Dan terima kasih, jika kamu memahami kenapa saya perlu menggunakan kalimah Allah.
Saya seorang Kristian bermazhabkan Katolik, seperti kebanyakan rakyat senegeri saya di Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Seperti kamu yang berkemungkinan besar lahir Islam, saya lahir sebagai Kristian. Setidaknya begitulah jika kamu tidak terlalu berkira dengan menganggap amalan pembaptisan sebagai syarat sah saya menjadi seorang Kristian bermazhabkan Katolik. Jika itu isunya, sila maklum bahawa saya telah dibaptis ketika belum mencapai umur setahun.
Mungkin seperti kamu juga, saya bukanlah seorang yang warak dalam menjalankan hidup beragama. Tetapi saya mengakui pegangan agama saya, mengakui kewujudan Tuhan bahkan mengiyakan keEsaan Tuhan walapun konsep Esanya Tuhan itu antara kamu dan saya sedikit berbeza. Oh, seperti kamu juga saya merujuk Tuhan dengan nama Allah.
Kisahnya begini, sejak ratusan tahun dahulu apabila pendakwah (atau disebut mubaligh, jika itu pilihan kamu) Kristian merentas hutan belantara dan gunung-ganang Borneo, mereka telah membawa bersama Injil yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu dalam usaha menyebarkan syiar Kristian kepada penduduk natif Borneo. Bahasa Melayu menjadi pilihan kerana kedudukannya sebagai lingua franca di Nusantara juga kerana usaha terjemahan Injil ke dalam bahasa Melayu telah dilakukan sejak tahun 1629 lagi.
Usaha terjemahan yang dilakukan itu melalui proses ratusan tahun lamanya juga sebagaimana ratusan tahun juga Kristian didakwahkan kepada nenek moyang dan keturunan saya. Hanya pada tahun 1958 selepas Malaya merdeka, barulah terjemahan tersebut lengkap dan ia diberi nama Alkitab, sebagai Injil dalam versi bahasa Melayu. Sejak dari itu juga nama Injil tidak lagi digunakan sebaliknya Alkitab menjadi nama rasmi yang kami pakai di gereja-gereja dalam pembelajaran teologi.
Itulah yang saya pelajari dari kecil apabila dihantar mengaji Alkitab sebagaimana kamu dihantar mengaji Al-Quran. Jika saya membelek Alkitab maka ada perkataan-perkataan Inggeris yang diterjemah ke Melayu antaranya Lord ditafsir Tuhan, Kingdom of Heaven ditafsir Kerajaan Syurga dan God ditafsir sebagai Allah. Semua ini saya ketahui sejak pandai membaca atau mengaji pada usia 6 tahun.
Pemahaman agama saya telah terbentuk sedemikian dan berkembang baik sepanjang 18 tahun saya membesar di Sabah. Kemudian apabila saya melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi di Malaya, saya dihujani dua persoalan.
Pertama, soalan sama ada betulkah orang seperti saya masih tinggal di atas pokok. Kedua, soalan kenapa saya Kristian tapi membaca Alkitab atau Injil bahasa Melayu dan percaya pada Allah.
Soalan pertama menyakitkan hati tapi setelah beberapa lama saya melihatnya dari sudut berbeza. Kasihan mereka yang masih fikir saya dan keluarga tinggal di atas pokok kerana tidak pernah sampai ke Sabah walaupun zaman itu sudah ada penerbangan tambang murah seperti Air Asia. Untuk menjawab persoalan mereka, saya hanya jawab rumah saya bukan di atas pokok tapi ayah saya ada berekar pokok kelapa sawit di tanah milik keluarga.
Soalan kedua pula, lebih kepada menyinggung kepercayaan agama saya. Pada saya, Allah itu Tuhan dan Tuhan itu Allah, itu jawapan saya. Tetapi saya kerap dipertikaikan oleh rakan-rakan dari Malaya yang beragama Islam, kenapa mesti mencuri nama Tuhan kami?
