WAJARKAH DAP Perak menyertai kerajaan perpaduan di negeri tersebut, sekiranya dipelawa? Ini adalah soalan yang diajukan kepada saya sejak dua tiga hari ini. Tentu sahaja soalan ini terbuka setelah Menteri Besar Perak yang ke-12 dan 13, Ahmad Faizal bin Azumu ‘digulungkan’ ekoran satu aksi undi percaya di Dewan Undangan Negeri pada 4 Disember 2020 lalu. Untuk rekod, Ahmad Faizal diangkat sebagai Menteri Besar (MB) selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU) mewakili Pakatan Harapan. Selepas Langkah Sheraton, dan pembentukan blok Perikatan Nasional; beliau sekali lagi terpilih menjadi MB mewakili parti BERSATU. Ketika itu beliau mendapat sokongan parti UMNO dan PAS, rakan-rakan barunya. Pun, rakan barunya UMNO jugalah yang ‘menggulingkan’ beliau dengan Usul Percaya dibawa Abd Manaf Hashim (Umno-Pengkalan Baru). Di sini kita tidak akan membincangkan sebab-musabab beliau disingkirkan. Cukup untuk dinyatakan, Ahmad Faizal sangat tidak popular dan sungguh menyedihkan BERSATU meletakkan beliau selaku pemimpin negeri.
Ahmad Faizal yang dikenali sebagai Peja adalah Timbalan Presiden BERSATU atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia di mana beliau memenangi jawatan parti tersebut tanpa pun bertanding pada Ogos lalu. Pada PRU ke-14, Peja memenangi kerusi DUN Chenderiang menewaskan UMNO dan PAS dengan hanya kelebihan tipis 39 undi. Beliau juga adalah pemegang kerusi parlimen Tambun dengan majoriti sekadar 5,320 undi, juga dengan menumpaskan UMNO dan PAS.
Kembali kita kepada soalan yang sama di atas, adakah wajar DAP menyertai ‘kerajaan perpaduan’ di Perak? Tentu sahaja terdapat ramai yang berpendapat tidak. Ini memandangkan mandat yang diberikan rakyat dalam PRU14 lalu adalah untuk blok Pakatan Harapan (PH). Bukan itu sahaja, UMNO sekarang dipimpin oleh pemimpin korup yang mempunyai kes mahkamah, PAS pula adalah sebuah parti yang meniduri semua kesempatan yang diperolehi manakala BERSATU memiliki reputasi sebagai pengkhianat.
Maka untuk berada bersama-sama dengan penipu, penyundal, penyedap dan pengkhianat adalah satu perbuatan menempah celaka. Akan tetapi ada satu pertimbangan yang mesti dibuat oleh mereka yang menolak idea atau formula perkahwinan politik ini.
Komposisi 59 kerusi dalam DUN Perak adalah:
Perikatan Nasional: 35
BERASATU – 5
GERAKAN – 1
Bebas – 1
UMNO – 25
PAS – 3
Pakatan Harapan: 24
DAP – 16
AMANAH – 5
PKR – 3
Suka atau tidak; Perak adalah sebuah negeri yang unik di mana sukar untuk memiliki satu kestabilan politik oleh sebab komposisi kerusinya, dan juga kerana kekuatan dua blok politik yang saling bersaing di negeri tersebut dapat dianggap sama rata. Ini dapat dilihat dari angka-angka di atas.
Perubahan penjajaran boleh mengakibatkan UMNO yang kini mempunyai bilangan kerusi terbanyak di DUN Perak iaitu 25, memerlukan lima lagi kerusi sebagai jumlah minimum untuk membentuk kerajaan negeri. Suka atau tidak UMNO memerlukan rakan berseronok. BERSATU memiliki lima kerusi manakala PAS – yang berbolak balik perangainya mengatakan tidak akan menyertai usaha membentuk kerajaan negeri baru – memiliki tiga kerusi. Jika UMNO, BERSATU dan PAS kembali membentuk kerajaan negeri sebagai blok Perikatan Nasional angka yang mereka ada ialah 33, melepasi jumlah keperluan minimum. Bersama-sama Bebas dan GERAKAN mereka bakal mengekalkan status quo.
Tentu sahaja Perikatan Nasional perlu mencari seorang Menteri Besar setelah menikam belakang Peja dari BERSATU. Pilihan yang terbuka ialah seorang MB dari UMNO. Ada beberapa nama muncul. PAS seperti biasa, atas dasar dalil, akan sedia mengangkang senggama-siasah dengan siapa pun. Pun, selepas insiden di DUN Perak itu; PAS akan beringat bahawa UMNO pernah bertindak solo tanpa pun berkomunikasi dengan mereka. Sementara BERSATU, yang kini mengecap nikmat disontot belakang oleh UMNO perlu kembali bersemuka dengan pasangan curangnya. Ia adalah soap opera politik ala-ala drama Dallas, Dynasty, Knots Landing atau Return to Eden dalam tahun 1980an, di mana pembohongan, dan zina satu hal lumrah.
