Shakila Yang Disakiti Oleh Si Buta Hati

SEHARI sebelum menyambut hari kemerdekaan negara, seorang aktivis wanita iaitu saudari Shakila Zen telah menerima bungkusan yang telah dikirim oleh individu yang tidak dia kenali. Setelah dibuka bungkusan itu, alangkah terkejutnya di hati kerana kandungannya begitu mencengangkan. Satu replika tangan yang dilumurkan dengan darah dan sepucuk surat ugutan. Sekiranya Shakila bersuara kembali terutama ketika menyentuh hal-hal korupsi maka ancamannya disimbah asid.

Ini adalah satu tragedi yang maha dahsyat telah terjadi di negara kita. Keamanan yang selama ini dicanangkan terutama selepas negara sudah mengecapi kemerdekaan selama 64 tahun hancur lebur begitu saja. Kebebasan bersuara bukanlah hak masyarakat sebenarnya. Bagaimana dalam sebuah demokrasi (sungguhpun demokrasinya dimain-mainkan oleh elit politik) masih lagi ada perilaku barbarik, jahal, bebal, bobrok, hooligan dan gangsterisme?

 

Malangnya tragedi mengugut, intimidasi bukan saja berlaku pada diri Shakila Zen malah pada aktivis yang lain juga tidak kira lelaki mahupun wanita. Ada yang diekori, di telefon berulang kali juga menjadi mangsa buli siber. Kejadian ini akan akan lebih buruk pada mereka yang mempersoalkan tentang kebobrokan kuasa, korupsi, kegagalan elit dan ketamakan. Oleh kerana individu yang dikritik ini mempunyai kedudukan, maka segala tindakan buruk boleh dilakukan sama ada melalui diri sendiri ataupun pengikutnya.

Apa yang menghairankan, baru-baru ini didedahkan seorang ahli perniagaan telah terlibat dengan 69 pertuduhan memalsukan dokumen pelbagai projek kerajaan antara Jun 2019 hingga September 2020. Semua projek berkenaan termasuk projek jalan, menaiktaraf dan ubahsuai perpustakaan; pembinaan kolej dan penghawa dingin di beberapa universiti awam, bangunan hospital, rumah kakitangan FELDA serta kerja-kerja penyelenggaraan pepasangan mekanikal di kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kuala Lumpur dan Bentong, Pahang.

Kesemua kes yang disebutkan itu adalah untuk kegunaan orang awam terutama sekali untuk mereka yang miskin, tidak mampu untuk membayar bagi rawatan hospital dan pendidikan. Sejujurnya pernahkah sekali kediaman sang-sang penyamun seperti ini disimbah cat, dilempar kepala babi atau diberi replika tangan berdarah untuk menunjukkan kemarahan bahawa korupsi itu jahat dan busuk? Jangan salah sangka, perbuatan ini memang tidak bermoral dan tidak boleh dilakukan. Namun soalnya mengapa sering terjadi pada rakyat bawah ketimbang mereka yang berkedudukan lalu melakukan jenayah?

Bercakap soal ugutan dan intimidasi ini juga telah memperlihatkan satu hal bahawa masyarakat kita sedang sakit kerana ada sekelompok yang tegar melakukan hal yang sebegini dan ada sekelompok lagi yang menyokong hal ini terus dilakukan. Bacalah komen-komen di sekitar akhbar yang menulis mengenai kes yang dihadapi Shakila, malah ada yang menuduh itu hanyalah propaganda atau polemik yang dicipta untuk meraih perhatian dan populariti. Sepatutnya segala perkara yang mengancam keselamatan hatta nyawa manusia haruslah dilawan bukan disokong.

Ini juga memberikan indikasi bahawa menjadi seorang wanita apatah lagi wanita yang lantang di negara ini tidaklah selamat dan tidak pernah selamat. Kerana budaya masyarakat didominasi oleh idea patriaki di mana mereka berpendapat bahawa wanita merupakan kelompok yang berkelas kedua,  lebih rendah dari lelaki. Setiap apa yang dikatakan adalah tidak rasional dan bijak. Oleh itu menjadi suatu kewajipan untuk menidakkan dan membantah kata-kata mereka dengan apa cara sekalipun termasuklah kekerasan.

Lihatlah betapa sakitnya idea ini, jika begitu bagaimana dengan negara New Zealand yang dipimpin oleh Jacinda Ardern, Sanna Marin yang memimpin Finland juga Tsai Ing-Wen yang berani mengemudi Taiwan? Adakah negara-negara yang disebutkan ini telah tenggelam di dasar lautan? Mengejutkan negara-negara ini mempunyai nilai kemakmuran juga kualiti pendidikan yang tinggi melebihi negara kita yang rata-rata didominasi oleh kepimpinan lelaki. Jadi janganlah bersikap diskriminasi, prejudis dan patriakis terlebih dahulu.

Masyarakat memang sedang sakit dengan budaya yang bersifat anti-intelektualisme ini, tetapi apa yang lebih mengejutkan di peringkat Kementerian terutama sekali Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, yang dipimpin oleh YB Rina Harun masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung dengan kes ini. Terutama sekali jaminan akta dan polisi bagi hak kebebasan bersuara dan keselamatan wanita yang hidup di dalam negara ini. Pihak kementerian seharusnya memainkan peranan pro-aktif terutama sekali pada hal yang melibatkan nyawa dan keselamatan. Tetapi mengapa berlaku sebaliknya?

Dalam satu kenyataan akhbar Harian Metro bertarikh 22 Julai 2020, satu RANG Undang-Undang Akta Gangguan Seksual (RUU GS) dijangka dibentangkan untuk bacaan pertama pada sesi Parlimen akhir tahun tersebut. Ini disebut sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun. Dalamnya terkandung antaranya peruntukan undang-undang untuk menguntukkan kesalahan ‘harassment’ dan ‘stalking’ sebagai suatu kesalahan jenayah di Malaysia. Ini merupakan suatu tindakan yang harus dipuji. Malangnya ia tidak pernah dibentangkan sehingga hari ini.

Sepatutnya di dalam sebuah demokrasi hak kebebasan bersuara haruslah ditegakkan dan masyarakat harus dididik dengan pemikiran kritis semua ini adalah untuk keberlangsungan negara supaya negara sentiasa berada di landasan yang betul tanpa ada kerosakan. Namun sekiranya hak kebebasan ini hilang akibat diugut dan di intimidasi sudah tentu ia tidak akan berterusan dan segala jenayah termasuklah korupsi akan terus-terusan berlaku. Ini juga terkait dengan wanita. Sekiranya hari ini adanya kelompok yang boleh mentertawakan Shakila, bersedialah untuk ahli keluarga mereka pula mengalaminya. Kerana jika idea barbarik ini berleluasa dan menyusup masuk dalam kefahaman masyarakat maka tidak ada lagi jalan keluar bagi semua. Buat semua wanita yang rela berjuang di luar sana semoga anda terus kuat dan terima kasih diucapkan.

“To love. To be loved. To never forget your own insignificance. To never get used to the unspeakable violence and the vulgar disparity of life around you. To seek joy in the saddest places. To pursue beauty to its lair. To never simplify what is complicated or complicate what is simple. To respect strength, never power. Above all, to watch. To try and understand. To never look away. And never, never to forget.”- Arundhati Roy

Komen