Selepas Lebih Setahun Ditebuk Atap Dan Dilanda Pandemik Covid-19, Rakyat Kini Mengharap Pada Raja-raja Melayu

Hari ini Majlis Raja-raja Melayu (MRR) akan mengadakan sesi Perbincangan Khas di Istana Negara. Ini Perbincangan Khas kedua MRR dalam tempoh pandemik. Perbincangan Khas pertama adalah ketika Oktober tahun lepas membincangkan isu Darurat. Hasil perbincangan itu, usul Darurat ditolak tetapi kita semua tahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) kembali sekali lagi untuk memohon Darurat dengan menggunakan alasan memerangi Covid-19 dan akhirnya berjaya.

Kita tidak tahu apa intipati perbincangan hari ini. Tapi kita boleh menjangkakan bahawa antara isu yang akan disentuh adalah berkaitan Covid-19, situasi semasa negara dan rakyat, status parlimen dan juga tentang kerajaan sedia ada yang kini dikritik rakyat atas kegagalan mereka melawan pandemik.

Rakyat sedang memerhati. Perbincangan khas hari ini sama pentingnya dengan perbincangan khas tahun lepas. Tidak keterlaluan juga untuk kita katakan perbincangan hari ini sama kritikal dengan perbincangan yang pernah dibuat Raja-raja Melayu pada tahun 1946 untuk mencapai keputusan memulaukan majlis pelantikan Gabenor Malayan Union atas desakan rakyat yang melilit kain putih di songkok. Pada ketika itu, keputusan yang dibuat oleh Raja-raja Melayu sangat kritikal kerana ia menentukan nasib Tanah Melayu dan persoalan sama ada rakyat akan kekal taat setia atau sanggup derhaka demi kemerdekaan tanah air.

Saya tulis begini sebab pada pandangan saya, situasi negara dan rakyat hari ini sama juga kritikalnya dengan pada tahun 1946. Negara sedang berperang. Bezanya kali ini musuh kita halimunan, tidak boleh kita tewaskan dengan senjata dan peluru. Musuh kita juga menyerang tanpa mengira bangsa, agama atau darjat. Miskin kaya, tua muda, darah kuning atau darah merah semuanya boleh menjadi sasaran pihak musuh bernama Covid-19.

Setakat semalam 15 Jun 2021, sejumlah 4,069 nyawa gugur angkara Covid-19. Jumlah 4,069 yang mati ini adalah di tangan kerajaan PN yang gagal merangka strategi untuk kita menang dalam peperangan ini. Situasi pandemik tahun 2021 jauh lebih teruk dari sepanjang tahun 2020 walaupun tahun 2021 ini belum pun sampai pertengahan tahun.

Alasan bahawa ini semua kerana kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu sudah tidak masuk akal. Sudah lebih setahun selepas Langkah Sheraton dan upacara tebuk atap, tetapi situasi makin teruk bukannya bertambah baik. Kalau Azmin Ali pernah berkata, “jika PH masih memerintah ramai yang akan mati”, hari ini Tuhan tunjuk pada kita semua lebih lama PN memerintah maka lebih ramai rakyat yang akan mati akibat Covid-19 atau perkara berkaitan yang lain seperti tidak cukup makan, bunuh diri dan sebagainya.

Pelan pemulihan Mahiaddin semalam juga tidak meyakinkan kita semua. Lebih ramai rakyat yang akan mati sama ada sebab Covid-19 atau sebab tiada duit jika perlu tunggu sehingga November untuk 60% rakyat divaksin dan sektor ekonomi dibuka sepenuhnya. Pada masa sama Parlimen terus digantung akibat Darurat dan akan dibuka hanya apabila 40% rakyat divaksin, walaupun hakikatnya yang bersidang di parlimen adalah ahli parlimen yang sudah 100% divaksin bukannya rakyat biasa.

Kerajaan PN mendakwa Darurat digunakan untuk melawan Covid-19, tetapi yang kita nampak setakat ini hanya Parlimen sahaja yang digantung. Kilang-kilang masih juga dibenarkan beroperasi, bank-bank tidak dikerah untuk beri moratorium automatik dan hospital swasta tidak digunakan sepenuhnya untuk membantu mengekang Covid-19. Apa gunanya Darurat jika ia tidak boleh digunakan untuk perkara sedemikian?

Rakyat kebanyakannya sudah hilang kepercayaan pada kerajaan PN, Mahiaddin, Azmin dan konco-konco mereka. Yang menyokong PH dari dulu tidak pernah percaya, yang sokong UMNO pun sekarang makin ramai sudah tidak percaya pada kerajaan PN. Rakyat yang atas pagar juga begitu, kerana mereka bukan lagi atas pagar tapi mungkin dalam liang lahad tunggu dikebumikan akibat pandemik ini. Hanya penjilat BERSATU dan walaun PAS sahaja yang masih buta tuli percaya bahawa inilah kerajaan yang terbaik untuk rakyat.

Maka atas sebab itulah Perbincangan Khas dan keputusan MRR hari ini sangat mustahak seperti tahun 1946 dahulu. Walaupun hari ini kita tidak perlu sampai melilit kain putih di songkok, tapi suara dan rasa resah rakyat adalah jelas dan nyata. Rakyat mengharapkan kebijaksanaan Raja-raja Melayu untuk mengambil tindakan yang betul selaras waadat yang termeterai antara Nila Utama dan Demang Lebar Daun satu masa dahulu.

Komen