BARU-baru ini saya baca tanpa sengaja akan sebuah novel biografi dari Indonesia berjudul, Perempuan Yang Mendahului Zaman. Pada awalnya, saya membeli buku ini untuk mencukupkan kuota untuk mendapatkan promosi sahaja. Namun, buku inilah yang pertama saya baca dan tidak sangka, setiap patah kata memberikan rasa keterujaan yang luar biasa.
Perempuan Yang Mendahului Zaman menceritakan perjalanan hidup seorang tokoh pendidikan dari tanah Minangkabau, Syekhah Rahmah El-Yunusiyyah. Nama betulnya hanyalah Rahmah dan gelaran Syekhah diberikan oleh Universiti Al-Azhar kepada wanita ini kerana perjuangannya dalam menuntut pendidikan buat kaum hawa.
Sepanjang bacaan ini, saya dibawa menyelusuri kehidupan tokoh ini bermula dari tahun 1900 ketika zaman pemerintahan Belanda. Kemudian, saya juga digambarkan perjuangan tokoh ini menentang penjajahan Jepun dan beberapa penjajah yang lain. Sejujurnya juga, keterujaan dan kekagumaan saya semakin bertambah seiring penambahan muka surat buku ini. Apa yang terlalu diterujakan? Cerita apa yang terlalu dikagumkan?
Wanita Penentang Arus Demi Pendidikan
Umum mengetahui tanah adat Minangkabau menyantuni wanita sebagai ‘orang rumah’. Semenjak kecil, mereka telah diajar untuk menguruskan rumah tangga. Malah, ada dalam kalangan mereka yang telah ditentukan jodoh mereka semenjak awal usia. Perkara ini membuatkan kaum wanita tanah adat itu tidak berpeluang untuk menuntut ilmu.
Atas dasar ini lah, Rahmah bangkit dan melawan arus. Rahmah telah bertekad untuk menubuhkan sebuah sekolah bukan sahaja buat wanita tetapi khas wanita sahaja. Ketika berusia 23 tahun, Rahmah telah meminta izin daripada abangnya yang merupakan pengurus sebuah sekolah untuk mendirikan sekolah semua wanita.
Pada awalnya, si abang kurang pasti dengan usaha adiknya. Namun, setelah diyakinkan dan melihat api-api semangat si adik dalam memperjuangkan pendidikan, si abang bersetuju. Berdasarkan catatan novel ini, pada 1 November 1923, Rahmah mendirikan sebuah sekolah yang dinamakan Diniyyah Puteri Padang Panjang.
Perjalanan membentuk sekolah ini bukanlah satu cerita yang indah. Setiap masa, pasti sahaja ada perkara yang terjadi. Lebih memeritkan, perkara-perkara itu terhasil daripada tentangan orang dalam sendiri.
Namun, asa Rahmah tidak menemui penghujungnya. Semakin dilanda ujian, semakin kuat beliau bangkit. Semakin teruk dikeji, semakin galak dia melawan kembali. Rahmah membuktikan menjadi wanita itu harus dua kali ganda kuat berbanding lelaki jika mahu menuntut hak yang sama diperoleh kaum lelaki.
Mengapa Penguasa Takut Wanita Menjadi Bijaksana?
Selain lelaki, penguasa juga takut sekiranya menjadi bijaksana. Sepanjang membaca kisah hebat ini, berkali-kali saya bertanya, mengapa penguasa takut untuk memberikan wanita pendidikan selayaknya.
Melihat kepada keadaan semasa, wanita sering dimomokkan bahawa setinggi mana pun pendidikan yang mereka ada, akhirnya, mereka akan berada di dapur jua. Lebih mengharukan apabila konsep ini diamalkan oleh negara-negara yang penguasanya adalah Islam. Walhal, ayat pertama Al-Quran yang menjadi pegangan orang Islam adalah berkenaan membaca.
