Sepuluh Ciri Keruntuhan Masyarakat

Seorang sosiolog Indonesia bernama Arief Budiman pernah menuliskan;

“Ketidakadilan bisa merajalela. Tetapi, bagi seorang yang secara jujur dan berani melawan semua ini, dia akan mendapat dukungan tanpa suara dari banyak orang.”

Sambungnya lagi;

“Mereka memang tidak berani membuka mulutnya karena kekuasaan membungkamnya. Tetapi, kekuasaan tidak bisa menghilangkan dukungan itu sendiri karena betapa kuatnya kekuasaan, seseorang tetap masih memiliki kemerdekaan untuk berkata ya atau tidak meskipun cuma di dalam hatinya.”

Selain itu, dalam nada yang sederhana Raden Adjeng Kartini mengeluarkan pendapatnya bahawa;

“Negara tidak akan  memikirkan baktinya kepadaku, tetapi aku memikirkan apa yang dapat kubaktikan kepada negaraku.”

Persamaan idea dari kedua-dua tokoh itu tentulah dapat dijalinkan sebagai satu tindakan untuk memelihara masyarakat seterusnya negara dari kerosakan lalu keruntuhan.

Bagi Arief Budiman setiap ketidakadilan haruslah ditegur dan dilawan walaupun hanya dalam hati. Kartini pula berpendapat salah satu bakti pada masyarakat dan negara tentulah memelihara ia dari kezaliman, kekorupan seterusnya keruntuhan.

Sudah tentu, idea tersebut menjadi salah faktor pada semak imbang bagi memastikan masyarakat sentiasa dalam keadaan yang sebaiknya. Namun dalam masa yang sama kita juga harus berwaspada pada idea-idea yang membawa keruntuhan masyarakat.

Soalnya apa ciri-ciri keruntuhan masyarakat itu?

Setidaknya ada sepuluh ciri yang boleh dikenalpasti awal sebelum berlakunya keruntuhan dalam masyarakat.

10 Ciri Keruntuhan  Masyarakat

1. Ketidakadilan penguasa

Mayarakat akan runtuh apabila penguasa tidak menganggap keadilan sebagai suatu yang penting. Keadilan ini termasuklah undang-undang, ekonomi, pendidikan juga kesihatan. Bayangkan bila ada tafsiran undang-undangnya yang berat sebelah misalnya, hanya mementingkan orang kenamaan akan memaksa masyarakat untuk tidak lagi percaya undang-undang. Mereka akan mula cenderung bertindak sendiri jika berlaku masalah. Dari situ maka berlakulah keruntuhan.

2. Korupsi dan salah guna kuasa

Indikator lain bagi menunjukan masyarakat itu sudah mula divambang keruntuhan apabila korupsi dan salah guna kuasa mula berleluasa. Bukan berleluasa sahaja bahkan mula diterima sebagai nilai dalam masyarakat lalu disokongnya pula sosok yang korup. Korupsi dan salah guna kuasa itu kesannya besar menambah bilangan kemiskinan, kebuluran, kebodohan dan kesakitan semuanya berlaku disebabkan jenayah itu. Jadi mahu atau tidak mahu korupsi dan salah guna kuasa tetap menjadi antara faktor keruntuhan masyarakat. Tidak perlu diselindungkan lagi.

3. Tidak amanah dan lalai dalam institusi sosial seperti pendidikan dan kesihatan

Walaupun negara diserang berkali-kali jika dua institusi sosial iaitu pendidikan dan kesihatan dijaga, maka negara itu boleh bangun berkali-kali. Sebaliknya jika ia tidak dijaga tanpa diserang pun masyarakat dan negara boleh runtuh.

Dua institusi ini sepatutnya menjadi keutamaan bukan sebagai satu daripada sumber populariti politikus. Dasar pendidikan sepatutnya tidak berubah-berubah kerana membangunkan generasi baru perlu fokus dan berobjektif, begitu juga kesihatan ia perlu melindungi semua warganya tanpa ada faktor kelas dan kedudukan. Jika kedua ini tidak dijaga, masyarakat akan runtuh hendaknya.

4. Keilmuan bersepai

Dalam banyak-banyak hal yang direbut keilmuan adalah salah satu yang ditinggalkan. Keilmuan bersepai hadir bila yang diangkat itu terdiri daripada kelompok pandir dan bebal. Tidak ada pengetahuan yang luas. Hanya tahu bermain sentimen semata-mata untuk pastikan kelompoknya memegang kuasa.

Selain itu, keilmuan bersepai juga dapat wujud dalam universiti di mana pensyarah tidak jujur dalam membentang idea. Dia hanya mengajarkan idea yang selesa dengannya lalu menolak idea yang lain terutama idea kritis dan yang mencabar statu quo. Kerana perut mereka lebih penting dari tahap kejujuran ilmu. Nantinya akan lahirlah generasi yang runtuh, tidak mahu berfikir apatah lagi mengkritik dan melawan kerosakan.

