Pensyarah Zionis, Imperialisme Intelektual Dan Komprador Intelektual

Kita di Malaysia ini memang kerap bergaduh dan berbalah, terutamanya hal politik. Yang menyatukan kita melangkaui jalur parti ini biasanya ada beberapa hal – sukan, makanan, dan semangat kita menyokong pembebasan Palestin. Sebab itu bila ada pensyarah Zionis bernama Bruce Gilley tular menyampaikan ucaptama di satu program di Universiti Malaya (UM), satu Malaysia mengamuk.

Si pensyarah Zionis ini pula dengan tanpa rasa malu ciap bahawa pemimpin politik negara kita mendokong Holocaust kedua. Ramai sudah mengecam beliau dan Menteri Pendidikan Tinggi pun sudah mengarahkan siasatan mendalam dibuat. Tapi ada persoalan besar yang perlu diketengahkan: Mengapa dia diberi platform untuk berucap? Mengapa pensyarah Zionis ini juga seorang Profesor Pelawat di UM?

Imperialisme Intelektual

Profesor di Universiti Kebangsaan Singapura, Prof. Syed Farid Alatas menulis berkaitan isu ini dalam konteks imperialisme intelektual. Terkejut beliau bilamana seorang pensyarah yang pernah menulis menyokong kolonialisme (sesuailah dengan ideologi Zionisme-nya itu) diberikan ruang wacana. Satu saja penjelasannya: ada di kalangan mereka yang menjemput itu masih terpasung mindanya dan tunduk kepada imperialisme intelektual. Dalam kata lain, mudah kagum dengan orang kulit putih sehinggakan tidak kritikal (atau dalam kes ini, waras) dalam menilai idea-ideanya. Hanya sebab pensyarah Zionis itu dari Barat, terus kita rasakan apa yang mereka sampaikan itu lebih bernilai.

Sayang seribu kali sayang melihat universiti yang pernah dipimpin Prof. Syed Hussein Alatas – pendokong kemandirian minda dari terpasung dan imperialisme intelektual – menjemput orang sebegini untuk masuk melepasi pagarnya sekalipun.

Kita sebutkan tadi bahawa pensyarah Zionis ini menyokong kolonialisme – hujah-hujah beliau adalah cubaan menyucikan dosa kolonialisme. Kolonialisme ini kononnya membawa kepada kemajuan. Menyelak kembali sejarah, maju sangatkah Tanah Melayu ini di bawah penjajahan British? Kapitalisme kolonial mereka tidak pun membina kilang di Malaysia. Ada landasan keretapi pun hanya untuk memindah sumber-sumber. Tidak wujud pun kelas menengah yang bercambah. Tiada pun kemajuan ekonomi, baik kepada Melayu kelas rakyat mahupun Cina dan India yang dibawa masuk sebagai buruh. Habis sumber kita dijarah, kemudiannya diproses di kilang di England untuk dijual. Untungnya ke mana kalau bukan poket penjajah. Kolonialisme membawa kemajuan konon.

Imperialisme intelektual adalah kesan langsung kolonialisme. Kita pasung diri kita dengan perasaan rendah diri yang berbahaya – yang tiada asasnya. Kita rasa kita perlukan bimbingan dari orang yang lebih hebat namun pandangan kita tentang siapa yang ‘hebat’ itu yang bermasalah.

Orang Barat tak semestinya lebih cemerlang dari kita dalam melihat dan menganalisa dunia. Imperialisme intelektual dan fenomena minda tertawan ini berlaku bila kita secara sewenangnya menerima hakikat bahawa segala apa dari Barat itu lebih hebat.

Inilah penyakit yang menghidapi sesiapa pun yang menjemput si Bruce Gilley ini. Hancur kesarjanaan kita kalau begini cara kita mewacanakan sesuatu. Prof. Syed Farid pun rasa pelik bagaimana hujahan pro-kolonial Gilley lepas masuk ke jurnal-jurnal. Dari asas hujahannya pun kita tahu beliau ini sarjana berkelas rendah. Ini sangat bertepatan dengan ciri imperialisme intelektual yang dinyatakan Prof. Syed Hussein (beliau nyatakan ini ciri yang sukar dibincangkan) – sarjana Barat seperti Gilley ini sebenarnya sarjana berkebolehan rendah. Kehadiran dia ke negara-negara lain hanyalah untuk merasa dirinya ‘superior’ kerana tanggapannya bahawa sarjana atau penduduk bekas negara terjajah ini adalah ‘inferior’.

Lihat sajalah ciapannya tentang kita mempunyai koc wanita dalam sistem pengangkutan LRT – ‘Civilized’. Seperti takjub bahawa Malaysia ini memang maju. Tanggapan si Zionis ini seolahnya Malaysia ini maju atau dimajukan atas asbab menerima berkat penjajahan British.

Komprador Intelektual

Dalam lexicon Marxist, wujudnya istilah komprador yang merujuk kepada mereka yang bersekongkol dengan kumpulan asing. Mudah kata, tali barut. Komprador intelektual ini adalah mereka dari dunia kesarjanaan yang bersekongkol dengan sarjana Barat dalam erti paling rendah. Ada yang sekadar mengutip data. Mereka dari kalangan komprador ini tidak pun melihat bagaimana data ini diproses dan dijadikan produk akhir. Lebih pelik lagi, para komprador ini sudi membaca dan mendengar syarahan sarjana asing yang berkesinambungan dari data yang mereka kutip tadi – walhal data itu adalah data dari negara komprador intelektual itu sendiri. Seperti melihat sarjana orang Jepun memberikan pembentangan kepada keadaan sosial Amerika kepada rakyat Amerika dari data yang dikutip oleh komprador intelektual Amerika.

Melihat kepada kehadiran Gilley ini, kita boleh fahami wujudnya komprador intelektual dalam ruang akademia UM. Yang sudi menjemputnya – walaupun jelas kebolehan sarjananya berkelas rendah – dan mendengar ucaptamanya tentang Malaysia sebagai Kuasa Tengah kepada Mahasiswa di Malaysia dalam sebuah Universiti di Malaysia. Prof. Syed Hussein dapat melihat fenomena ini berdekad lebih awal dari kita dan telahpun memberikan amarannya tentang permasalahan imperialisme intelektual ini. Pasti beliau kecewa jika mendapati komprador intelektual itu ada dalam universitinya.

Kepada Gilley, tugasan anda berjaya. Seperti Zionis-Zionis lain, anda berjaya membuat kacau di negara orang dengan kehadiran anda. Kemudiannya, mengikut manual Zionisme, anda berlakon sebagai mangsa. Kononnya tertindas. Anda membiarkan negara tersebut berdepan dengan akibat-akibat dari tindakan anda. Malaysia akan memastikan tidak lagi wujud ruang kepada orang seperti anda, wahai pembenar genosid dan pembunuhan.

Komen