Dalam biografi ini, sekolah Rahmah pernah ditentang oleh penguasa dan penjajah ketika itu. Sekolah ini sering menjadi perhatian dan dihantar ‘spy’ oleh mereka yang tidak suka akan wanita menerima pendidikan. Pernah juga beberapa tenaga pengajar sekolah ini ditangkap atas alasan menyebarkan dakyah yang boleh mencetuskan perbalahan. Walhal, mereka takut seandainya kaum ini menjadi pandai dan akhirnya boleh memerintah tanah mereka sendiri.
Tidak sangka, isu ini rupanya telah wujud sekian lama. Namun, biarpun hampir seabad, masih lagi tidak diselesaikan. Pemikiran dan doktrin bahawa wanita tidak layak memimpin dan menjadi ketua masih mendominasi mereka yang mahu kekal sebagai ketua dan penguasa.
Pendidikan Boleh Mendiamkan Penguasa Yang Pengecut
Ingin melakukan perubahan, kita harus berani. Sekuat mana pun tenaga, tidak mampu dikalahkan dengan ilmu dan bijaksana. Rahmah, figura yang membuktikan melalui pendidikan, mulut penguasa pengecut dapat didiamkan.
Rahmah melihat hanya pendidikan sahaja dapat mengubah bangsa dan kaumnya. Disebabkan oleh itu, beliau berjuang habis-habisan demi sekolahnya. Ketika sekolah yang dibina menggunakan wangnya sendiri tidak mencukupi dana, beliau keluar dari tanah Minangkabau dan menuju ke tanah Semenanjung. Di sana, beliau bergerak menjadi pengajar Al-Quran di istana-istana dan rumah orang besar. Hasil upah, beliau salurkan kepada sekolahnya agar terus tumbuh dan bertahan.
Rahmah melihat hanya dengan kepandaian dan ilmu, seseorang itu boleh mencambah menjadi insan dan manusia. Ilmu juga lah yang menjadikan Rahmah seorang ulamak wanita yang disegani di seantero dunia. Ilmu jugalah yang menjadikan Rahmah seorang komandan pasukan yang berjuang melawan penjajah. Ilmu jugalah yang menjadikan Rahmah menjadi salah seorang ahli dewan dalam menentukan undang-undang buat wanita. Ilmu jugalah yang menjadikan Rahmah berani menentang soldadu tentera dan memerintahkan merek untuk memulangkan perawan-perawan Minangkabau.
Atas dasar ini jugalah, pada pandangan saya, Rahmah terus menerus berusaha untuk mencerdikkan kaumnya. Dalam novel ini, Rahmah pernah menyatakan bahawa negara hanya akan hebat apabila kaum perempuannya diberi peluang pendidikan.
Pada akhirnya, ilmu dan hak untuk menjadi pandai tidak seharusnya diberi kepada satu kaum sahaja. Setiap manusia wajib diberikan peluang untuk belajar dan mencari ilmu. Hanya melalui ilmu, sesuatu tamadun akan menjadi sebuah peradaban yang baik dan mulia. Tanpa ilmu, bangsa itu akan terus hanyut dalam rasa ketakutan dan akhirnya mati dalam kerugian.
Sebagai pengakhiran, perkara yang paling dan akan saya sentiasa kagum akan Syekhah Rahmah ini adalah gelaran Syekhah yang diterimanya. Gelaran tersebut bukan sekadar panggilan semata-mata. Namun, gelaran itu adalah sejarah perubahan yang telah Rahmah lakukan terhadap dunia pendidikan.
Usahanya dalam mendirikan sebuah madrasah untuk kaum wanita sahaja mendapat perhatian ulamak dan pentadbiran Al-Azhar. Selepas melawati sekolah Rahmah di Padang Panjang, Al-Azhar telah membuat keputusan untuk membuka kuliah khas wanita di universiti tertua di dunia itu. Semuanya kerana usaha Syekhah Rahmah El-Yunusiyyah.

Azwar Kamaruzaman merupakan seorang penulis alternatif yang telah menerbitkan beberapa buah novel. Cerpen pertama tulisannya telah diterbitkan oleh Harakah pada usia 10 tahun. Kini, dia berkhidmat sebagai content producer di salah sebuah syarikat kapitalis.