5. Budaya seni mereput

Antara perkara yang langsung tidak mendapat perhatian sudah tentu budaya seni. Seni dipandang sebagai sesuatu yang tidak bernilai ekoran dari kemasukan idea materialistik dari kapitalisme dan neo-liberalisme. Walhal seni merupakan satu medan ekspresi untuk mereka yang punya bakat berkreativiti, menyampaikan sesuatu yang terpendam di dalam hati. Seni bagi masyarakat bawah sering dibangkang, dihalang, dibilang bukan-bukan malah dihukum dengan dogma agama.

Ironinya kelompok elit juga bangsawan boleh terdedah dengan kesenian punyai teater sendiri malah boleh hadiri okestra, pameran seni dan persembahan. Bila masayarakat tidak menggenggam seni mereka tidak tahu erti keindahan, kesopakan dan kehodohan. Maka mereka tidak boleh menegur segala yang tak beres pada bangunan-bangunan awam, taman-taman, jalan raya dan segala yang sering mereka lihat dan sentuh.

6. Bahasa kaku, beku dan tak laku dek sumbu ilmu yang makin terputus padam

Ini sering dapat kita perhatikan hari ini. Bahasa itu dituturkan semberono yang mungkin atas alasan untuk mereka yang dibawah memahami ungkapan terutama dari penguasa. Dalam tak sedar sebenarnya ia telah merendahkan martabat bahasa malah martabat diri sendiri. Kerana apa, kerana bahasa yang baik hasil dari cerminan idea, ilmu dan pengalaman yang baik. Jika ia terungkap buruk maka kesemua ini hasil dari garapan yang buruk.

Memandang rendah kelompok bawah kononya tidak faham kegunaan “bahasa tinggi” sebenarnya sia-sia kerana tak semua kelompok bawah bertutur menggunakan bahasa “remp-it” seperti apa yang dituturkan oleh sebilangan politikus hari ini. Jika bahasa buruk nescaya masyarakat yang akan lahir juga akan buruk. Jadinya tidak mungkin akan lahirnya kejayaan sudah tentu keruntuhan yang mengambil tempat.

7. Ekonomi merakus pada yang kaya

Ekonomi sudah tentu menjadi dasar kepada masyarakat kalau tidak masakan Karl Marx menulisnya dengan panjang lebar. Namun ekonomi juga bisa meruntuhkan masyarakat sekiranya agihannya itu merakus pada yang kaya. Setiap apa yang dilakukan haruslah mementingkan keuntungan terlebih dahulu pada yang kaya.

Ini termasuklah projek-projek awam, penebangan hutan dan industri-industri berat. Tidak difikirkan mengapa masyarakat bekerja dengan bayaran gaji yang rendah, rumah sempit, harga barang yang naik mendadak yang penting kelompok kaya tetap dapat menjana keuntungan melebarkan jurang kekayaan. Sudah tentu masyarakat akan runtuh disebabkan oleh tekanan, kelaparan, ketidakadilan dan kezaliman ekonomi.

8. Media berdasar pembohongan

Media merupakan medan dan lidah bagi masyarakat. Peranan media adalah merakam setiap kejahatan, kerosakan dan kegagalan yang menyebabkan banyak masyarakat menderita lalu disiarkan pada publik sebagai peringatan. Namun jika media bergerak atas dasar pembohongan, propaganda dan dihegemoni kekuasaan sudah tentu yang menjadi paparan itu suatu pembohongan supaya minda masyarakat dapat dibentuk menjadi terkebelakang. Ia sudah tentu tidak akan langsung membantu kepada keutuhan masyarakat malah meruntuhkan lagi sistem moral dan nilai dalam kalangan masyarakat.

9. Perkauman terus diapi

Racial Reasoning seperti yang diungkap oleh Cornell West merupakan satu set idea yang sia-sia. Setiap masalah dituding hanya pada sesuatu kaum bukanya sistem juga ideologi yang digunapakai. Ekonomi tidak berkembang kerana kaum, masalah dominasi ekonomi kerana kaum malah dikatakan untuk menyelesaikan hal ini perlulah menjadi seorang yang rasis (perkauman). Masyarakat terpecah belah. Tidak punyai semangat mencintai satu sama lain yang seterusnya akan mendorong ke kancah peperangan lalu keruntuhan.

10. Yang perompak dan samseng menjadi wira

Ironinya, perompak dan samseng dilihat sebagai sesuatu yang unggul. Masalah diselesaikan dengan makian, budaya pukul memukul atau hooligan disokong. Idea ini membentuk masyarakat untuk menjadi lebih barbarik dan tidak bertamadun. Kalau ini bukan keruntuhan apa lagi yang harus disebutkan?

Komen