Siapa Sajat Di Mata Masyarakat

Tindakan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Sajat yang mengenakan pakaian jemaah wanita ketika menunaikan umrah terus mendapat perhatian khalayak. Video dan gambar yang tular umpama sengaja mengundang cemuhan dan kemarahan umat Islam di negara ini. Sajat yang sebelum ini sudahpun terpalit dengan pelbagai kontroversi di negara kita berkaitan isu jantinanya dan tingkah lakunya tanpa disangka-sangka oleh mana-mana pihak begitu nekad dan berani berbuat demikian di Tanah Suci.

Secara peribadi bagi penulis yang salah tetap salah, dan hukum agama jangan dibuat main apatah lagi di Tanah Suci. Jadi Sajat perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya sebagai hukuman, pengajaran dan peringatan di samping kita mahu pihak berkuasa yang berkaitan merungkai isu status jantina Sajat dengan jelas dan tegas supaya isu seperti ini tidak lagi berulang. Namun apa yang lebih menarik perhatian saya dalam isu Sajat ini ialah cara anggota anggota masyarakat kita dalam menyatakan pendirian dan pandangan masing-masing tentag isu ini. Hal ini dapat dilihat apabila kita menganalisa pandangan dan komen baik di media cetak mahupun media sosial.

Anggota masyarakat dalam kes ini dilihat terbahagi kepada beberapa kelompok mengikut naratif pendirian yang dinyatakan. Misalnya, satu golongan yang boleh dikatakan majoriti dengan tegas marah, geram dan tidak berpuas hati dengan tingkah laku Sajat di Tanah Suci ini. Media sosial menjadi medan kelompok ini melepaskan geram masing-masing. Kita boleh memahami tindakan dan perasaan kelompok ini yang tidak boleh menerima kelakuan seperti itu apatah lagi ianya membabitkan hukum agama. Cuma ada dalam kalangan anggota masyarakat ini berhujah berdasarkan hukum agama dan menegaskan larangan-larangan dengan bahasa yang sopan dan cukup terpuji. Tuntasnya mereka juga marah dan tidak berpuas hati namun amat berhemah dalam menyatakan pendirian dengan tegas. Sikap seumpama ini wajar dipuji. Namun yang agak dikesali ialah sikap segelintir atau boleh juga dikatakan majoriti netizen yang melepaskan geram dengan cara yang sangat kasar dan tidak sepatutnya termasuk menghina, mencaci dan memaki hamun. Tidak salah untuk kita tegur termasuk gesaan untuk ambil tindakan tetapi jangalah sampai kita menjatuhkan martabat kita sendiri dengan memperlihatkan sikap dan peribadi seperti itu. Ingat, kata-kata yang dilontarkan itu menggambarkan keperibadian diri kita sebenarnya. Malah agama Islam sendiri telah menggariskan cara dan adab yang tertib dalam menegur kesilapan dan kesalahan orang. Justeru sebesar mana dosa dan salahnya sekalipun biar kita tegur dan perbetulkan dengan cara yang berhemat dan betul.

Dalam pada itu satu lagi kelompok pula kelihatan bersikap berkecuali dalam memperdebatkan isu ini apabila buat acuh tak acuh atau langsung tidak mempedulikan tentang isu Sajat ini. Bagi mereka biarlah para agamawan dan pihak berkuasa membuat kerja mereka dan berpendirian tidak ada keperluan untuk semua orang masuk campur. Jadi kelompok ini hanya menjadi penonton dan tidak turut serta bertempur di media sosial. Penulis pasti mereka juga ada pandangan dan pendirian masing-masing namun tidak mahu menzahirkannya secara terbuka. Kita wajar menghormati pendirian kelompok ini juga. Apapun kita yakin tindakan berdiam diri mereka bukan bermaksud menyokong tingkah laku Sajat ini.

Pada masa yang sama kita juga sudah mendengar pandangan dan komen dari Menteri yang bertanggungjawab serta para agamawan termasuk beberapa orang Mufti tentang isu ini. Ternyata semuanya secara nyata dan jelas tidak bersetuju dengan tindakan Sajat dan mahu isu ini ditangani dengan segera cumanya cara mereka menzahirkan pandangan itu ada yang nampak keras dan ada yang agak lebih lembut.

Apapun secara umumnya semua lapisan anggota masyarakat tidak boleh menerima tindakan Sajat ini dan mahu Sajat dikenakan tindakan yang sewajarnya. Namun harus diingat jangan sesekali kita cuba untuk mengambil alih peranan Tuhan. Menentukan halal atau haram, berdosa atau tidak serta soal kufur dan iman bukan urusan kita. Itu urusan antara Sajat dengan penciptanya. Jangan kita pula lebih sudu dari kuah hingga menjejaskan akidah sendiri. Ringkasnya tindakan para netizen yang secara tiba-tiba bertukar menjadi “ustaz ekspres” dengan menjatauhkan pelbagai hukuman tidak sepatutnya berlaku.

Jadi buat masa sekarang eloklah kita beri ruang kepada pihak berkuasa menyiasat isu ini secara terperinci sebelum merumuskan tindakan yang sewajaranya. Tidak perlu Sajat menjadi punca kita bergaduh sesama sendiri dalam media sosial kerana percayalah ianya sangat tidak berbaloi dan sentiasalah jaga adab dan tertib ketika mengeluarkan apa jua komen mahupun pandangan dalam media sosial. Ingat, budi bahasa budaya kita.

Tentang Penulis

Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam majalah berkala seperti Dewan Masyarakat.

Komen