Pasca KKB

Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu (KKB) telah pun selesai dengan status quo dikekalkan hasil kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang mewakili kerajaan Perpaduan.

Calon PH dari parti DAP, Pang Sock Tao meraih jumlah genap 14,00 undi dengan majoriti 3,869 undi untuk menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Khairul Azhari (10,131), calon bebas Eris Nyau Ke Xin (188) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah (152).

Sejumlah 61.51% dari 40,226 pemilih berdaftar KKB keluar mengundi dalam PRK yang terpaksa diadakan akibat kekosongan luar jangka susulan kematian mendiang Lee Kee Hiong.

Kejayaan PH mengekalkan kerusi DUN KKB menafikan cita-cita PN yang mahu menjadikan semua kerusi DUN dalam parlimen Hulu Selangor 100% dikuasai PN. Pada masa ini, dua dari tiga kerusi DUN dalam parlimen tersebut dipegang oleh PN iaitu Hulu Bernam dan Batang Kali.

Kebangkitan PH Dan Kerajaan Perpaduan?

Kemenangan PH di KKB dilihat oleh segelintir pihak sebagai bukti kebangkitan PH dan kerajaan Perpaduan.

Walaupun kemenangan ini ibarat mengekalkan status quo, tetapi ia dilihat besar kerana seorang calon DAP berbangsa Cina mampu menang di kerusi DUN dengan 52% pengundi Melayu dan di dalam kawasan parlimen dan DUN berjiran yang dikuasai PN.

Namun untuk menyatakan bahawa kemenangan calon Perpaduan adalah petanda bahawa politik 3R (race, religion and royalty) telah ditolak oleh pengundi Melayu khususnya masih terlalu awal.

Walaupun PH menyaksikan peningkatan undi Melayu dalam PRK KKB ini, ia masih belum mencapai angka 50% apatah lagi untuk menafikan penguasaan PN ke atas undi orang Melayu yang dijangka pada paras 60% dalam PRK KKB.

Dengan perubahan demografik yang berterusan, tanpa sebarang usaha bermakna dari kerajaan Perpaduan, ia boleh menjadi masalah besar buat PH (dan juga Barisan Nasional) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Nyata sekali, walaupun pelbagai usaha dibuat oleh kerajaan Perpaduan bagi menarik sokongan pengundi Melayu ia masih tidak memadai untuk mengubah sentimen kaum majoriti ini untuk mengundi di luar garisan kaum dan agama. Politik identiti masih menjadi lumrah dalam politik orang Melayu.

Kemenangan PH di KKB bolehlah dikatakan berpunca dari sokongan pengundi bukan Melayu terutamanya orang Cina yang meningkat berbanding ketika PRN Selangor tahun lalu. Jangkaan sokongan pengundi India bakal beralih kepada PN secara mendadak juga terbukti meleset. PH juga berjaya menarik undi Orang Asli hasil dari kerjasama yang baik dengan UMNO dalam PRK ini.

Satu lagi faktor yang ketara membantu kemenangan PH ialah peralihan sokongan anggota polis dan tentera kepada PH. Berbanding PRN Selangor tahun lalu dimana PH hanya memperolehi 33% undi awal, PRK KKB ini menyaksikan PH berjaya memperolehi 79% atau 592 undi awal.

Terbukti usaha kerajaan Perpaduan menjaga kebajikan polis dan tentera serta pengumuman kenaikan gaji dan pemberian bonus atau bantuan kepada penjawat awam telah sedikit sebanyak mengubah sentimen kelompok ini untuk menyokong kerajaan Perpaduan.

Tidak dinafikan ia juga turut dibantu oleh blunder pemimpin PN khususnya Wan Ahmad Fayhsal yang menakutkan penjawat awam tentang kemungkinan usul kenaikan gaji boleh digagalkan jika Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti dalam usul Belanjawan 2025 nanti, yang memberikan gambaran blok pembangkang mungkin menolak usul tersebut.

PN Masih Berpeluang?

Pun begitu di sebalik kejayaan PH memenangi PRK KKB, ada beberapa isyarat yang perlu diberi perhatian tentang kekuatan PN yang masih tersisa walaupun tewas.

Pertama sekali, PN masih jelas menguasai undi Melayu dalam PRK KKB. Walaupun ada sedikit penurunan dari segi peratusan, ia mungkin berpunca dari political fatigue atau kelesuan politik susulan pilihan raya yang kerap atau ketiadaan pengundi luar yang tidak pulang mengundi.

PN masih menguasai hampir 60% undi Melayu di KKB dan menang di enam dari lapan Pusat Derah Mengundi (PDM) majoriti Melayu. Perubahan demografik yang akan menyaksikan lebih ramai pengundi Melayu dalam beberapa tahun akan datang boleh menjadi faktor yang mendesak PN untuk terus memainkan politik 3R demi kepentingan mereka.

Yang kedua dan agak menggusarkan ialah keupayaan PN untuk terus mengungguli segmen pengundi bawah 40 tahun. PN menguasai sgemen pengundi 18-24, 25-30, 31-40 pada kadar 63%, 65% dan 59%.

Apakah maksudnya peratusan ini untuk tahun-tahun mendatang?

Ia membawa makna PN berpotensi besar menguasai pilihan raya akan datang. Hukum alam menetapkan yang tua akan semakin berkurangan pergi meninggalkan alam ini sedang yang muda akan terus bercambah dan semakin ramai.

Jika PN berterusan memenangi jiwa dan minda pengundi muda, maka mereka bolehlah berkira-kira membentuk kerajaan pada PRU akan datang.

Tidak dinafikan dalam hal ini, memang nyata PN lebih bijak memanfaatkan kelebihan media sosial yang merupakan candu kepada golongan muda.

Lihat sahaja penguasaan mereka di Tiktok dan bagaimana kecenderungan agama di kalangan anak muda ditunggang sebaiknya oleh PN untuk membentuk pemikiran politik anak muda.

Usaha-usaha tarbiyyah ini berjalan dari awal dan dalam hal ini, PN beruntung mempunyai PAS yang mahir dalam selok-belok pentarbiyyahan.

Kesimpulan

Apa yang boleh melegakan PH (dan BN) adalah kencerungan politik tidak statik.

Jiwa muda yang yang terpengaruh dengan sentimen hari ini mungkin berubah esok untuk lebih bertimbang rasa membuat pilihan. Tiada yang mustahil untuk pengundi muda beralih arah.

Tetapi berharap pada perubahan untuk berlaku sendiri tidak cukup. Usaha perlu dibuat untuk menarik sokongan pengundi muda kepada PH, BN dan kerajaan Perpaduan bermula dari sekarang.

Masanya sudah tiba untuk kerajaan Perpaduan benar-benar memikirkan permasalahan golongan muda dan apakah tawaran penyelesaian yang boleh diberikan kepada mereka.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan Perpaduan juga perlu berfikir bagaimana untuk PH dan BN jadi cool kembali dan tidak dilihat sebagai parti orang tua atau orang kerajaan. Sentimen anak muda ialah mereka mahu dilihat menyokong parti politik yang tidak akan menampakkan diri mereka sebagai anak muda yang bosan dan biasa-biasa sahaja.

Pasca KKB, inilah kerja paling utama perlu dilaksanakan oleh kerajaan Perpaduan.

Komen