Selain Anwar, Ku Li, Mahathir Dan Juga Hadi

BOLEH agaknya kita berfikir di luar kotak? Bahawa rakyat tidak lagi memerlukan pemimpin-pemimpin berikut untuk memimpin mereka selama seratus tahun lagi; iaitu Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Dr Mahathir dan tentunya Abdul Hadi Awang.

Sudah masa rakyat Malaysia berfikir di luar kotak. Sudah tiba masanya juga ramuan dan kerangka yang digunakan sekarang ini dirungkai dan tidak digunakan.

Salah satu kejutan dan gempa politik yang besar minggu lepas bukanlah penolakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah; dan Majlis Raja-raja Melayu terhadap cadangan darurat oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sudah tentu rakyat menjunjung kasih kepada Tuanku kerana menolak usaha merampas demokrasi daripada tangan rakyat. Langkah Darurat yang intinya adalah helah dan muslihat politikus rakus telah dipatahkan dengan penuh bergaya oleh Langkah Istana Negara. Syukur sekali.

Pun, kejutan dan gempa politik paling besar ialah pendedahan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International Berhad, bahawa beliau memang ada mencadangkan kerjasama bersyarat dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim ekoran rasa tidak berpuas hati dengan layanan diterima daripada Perikatan Nasional (PN). Najib adalah juga Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN). Syarat kerjasama dengan Anwar itu adalah dengan tidak membabitkan parti DAP. Pendedahan ini menarik kerana ia menjelaskan dari mana angka “formidable and convincing” Anwar apabila beliau menemui Al-Sultan Abdullah untuk merebut (kembali) jawatan Perdana Menteri. Hal ini menjelaskan bahawa DAP sebagai pemegang 42 kerusi parlimen sedang dikhianati kiri dan kanan. Ia merupakan resit bahawa DAP dijadikan bola tendangan untuk beroleh gol. Lebih memalukan ialah terdapat dakwaan Zahid Hamidi yang juga berdepan dengan aneka kes mahkamah menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Sokongan-sokongan pemimpin yang terlihat bermasalah dengan dakwaan korupsi dan kleptokrat ini bukanlah sesuatu yang dapat dibanggakan oleh beliau, dan partinya PKR. Malah ia merupakan satu beban.

Gempa dan kejutan itu menjadi tambah melampau apabila terdapat juga khabar angin yang ahli politik veteran, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sedang menghimpun pengaruh dan sokongan untuk ikut berlumba mendapatkan posisi yang sama. Ura-ura ini bertambah kencang apabila minggu sebelumnya, Ahli Parlimen Gua Musang tersebut, diberi perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada hari yang sama Anwar Ibrahim menghadap Tuanku. Ku Li terus meraih perhatian apabila surat beliau kepada Speaker Dewan Rakyat yang menegaskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri hendaklah tidak diremehkan, telah bocor dalam kalangan orang awam. Dalam pada itu Ku Li juga dipercayai sedang meraih pengikut untuk menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin yang menanti masa untuk jatuh. Semua di atas menjadi lebih dramatik apabila foto Ku Li dan Tun Mahathir di kediamannya tersebar merata. Ia menambahkan kekencangan pelbagai spekulasi.

Foto Tun Dr Mahathir bersama-sama Tengku Razaleigh itu memanaskan kembali perbincangan apakah Tun Mahathir, negarawan yang telah memimpin Malaysia sebanyak dua kali berada di belakang ini semua; khusus untuk menidakkan peluang Anwar menjadi Perdana Menteri. Mungkin sahaja Ku Li dan Dr Mahathir, kedua-duanya punya hubungan unik cinta-benci yang panjang sedang beroperasi bersama-sama untuk satu rencana politik yang rapi dan teratur. 17 Oktober lalu, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bikin gempar apabila mencalonkan (lagi) pengerusi mereka Dr Mahathir untuk jawatan Perdana Menteri buat kali ketiga sementara menanti PRU15. Setiausaha Politik Mahathir Abu Bakar Yahya, dipetik sebagai berkata;

“Kami ahli jawatan kuasa penaja parti PEJUANG telah pun memutuskan dengan sebulat suara bahawa Tun M sebagai calon Perdana Menteri bagi menggantikan Perdana Menteri yang ada sementara menunggu pilihan raya umum ke-15 jika negara mahu diselamatkan.”

Di tengah kekalutan tersebut, terdapat suara kecil serak namun kian berkembang, khusus, setelah Muhyiddin diaibkan ekoran cadangan Darurat tidak menjadi kenyataan; bahawa mengapa tidak blok konservatif dan kanan memberi peluang kepada Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Semalaysia menjadi Perdana Menteri (jika) Muhyiddin kelak memang terpaksa berundur. Abdul Hadi meskipun tidak pernah mengucapkan sendiri keinginan untuk menjadi PM, pun, juak-juaknya yang memang taksub ada membayangkan sedemikian. Hadi menamakan rancangan untuk PAS berkuasa itu sebagai satu pendekatan baharu politik PAS iaitu Ta’awun Siyasi. PAS mungkin tidak mempunyai kerusi sebanyak DAP dan PKR di Dewan Rakyat, tetapi dengan jumlah 18 kerusi Parlimen, dan dua buah negeri yang dimenangi, PAS tidak pernah memadamkan hasrat menjadi ‘King Maker’. Hadi menjelaskan pendekatan PAS adalah, pendekatan ‘cooperation’ dan bukan ‘coalition’. Bahawa pendekatan ini konon lebih longgar, tetapi fleksibel, dan dengan itu PAS tidak memutuskan diri daripada ‘perjuangan Islam’. Hadi membanggakan pendekatan ini membolehkan PAS ‘dilamar oleh semua pihak, dipinang oleh semua orang, kerajaan dan pembangkang’.

