunakan Divisyen ke-8 Australia sebagai lawan kepada angkatan Jepun. Sejumlah 500 tentera British gugur di Slim, sementara 3,200 menjadi tawanan sedangkan Jepun hanya kehilangan 17 infantri dan 4 kereta kebal.

Pertempuran Slim seterusnya menjadi kes kajian utama di kalangan strategis tentera untuk menilai kesan shock action dalam peperangan. Dalam dunia permainan perang, ungkapan Slim to none menjadikan ia pilihan ramai war gamer untuk menguji kehandalan mereka memainkan peranan tentera British yang mempertahankan Slim dengan peluang hampir tipis untuk menang.

Itu cerita sejarah. Tapi jatuh 29 Ogos ini sekali lagi kita akan menyaksikan satu lagi pertempuran di Slim, bezanya kali ini ia bukan perang ketenteraan tetapi perang politik.

PRK Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru, tetapi seperti kebanyakan PRK lain perhatian akan tertumpu pada dua pertembungan utama, antara calon PEJUANG. Amir Khusyairi yang bertanding atas tiket Bebas dan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi. Seorang lagi calon Bebas, Santharasekaran Subramaniam dilihat tidak akan memberi impak ketara serta berpotensi besar bakal kehilangan deposit.

Dalam senario kali ini, jelas BN datang ibarat angkatan tentera Jepun dengan segala kelebihan yang ada manakala PEJUANG yang disokong oleh Pakatan Harapan (PH) ibarat tentera British, kekurangan serba serbi.

Dalam erti kata lain, peluang Amir Khusyairi dan PEJUANG untuk menang adalah ibarat “Slim to none”.

Tetapi jika kekalahan sudah hampir pasti, kenapa masih perlu memberi tentangan?

Seperti tentera British dalam Kempen Malaya, Slim adalah titik tolak pada penentu legasi PH. Jika kekalahan mudah British kepada Jepun di Slim telah memaksa mereka untuk mengabaikan terus rantau tengah Malaya, maka kekalahan mudah PEJUANG/PH di Slim juga bermakna cengkaman Perikatan Nasional (PN) semakin utuh dan PH bolehlah melupakan wilayah Pantai Barat Semenanjung yang selama ini merupakan pusat kekuatan mereka.

Demografik pengundi di Slim memperlihatkan ianya sebagai kerusi majoriti Melayu (75%) manakala India (13%), Cina (10%) dan lain-lain (2%). Slim lebih tepat lagi adalah kerusi super majoriti Melayu. Dan mengikut pada trend kecenderungan pengundi Melayu kebelakangan ini, mereka memilih untuk mengundi BN berbanding PH.

Tetapi keputusan PRU14 menyaksikan kemenangan BN sebelum ini berpunca dari pertembungan 3 penjuru (BN-PH-PAS). Walaupun arwah Mohd Khusairi meraih 8,327 undi, tetapi jumlah itu lebih sedikit jika undi PH (6,144) dan PAS (4,103) digabungkan (10,247 undi). Persoalan untuk 29 Ogos ini adalah, apakah kecenderungan pengundi PAS khususnya, adakah masih bersama UMNO/BN di bawah agenda Muafakat Nasional (MN) mereka atau tidak.

Kerajaan PN yang sudah beberapa bulan usianya tidak sunyi dari kecaman dan kritikan. Hari demi hari kerajaan PN buktikan mereka bukanlah kerajaan yang diundi rakyat, tetapi mereka juga bukanlah kerajaan yang dapat memberikan nafas baru untuk Malaysia pasca BN. Sebaliknya, kerajaan PN ini dilihat lebih kepada menjadi tunggangan UMNO dan BN untuk kembali berkuasa.

Sama ada senario ini akan mengubah sentimen pengundi di Slim, akan hanya dapat dilihat pada 29 Ogos ini. Namun masih, peluang PEJUANG untuk menang adalah Slim to none.

Akan tetapi jika kekalahan itu sudah pasti, maka persoalannya apakah magnitud kekalahan itu? Adakah tewas dengan majoriti yang jauh lebih besar? Adakah calon PEJUANG mampu meraih 2,000 undi, atau 4,000 undi atau mungkin 6,000 undi? Atau mampukah calon PEJUANG kali ini mencipta rekod dengan meraih setidaknya, 10,000 undi?

Peluang PEJUANG dan PH di Slim adalah Slim to none. Tetapi jika mereka mampu meraih undi lebih besar dan mengurangkan majoriti pihak lawan, maka kekalahan mereka adalah slim. Dan kekalahan yang slim adalah petanda yang baik buat PEJUANG dan PH.

Pakar sejarah perang rata-rata bersetuju, jika British tidak kalah teruk di Slim dan Divisyen ke-11 tidak dibantai hingga putus nyawa pada Januari 1942 dahulu, mungkin kejatuhan Malaya dan Singapura dapat ditangguhkan, Jepun kehilangan sebahagian besar angkatannya dan bantuan ketenteraan dari Australia atau India sempat tiba untuk British melakukan serangan balas ke atas Jepun.

Slim to none. PEJUANG dan PH akan kalah, tapi ia wajib satu kekalahan yang tipis.

Komen