Seperti Cinta, Rasuah Tidak Berlaku Jika Bertepuk Sebelah Tangan

Dakwaan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mengatakan bahawa bukan Melayu dan bukan Islam paling ramai terjebak dalam jenayah rasuah telah menimbulkan perdebatan hangat. Ikut kata Hadi, majoriti pemberi rasuah adalah dari golongan bukan Melayu-Islam atau secara lebih spesifik mereka yang berketurunan Cina.

Tentu sekali dakwaan melulu Hadi itu dibidas oleh banyak pihak. Paling lantang bersuara adalah mereka yang dari parti politik atau pertubuhan sivil pelbagai kaum. Ada dua sebab utama kenapa dakwaan Hadi dibidas.

Pertama kerana dakwaan sebegitu tidak selari dalam usaha memupuk semangat kekitaan di kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum. Kenapa perlu menuding jari kepada satu golongan sebagai punca rasuah sedangkan kita semua tahu, kesan jenayah rasuah menjejaskan segenap lapisan rakyat tanpa mengira latar kaum atau pegangan agama. Melainkan sudah tentu, Hadi membuat dakwaan sedemikian atas faktor politik iaitu meraih sokongan dari pengundi Melayu-Islam.

Sebab yang kedua pula adalah kejanggalan dakwaan Hadi apabila disandarkan pada senario semasa. Hadi membuat dakwaan rasuah beliau pada bulan yang sama mantan Perdana Menteri, Mohd Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara dan denda atas jenayah rasuah beliau melibatkan wang RM42 juta dana SRC International. Ketika Najib sudah didapati bersalah oleh barisan panel lima hakim, masih ramai lagi penyokong beliau dari kelompok Melayu-Islam yang tetap berpandangan jenayah yang dilakukan Najib bukanlah satu bentuk rasuah. Bahkan ada yang sanggup menghalalkan perbuatan Najib dengan alasan “walaupun dia ambil duit, tapi setidaknya dia bagi juga kepada rakyat sedikit”.

Pemikiran yang sedemikian adalah pemikiran yang menghalalkan rasuah. Malangnya yang ramai berfikir demikian datang dari penyokong parti UMNO yang juga banyak terpalit isu rasuah. Dan penyokong parti UMNO adalah rata-rata Melayu (walaupun ada sedikit mamak) dan beragama Islam.

Mempertahankan Hadi

Setelah dibidas teruk dari segenap sudut, muncul pula beberapa pemimpin PAS lain yang cuba mempertahankan Tuna Guru mereka. Salah satunya adalah Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang tampil menulis panjang lebar di lidah rasmi PAS, Harakah bagi mengiyakan dakwaan Hadi.

Menurut Dr Mohd Zuhdi, Hadi membuat dakwaan bukan Melayu-Islam banyak terlibat rasuah berdasarkan satu kertas kajian yang diterbitkan di dalam sebuah jurnal antarabangsa yang berwibawa di sebuah universiti terkemuka Amerika Syarikat.

Mengikut kajian tersebut, 88% pemberi rasuah yang didapati bersalah antara tahun 2010 hingga tahun 2014 adalah bukan Melayu-Islam. Seramai 57.46% daripada pemberi rasuah yang didapati bersalah adalah dari kaum Cina, 30.51% dari kaum India dan 12.03% dari kaum Melayu. Mereka yang memberikan rasuah ini berbuat demikian sebagai sogokan untuk melepaskan diri dari hukuman, ataupun demi mendapatkan keutamaan dalam sesuatu keputusan oleh agensi kerajaan seperti berkaitan dengan tender perolehan dan seumpamanya.

Namun satu perkara yang tidak diulas oleh Dr Mohd Zuhdi dalam tulisannya di Harakah adalah seperti cinta, rasuah tidak akan berlaku jika sekadar bertepuk sebelah tangan.

Jika ada pemberi rasuah, tentu sekali ada juga penerima rasuah.  Yang tidak disebut adalah data penerima rasuah. Berapa peratus pula Cina, India dan Melayu di kalangan mereka yang bersalah menerima rasuah? Jika kebanyakan rasuah diberikan kepada penjawat awam demi melepaskan diri dari hukuman atau mendapatkan keutamaan, adakah mungkin penerima rasuah majoritinya Melayu-Islam kerana kelompok ini paling ramai yang menjawat jawatan awam?

Realiti Rasuah

Kajian yang dijadikan asas oleh PAS untuk menyokong dakwaan mereka sebenarnya adalah dari tesis berjudul The Size And Cost Of Bribe Given And Solicited: Analyses Based On Convicted Offenders In Malaysia oleh Christine Chong Siew Pyng dari Universiti Sains Malaysia (USM). Walaupun ia adalah satu kajian asli, apa yang gagal dipetik oleh PAS adalah maklumat yang diperolehi adalah terhad. Pengkaji telah mengulas bahawa sampel yang ada tidak mewakili seluruh populasi, justeru dapatan yang diperolehi mungkin berat sebelah.

Seperkara lagi yang gagal diulas oleh Hadi atau Dr Mohd Zuhdi adalah 449 kes yang dijadikan asas kajian tidak semestinya mencerminkan situasi jenayah rasuah secara keseluruhan.

Sebagai contoh, berapakah nilai rasuah yang terlibat dari 449 kes tersebut?

Penilaian ini penting kerana kita mungkin boleh mengandaikan 100 kes rasuah melibatkan pemberi rasuah berbangsa Cina berupa sogokan untuk melepaskan diri dari sekatan jalan raya bagi mengesan pemandu mabuk, dengan rasuah diberikan pada kadar purata RM200 dan jumlah keseluruhan RM20,000. Tetapi nilai ini jauh lebih kecil dengan satu jenayah rasuah melibatkan seorang pemimpin Melayu-Islam atau isterinya yang bernilai jutaan ringgit.

Nilai rasuah ini gagal disentuh sama sekali baik oleh Hadi atau Dr Mohd Zuhdi. Mungkin kerana ianya tidak kena dengan naratif meraih sokongan Melayu-Islam mereka, atau kerana ianya akan memburukkan lagi nama UMNO yang sehingga kini masih dikejar PAS.

Tetapi saya rasa yang paling mustahak untuk PAS sedar dan tuliskan ialah, adakah menerima sogokan RM90 juta dari UMNO untuk berdiam tentang 1MDB dan bertanding di hampir semua kerusi parlimen bagi tujuan memecah undi merupakan satu bentuk rasuah atau tidak?

Kerana jika ia benar rasuah, maka sedarilah walaupun pemberi dan penerimanya antara dua orang Melayu-Islam, tetapi nilainya pastilah jauh lebih besar dari rasuah seorang Cina mabuk di sekatan jalan raya.

Komen