Seorang Fahmi Reza, hari ini, tanggal 23 April 2021 telah ditahan dan berkemungkinan akan didakwa dengan Akta Sakit Hati.
Seorang Fahmi Reza telah membuktikan kepada kita keutamaan negara dan pentadbiran kerajaan ini tatkala rakyat kini sedang dihimpit dengan pelbagai krisis akibat dari pandemik Covid-19. Walaupun beberapa hari ini, pelbagai isu semasa timbul di dada massa negara kita, namun Fahmi Reza jualah keutamaan kerajaan ini sehinggakan perlu 7 orang anggota polis hadir menahan seorang Fahmi Reza yang senjatanya hanyalah himpunan karikatur dan sebuah “playlist” Spotify.
Fahmi Reza telah mengungguli carta keutamaan negara kita yang kini kehilangan Menteri Kanan Pendidikan. Keresahan ibubapa mengenai penularan wabak Covid-19 di sekolah-sekolah sehingga beberapa sekolah telah pun ditutup dan ada dikalangan guru dan pelajar telah pun dikuarantin seakan-akan tidak perlu dipertimbangkan. Kementerian Pendidikan Malaysia walaupun sudah setahun menghadapi masalah ini, masih kelihatan dungu untuk memberikan penyelesaian kepada masalah ini. Senarai nama guru-guru untuk menerima vaksin juga masih lagi tidak dikeluarkan. Paling misteri, kehilangan menterinya dan timbalan menteri. Namun, seorang Fahmi Reza telah mengatasi keutamaan untuk menyelesaikan masalah ini. Kerajaan perlu menahan Fahmi Reza dan mungkin penahanan ini dapat memberikan klu lokasi persembunyian Menteri dan Timbalannya.
Kehilangan menteri ini juga telah memberikan kesan kepada beberapa perkara lagi terutamanya hal berkaitan dengan hala tuju pelajar lepasan SPM tahun 2020 yang kini masih samar-samar mengenai bilakah mereka akan menerima keputusan peperiksaan mereka dan bagaimana hala tuju mereka selepas itu. Aktivis pelajar, Nurul Rifayah telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini dan beberapa lagi perkara yang berkait rapat dengan KPM antaranya juga mengenai pembelajaran digital dan dongeng 150,000 laptop. Namun hal ini tidak dapat diperjelaskan kerana menteri dan timbalan menteri telah ghaib, walaupun ada khabar mengenai majlis berbuka anjuran menteri, namun begitulah. Fahmi Reza juga yang perlu kerajaan ini selesaikan dahulu.
Seorang Fahmi Reza juga berjaya membuat kerajaan terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat alpa mengenai isu pencabulan terhadap pelajar perempuan di sekolah-sekolah ketika mereka datang haid. Kepentingan menahan Fahmi Reza adalah terpaling utama dari menyiasat dan menghukum pesalah yang terdiri dari guru-guru yang mencabul pelajar ini kerana mereka merasakan adalah hak mereka untuk mengesahkan proses menstruasi bulanan pelajar mereka.
Seorang Fahmi Reza juga telah menyebabkan kerajaan menutup telinga mengenai keluh resah rakyat berkaitan dengan peningkatan harga barangan di pasaran pada waktu ini. Berbaki 2 minggu sebelum menjelangnya perayaan Aidilfitri, masih tiada bayangan bahawa harga barangan akan terkawal dan mampu dibeli oleh sebahagian rakyat yang kini tidak syak lagi mempunyai masalah pendapatan dan kewangan. Mungkin dengan penahanan Fahmi Reza ini, harga sekilo ayam akan turun dengan drastik pada hari esok.
Begitulah aura seorang Fahmi Reza, sehingga kerajaan yang kita tidak pilih ini lupa akan kepentingan apa yang perlu didahulukan. Fahmi Reza kini lebih bahaya dari ancaman Covid-19 dan beliau perlu “dibendung” sesegera yang mungkin agar rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan yang sentosa.
Solidariti untuk Fahmi Reza yang berjuang melawan kebobrokan sistem negara dan kerajaan melalui seni lukisan dan seni abstrak. Kita semua perlu jadi Fahmi Reza agar kerajaan memberikan perhatian kepada keperluan kita.
Kita semua mesti jadi seorang Fahmi Reza agar mimpi ngeri ini berakhir.
Pernah berkhidmat sebagai pegawai khas parlimen dan dasar kini menceburi bidang korporat. Extrovert. Memasak adalah terapi dan masih single.