Simpati Dan Empati Dalam Budi Bicara Ketika PKP

Baru-baru ini tular gambar surat saman seorang individu yang telah dikompaun RM1,000 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Di dalam surat saman yang tular itu, tertulis kesalahan individu tersebut sebagai:

“Berada di luar rumah tanpa alasan yang munasabah dengan menjalankan perniagaan COD tanpa permit.”

Sepintas lalu kita dapat fahami bahawa pernyataan tersebut agak kontradik. Bagaimana boleh dikatakan berada di luar rumah tanpa alasan yang munasabah jika individu tersebut sedang menjalankan perniagaan COD, walaupun mungkin tanpa permit?

Individu yang terbabit telah pun memberikan penjelasan beliau. Dari penjelasannya, beliau mempunyai permit tetapi ia tidak dibawa dalam bentuk fizikal atau hardcopy. Yang ada hanya salinan gambar atau softcopy permit dalam telefon bimbit beliau. Tetapi salinan softcopy itu tidak diterima oleh pegawai polis yang melakukan sekatan jalan raya.

Tuan punya badan juga maklumkan satu lagi kesalahan beliau pada pandangan pihak polis ialah membawa bersama pekerja di dalam kereta. Tetapi kesalahan ini tidak disebut di dalam surat saman yang dikemukakan.

Dalam kes ini, individu tersebut mengakui kesalahan beliau, tidak membawa permit dalam bentuk hardcopy dan membawa pekerja di dalam kereta. Cuma beliau berharap sangat dapat membuat rayuan kerana kita semua pun akui, RM1,000 untuk kompaun adalah sangat besar amaunnya. Jauh lebih besar dari hasil jualan COD yang dibuat beliau dalam tempoh seminggu.

Dalam hal ini, kita tidak boleh meletakkan kesalahan pada pihak polis yang melaksanakan tugas. Mereka semua diamanahkan untuk melindungi diri kita semua dari Covid-19 durjana, dengan memastikan pematuhan PKP sewajarnya.

Akan tetapi…

Ya, ada tapinya.

Yang buat kita, rakyat jadi sakit hati ialah bila tiadanya ruang budi bicara. Ya betul pak mertua Jovian sudah berbuih mulut beritahu sudah tiada budi bicara, tapi individu yang dikompaun itu bukannya tiada permit langsung. Beliau ada permit, cuma permitnya bukan dalam bentuk hardcopy seperti yang dikehendaki pegawai polis.

Saya sendiri pernah sahaja dua tiga kali tunjuk salinan surat dalam telefon bimbit di sekatan jalan raya. Elok sahaja dibenarkan lepas.

Ia membuatkan kita terfikir, kalau nak berkira sangat pun hardcopy atau softcopy, paling tidak pegawai polis boleh arahkan individu itu untuk berpatah balik ke rumah dan ambil hardcopy permit. Itu paling perikemanusiaan rasanya.

Budi bicara ini perlu ada. Dan bila saya tulis budi bicara ianya bukan jenis yang “tak apa kali ni saya bagi lepas lain kali jangan buat”. Tak kita tidak pakai budi bicara semacam itu kerana kita sudah melepasi fasa tersebut, bak kata bapa mertua Jovian.

Tapi budi bicara yang kita mahukan ialah, “saya boleh kompaun encik RM1,000 tapi habislah duit encik, jadi apa kata encik patah balik ambil hardcopy permit dan lepas ni jangan tinggalkan lagi dah”.

Ini jenis budi bicara yang kita harapkan, iaitu yang ada simpati dan empati. Bukan budi bicara pejam mata tak apa.

Budi bicara simpati dan empati ini, bila pada individu yang dikompaun tadi kita sebenarnya memahami dia bukannya mahu keluar rumah kalau tidak kerana mencari duit pendapatan.

Atau kita boleh juga lihat dalam kes lapan orang kampung di Tenom yang dikenakan kompaun kerana keluar naik satu bas dari pedalaman ke bandar untuk beli barangan keperluan. Kalau ada simpati dan empati, kita akan fahami bahawa mereka memang terpaksa keluar penuh satu bas kerana pemandu mana yang mahu bawa bas (yang sebenarnya adalah van, sebab di Sabah ada bas mini dalam bentuk van) miliknya dengan kapasiti hanya 50% penumpang untuk satu perjalanan yang jauh? Tambahan pula lagi perkhidmatan bas mini berbentuk van ini kalau di Sabah ianya bukan berjalan mengikut jadual, tapi lebih bergantung pada permintaan. Ada penumpang, barulah jalan.

Inilah sebabnya perlu ada budi bicara bersifat simpati dan empati. Tahu apa permasalahan dan mendalami permasalahan itu.

Antara contoh paling mudah budi bicara sebegini yang pernah digunakan oleh pegawai polis adalah dalam kes Ketua Polis Daerah PJ, Nik Ezanee Mohd Faisal yang menangani kes kecurian melibatkan seorang suri rumah. Simpati pada nasib suri rumah yang tiada wang untuk beli ubat anak sampaikan terpaksa mencuri, dan empati dengan situasi suri rumah yang hidup dalam kesempitan. Simpati mengelakkan kita dari mengambil tindakan undang-undang secara rigid, empati pula membuatkan kita turun hulur bantuan supaya suri rumah tersebut tidak perlu mencuri lagi.

Jadi dalam individu yang menjalankan perniagaan COD atau lapan orang kampung di Tenom, kita mengharapkan sekelumit simpati dan empati dalam pihak berkuasa melaksanakan budi bicara. Ketika kita berusaha melawan Covid-19 dari membunuh rakyat, jangan pula sampai kita leka dan biarkan kesempitan ekonomi yang melanda akibat pandemik ini menjadi pembunuh rakyat paling utama.

Namun, budi bicara, simpati dan empati sahaja tidak memadai.

Apa yang wajib kita semua sedari juga, yang buat rakyat meluat dan marah bukan terhad pada ketiadaan budi bicara, simpati dan empati tapi bila wujudnya layanan dua darjat dalam menguatkuasakan PKP.

Yang ini tidak perlulah kita ulas panjang lebar. Kita nampak sendiri dengan mata kepala kita betapa kerapnya berlaku insiden para menteri, ahli politik, orang kenamaan, VVIP dan sebagainya melanggar SOP dan kemudian terlepas begitu sahaja. Seolah ada dua standard berbeza antara golongan atasan dan rakyat bawahan, dimana golongan atasan terus mendapat layanan budi bicara istimewa sedang rakyat bawahan ditekan mati-matian, melalui pelbagai sekatan dan denda dalam bentuk kompaun bernilai RM1,000.

Hal sebegini yang sebenarnya membuatkan lebih ramai rakyat sakit hati dengan kerajaan yang kononnya prihatin.

Komen