Seorang Pengakap Di LPPKN

Sebelum saya pergi jauh, izinkan saya beri sedikit penjelasan.

Di zaman sekolah dulu, saya juga seorang pengakap. Dari sekolah rendah membawa ke sekolah menengah, saya aktif dalam aktiviti pengakap. Dan walaupun hampir 10 tahun saya menjadi seorang pengakap, saya sedar diri dan tahu pengalaman menjadi pengakap itu jauh dari cukup untuk saya duduk di kerusi pengerusi sebuah lembaga kerajaan yang tidak kurang pentingnya seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Ini pandangan peribadi saya. Melainkan seorang pengakap itu pernah menuntut ilmu hal kependudukan dan pembangunan keluarga atau pernah bekerja di dalam sektor tersebut, saya rasa tidak boleh mana-mana pengakap hatta bapa pengakap negara sekalipun layak untuk jadi pengerusi di LPPKN.

Jadi, entah dari celah tebukan atap mana agaknya Abah kesayangan kau, Muhyiddin Yassin mendapat ilham untuk melantik ahli parlimen Parit, Mohd Nizar Zakari selaku pengerusi baharu LPPKN? Jika diselidik kelayakan atau pengalaman Mohd Nizar, hampir tiada apa yang dapat kita ketemukan. Melainkan dia adalah Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Perak Tengah, selain menjadi pengerusi, penaung, penasihat dan bendahari sekian banyak persatuan lain dari Pertubuhan Peladang Kawasan Parit membawa ke Persatuan Parit Off Road Team hinggalah ke Kumpulan Seni Silat Siamang Laut.

Ya, kita akan tertanya-tanya apa faedahnya menjadi penaung off road team dan silat siamang laut kepada lembaga kerajaan seperti LPPKN?

Sebolehnya saya tidak mahu memandang rendah Mohd Nizar serta memperlekeh kebijaksanaan Abah kesayangan kau dalam memilih Mohd Nizar selaku pengerusi baharu LPPKN, tetapi jujur saya tidak dapat lari dari membuat perbandingan.

Masakan tidak, Mohd Nizar naik menjadi pengerusi menggantikan Dr. Narimah Awin, mantan pengerusi LPPKN yang jika dilihat pada kelayakan dan pengalamannya, kita sendiri akan terduduk dan bermuhasabah diri.

Dr. Narimah Awin adalah lulusan MBBS dari Kolej Perubatan Assam di India pada tahun 1976. Beliau kemudiannya mendapat Master dalam Kesihatan Awam dari Universiti Filipina pada tahun 1982 dan seterusnya berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan Malaysia selama 30 tahun lamanya. Jawatan tertinggi Dr. Narimah Awin dalam perkhidmatan kerajaannya adalah apabila dilantik menjadi Pengarah Pembangunan Kesihatan Keluarga pada tahun 2007. Beliau juga dalah ahli Akademi Perubatan Malaysia dan telah dilantik menjadi Fellow dalam Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia pada tahun 2012. Di peringkat antarabangsa, selain dari banyak menyampaikan syarahan akademik dan membentangkan kertas kajian, Dr. Narimah Awin pada tahun 2013 dilantik menjadi Penasihat Serantau, Kesihatan Ibu Bersalin dan Reproduktif di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi rantau Asia Tenggara.

Berdasarkan kelayakan dan pengalaman beliau inilah maka kerajaan memilih Dr. Narimah Awin untuk menjawat Pengerusi LPPKN pada Mac 2019. Pemilihan yang masuk akal, sesuai dan kena pada tempatnya. Jika badan organisasi PBB seperti WHO merasakan Dr. Narimah layak menasihati mereka, kenapa tidak Malaysia sendiri untuk meletak kepercayaan pada visi dan kepakaran anak tempatan yang berjaya?

Tetapi tidak untuk kerajaan yang ada hari ini, kerajaan Abah kesayangan kau yang merasakan perlu untuk mengagih-agihkankan jawatan di semua syarikat, agensi, lembaga dan pertubuhan milik kerajaan kepada penyokong-penyokong beliau demi kelangsungan politik. Habis segala kerusi jawatan besar dikosongkan bagi memenuhi ketamakan ahli politik yang nampaknya tidak cukup dengan gaji dan elaun selaku ahli parlimen sahaja.

Teruk kah kelakuan ini? Saya rasa ia lebih dari sekadar teruk. Di dalam negara yang sudah terbiasa dengan amalan rasuah, kronisme dan nepotisme, saya mungkin boleh cuba untuk ‘faham’ perlunya sesetengah jawatan penting diisi oleh individu pilihan Perdana Menteri demi menjamin sokongan politik dan sumber kewangan.

Saya katakan begitu kerana kita semua sudah sedia maklum badan organisasi seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tenaga Nasional Berhad dan sebagainya wajib ‘dipegang’ kerana badan-badan ini adalah cash cow dan golden goose yang penting buat sesiapa yang menjadi kerajaan.

Tetapi LPPKN?

Adakah LPPKN menggali minyak, menjual elektrik atau mempunyai dana berbilion-bilion sampai ianya wajib ‘dipegang’?

Maka tahulah kita sebenarnya kerajaan Abah kesayangan kau adalah kerajaan yang terdesak. Lantaran itulah badan seperti LPPKN turut menjadi mangsa untuk dijadikan agihan politik bagi menjamin survival seseorang. Bak kata pepatah, tiada rotan akar pun berguna. Tidak dapat hadiahkan jawatan dalam Petronas, maka jawatan dalam LPPKN pun cukuplah. Asalkan ada dari tiada.

Namun jangan kita lupa biar pun LPPKN itu bukanlah cash cow atau golden goose bagi ahli politik, ia masih tersangat penting buat kita rakyat jelata. Kerana kuasa, fungsi dan tanggungjawab LPPKN itu sangat berakit rapat dengan kehidupan seharian kita. LPPKN adalah badan kerajaan yang memacu agenda kependudukan dan kekeluargaan negara melalui kajian demografi keluarga, program, perkhidmatan dan pendidikan. LPPKN adalah badan yang akan menasihati kerajaan dalam hal kependudukan, pembangunan keluarga dan juga reproduksi manusia.

Oleh kerana itulah, individu seperti Dr. Narimah Awin adalah perlu untuk badan seperti LPPKN. Tapi baru setahun lebih sedikit menjadi pengerusi. intan yang ada ditukar dengan kaca entah dari mana.

Lalu apakah yang boleh seorang ahli parlimen Parit merangkap pengakap off road yang tahu bersilat siamang laut boleh pengerusikan dalam badan seperti LPPKN ini, melainkan dari hanya mendapat satu kerusi pengerusi yang empuk, gaji bulanan, elaun hadir mesyuarat dan mungkin meehoon goreng telur mata ketika mesyuarat?

Atau mungkin masuk ke parit segala perancangan kependudukan dan pembangunan keluarga negara kita.

(Tidak ada pengakap yang dicederakan dalam penulisan artikel ini)

Komen