Ketika di universiti, kefahaman saya sebenarnya masih cetek tentang isu nama Allah. Seperti yang saya tulis sebelum ini, saya membesar di Sabah dan mempelajari tentang agama anutan saya hasil bimbingan pihak gereja dan ibu bapa. Ketika musim cuti sekolah, adakalanya saya turut serta dalam kem pemuda pemudi Kristian yang dianjurkan oleh keuskupan setempat.
Selama itu jugalah saya didakwah bahawa Allah merujuk kepada Tuhan dalam ajaran Kristian. Inilah didikan agama yang telah diterapkan kepada saya dan penganut Kristian lain di Sabah (dan juga Sarawak).
Saya tidak mahu berhujah panjang tentang maksud perkataan Allah mengikut bahasa Arab, atau kenapa penganut Kristian berbangsa Arab juga menggunakan Allah apabila merujuk kepada Tuhan. Bagi saya, itu persoalan bahasa.
Tetapi dalam persoalan kepercayaan, atau akidah mengikut rakan-rakan Islam saya, saya percaya adanya Allah atau Tuhan, sama seperti rakan-rakan Islam saya yang lain.
Cuma, cara kita mengamalkan kepercayaan itu berbeza. Kamu solat di masjid, saya pula di gereja. Kamu mengaji Al-Quran, saya mengaji Alkitab. Kamu ada konsep Tauhid dalam ketuhanan, saya pula berpegang pada Kesaktian Tritunggal dalam ketuhanan.
Oh ya, konsep Tritunggal inilah yang kerap menjadi pertikaian apabila menafikan Allah dalam kalangan penganut Kristian.
Dan konsep inilah juga yang panjang lebar pernah saya perjelaskan kepada yang kerap bertanya. Tentang bagaimana Kesaktian Tritunggal itu terdiri dari tiga, Bapa (Father), Anak (Son) dan Roh Kudus (Holy Ghost). Tentang bagaimana ketiga-tiga ini adalah sebenarnya keEsaan Tuhan yang mengikut Alkitab dirujuk sebagai Allah. Inilah Tauhid mengikut kepercayaan Kristian.
Tetapi pastilah mustahil menjelaskan konsep sedemikian kepada mereka yang bukan lahir sebagai Kristian atau dibaptis menjadi Kristian seperti saya. Dan itulah yang perlu saya tempuhi selama tiga tahun menuntut di universiti Bumiputera yang hampir 90% diisi oleh mereka berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Jika rantai salib yang saya pakai sudah cukup untuk menjadi isu kerana mempunyai ‘kuasa sakti’ memesongkan akidah mereka yang melihatnya, apalah pula dengan cubaan menerangkan konsep Kesaktian Tritunggal dan kenapa saya merujuk Tuhan sebagai Allah.
Mungkin inilah cabaran beragama minoriti saya kira. Kesudahannya, saya memilih jalan mudah ‘untukmu agamamu, untukku agamaku’. Saya berpegang kepada apa yang diajar kepada saya sejak kecil, bahawa sesungguhnya mereka tidak faham dan itu bukan dosa mereka.
Akan tetapi, saya bersyukur kepada Allah masih ada beberapa rakan Islam lain yang lebih memahami dan menghormati kepercayaan saya. Mereka tidak kisah saya menyimpan senaskhah Alkitab, menyebut nama Allah dalam ibadat saya atau senang melihat saya mengenakan rantai salib.
Dan syukur saya itu lebih besar nilainya pabila diputuskan pula oleh Mahkamah Tinggi bahawa kalimah Allah boleh terus digunakan oleh penganut Kristian. Buat saya secara peribadi, ia seperti memberikan hak beragama kepada saya yang sejak kecil telah dididik dengan Alkitab dan kalimah Allah sebagai Tuhan.
Terima kasih saya kepada mereka, dan selamat sejahtera yang kekal abadi saya zahirkan.
Kerana mereka faham kenapa saya perlu menggunakan kalimah Allah.
Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.