Apa yang aneh ialah DAP, sebuah parti di luar segala kemelut rumahtangga Perikatan Nasional itu yang dipersalahkan. DAP memang biasa dipersalahkan. Ibarat seorang wanita jelita yang tampil mewah, DAP acap dituduh sebagai perosak dalam banyak keadaan meskipun kadang DAP hanya mengenyit mata dan membuat jilatan hujung lidah di bucu bibir tanda ceria. Mungkin skirt pendek DAP yang nyaris menampakkan celah bila kaki ditukarsilang membikin ramai nanar.
Sekali imbas UMNO terlihat sebagai pihak paling bergaya dan beroleh laba dari episod ini. Yang paling rugi tentulah BERSATU yang tampak tidak bermaya dan gagal mempertahankan diri. PAS terus menjerumuskan dirinya ke dalam kancah pelacuran politik yang hina dina dan tiada akhirnya.
Siapakah yang paling untung dari episod politik di Perak ini?
DAP pastinya. UMNO ternyata telah bekerjasama secara senyap dengan DAP, AMANAH dan PKR. Sebagai parti pembangkang paling besar di DUN Perak, kerjasama dan permainan DAP ini telah pertama memecahkan dinamika Muafakat Nasional-Perikatan Nasional. Hubungan UMNO-PAS di mana-mana pun sudah agak rapuh, termasuk di peringkat nasional. Meskipun hujah UMNO dan PAS seringnya Melayu-Islam, UMNO wajar mengesyaki PAS seorang yang gemar berkendak. Lagipun PAS sedang sedap bermain alat sulit BERSATU sehingga menimbulkan rasa jengkel UMNO. Bukan itu sahaja, PAS dan UMNO pernah berkahwin sekali dan hasil perkahwinan itu tidaklah bahagia di mana berlaku perceraian yang pahit dan kata mengata yang dahsyat. PAS dan UMNO malah pernah saling londeh melondehkan yakni kafir-mengkafirkan. Mereka hanya berani kembali berjimak setelah kewafatan abah mereka yang disegani ramai, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Insiden di DUN Perak itu hanya menajamkan perbezaan dan rasa curiga antara PAS, BERSATU dan UMNO. Sebuah hubungan seks threesome yang menanti belah setelah teruk retak. Perselisihan ini mungkin tidak menguatkan DAP tetapi pasti melemahkan musuh politik mereka.
Kedua, secara jangka panjang DAP telah membuka jalan untuk bekerja dengan UMNO. Mungkin keterlaluan untuk mengatakan insiden ini membolehkan DAP dan UMNO berkahwin. Belum ada lamaran rasmi. Meskipun terdapat saling godaan. UMNO belum pernah mengahwini DAP. Selama ini UMNO merasakan DAP adalah perempuan Cina yang liar dan angkuh, tidak menutup aurat, sering mabuk, kurang ajar dan kebaratan. Akan tetapi, insiden di DUN Perak menyediakan satu nikmat yang tidak terucapkan. UMNO mendapati DAP boleh diajak semeja (belum sekatil) untuk tujuan tertentu, seperti katakan mengnyahkan Peja. DAP juga tidaklah sedahsyat yang disangka. UMNO pernah mempunyai pengalaman manis menyetubuhi MCA dan GERAKAN. Sedap persetubuhan itu sangat mungkin berulang dengan DAP yang mana belum pernah dikecapinya. Jika itu berlaku, kita belum tahu ke mana perginya. Terdapat pasangan yang asal sering bertengkaran tetapi sebaik di ranjang; mereka dapat mencuba pelbagai posisi yang mengghairahkan.
Ketiga, DAP adalah sebuah parti politik dominasi Cina yang sering dituding sebagai tidak menghormati orang Melayu. Akan tetapi kemungkinan DAP dan UMNO duduk serumah ini bakal membolehkan mereka saling memahami dengan lebih erat. Untuk jangka masa panjang ‘hubungan ini’ (jika ada) bakal menguntungkan DAP demi untuk mencairkan rasa ragu dan syak wasangka bangsa Melayu terhadap DAP. Pengundi Melayu di kawasan pedalaman pernah memilih MCA, MIC mahupun Gerakan atas alasan UMNO kekal berkuasa; tidak mustahil pengundi Melayu boleh menerima DAP dengan tanggapan sama. Naratif DAP kononnya liar dan bermasalah boleh bertukar sebaik menikah.
Keempat, insiden di Perak ini juga membolehkan DAP kelihatan begitu akur dengan Istana, satu lagi pemain politik yang sering dilupakan. Pesan Istana Perak untuk semua parti politik sangat jelas, pihak tuanku Sultan mahukan keharmonian politik demi kesejahteraan rakyat Perak. Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini ada berkata Sultan hanya boleh menasihatkan dan menganjurkan satu formula terbaik untuk menubuhkan kerajaan dan pimpinan baharu di negeri Perak ketika di pekarangan luar Istana Kinta. Kesediaan DAP untuk melakukan ini bakal menambahkan keyakinan orang Melayu yang menjadikan raja-rajanya sebagai tonggak kehidupan dunia akhirat.
Kesimpulannya wajarkah DAP Perak menyertai kerajaan perpaduan di negeri tersebut, sekiranya dipelawa? Jawapannya samada DAP menyertai atau tidak kerajaan Perak minggu ini, DAP tetap menjadi kumpulan paling menang, paling beruntung dan paling bergaya oleh insiden ini.
DAP kekal menggiurkan.

Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.