Masa untuk bernafas seketika. Pastikan oksigen disedut dan tiba ke otak, dan juga mengalir dalam pembuluh darah mengepam jantung.

Semua calon-calon Perdana Menteri di atas tidak wajar lagi dipertimbangkan oleh rakyat sebagai Perdana Menteri. Minta maaf, kalian telah berkhidmat dengan gagasan dan pengorbanan masing-masing. Anwar Ibrahim, 73 tahun; Ku Li, 83 tahun; Tun Mahathir, 95 tahun; dan Abdul Hadi, 73 tahun sudah melampaui batas usia pesara. Jika dilihat dari kaca mata seorang anak dan cucu, mereka sudah sama sekali tidak relevan untuk memimpin Malaysia. Terima kasih. Pintu darurat terbuka untuk kalian.

Malaysia memerlukan pemimpin lain untuk mentadbir negara ini, membawa kita keluar dari kemelut pandemik; dan juga krisis politik yang tiada berkesudahan. Formula cadangan mereka di atas hanya membawa rakyat dalam kitaran yang sama.

Kitaran dan rangkaian tersebut meletakkan kita dalam keletihan. Cukup-cukuplah, rakyat memerlukan udara segar.

Malaysia memerlukan wajah baru, tenaga muda dan darah semangat. Mereka yang lututnya belum lagi terketar, jantungnya kekal berdegup dengan ritma biasa, tidak pernah ponteng parlimen, dan memberi tumpuan kepada masalah negara melebihi kuliah agama dan ikan di kolam. Malaysia memerlukan pekerja untuk rakyat yang boleh menyatukan negara ini dari Perlis sehingga ke Sabah. Seorang pemimpin yang menampilkan wibawa mengatasi kepercayaan agama, warna kulit bangsa, sudi mendengar suara anak muda, meyakini dan memenangkan pandangan wanita, seraya memesrai minoriti tanpa belah bahagi. Malaysia bukan untuk orang Melayu semata, bukan pula untuk orang Islam sahaja, bukan juga untuk orang berusia 70 tahun ke atas. Demokrasi bukan jamuan buffet. Ia harus mewakili semua.

Terdapat beberapa pilihan di luar kotak yang boleh dipertimbangkan oleh Parlimen, dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Antara calon Perdana Menteri yang dapat memenuhi kriteria di atas adalah Mohd Shafie Apdal (63 tahun), yang telah menunjukkan kepimpinan luar biasa. Beliau adalah satu-satunya ahli politik berpengalaman yang dipecat Najib Razak yang masih belum memalitkan diri sendiri dengan onar. Beliau dapat menyatukan rakyat Malaysia, khusus mereka di Sabah dan Sarawak yang kian jauh dari Semenanjung. Masalah dengan Shafie ialah akan ada naratif pihak lawan yang beliau juga ikut menjadi punca kepada kenaikan mendadak angka Covid-19 setelah membuarkan Dewan Undangan Negeri Sabah, yang membuka jalan kepada Pilihanraya Negeri. Drama politik Sabah dituding sebagai penyebab kepada gelombang ganas Covid-19 hari ini. Ini akan menghantui Shafie.

Dr Dzulkefly bin Ahmad, bekas Menteri Kesihatan berusia 64 tahun mungkin dapat dikatakan menyerlah dan selamat untuk diketengahkan sebagai Perdana Menteri di tengah-tengah huru-hara kesihatan ini. Namun demikian, Malaysia juga sedang berdepan dengan reformasi terbantut, dan gelodak ekonomi yang meruncing. Justeru, kebolehan beliau untuk mentadbir dan memimpin negara dalam waktu cemas ini belum cukup mencakup. Sama dalam kategori kabur ini ialah Salahuddin bin Ayub, 58 tahun; bekas Menteri Asas Tani ketika era Pakatan Harapan. Kedua-dua mereka adalah dari parti AMANAH.

Calon lain yang boleh difikirkan ialah Maszlee bin Malik, 45 tahun. Beliau merupakan bekas Menteri Pelajaran di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang kemudian disingkirkan oleh Dr Mahathir dari kabinet. Mengapa beliau diketepikan dari jawatan tersebut masih menjadi tanda tanya. Akan tetapi, penerimaan dalam kalangan masyarakat pendidik untuk beliau boleh dikatakan memberangsangkan. Maszlee mungkin memerlukan pasukan yang kuat di belakangnya untuk menongkah cabaran ketika era kemelut kesihatan dan ekonomi ini. Masalahnya, Maszlee barangkali juga dilihat tidak cukup berpengalaman dalam memimpin dan menyatukan rakyat Malaysia pelbagai kaum dan fahaman.

Selain dari calon di atas, ahli-ahli parlimen wanita seperti Nurul Izzah binti Anwar, 39 tahun; dan Isnaraissah Munirah binti Majilis, 38 tahun boleh dipertimbangkan. Ini untuk mereka yang sering mengangankan Malaysia punya seorang Jacinda Ardern. Akan tetapi masalah dengan politik di Malaysia ialah kepimpinan perempuan belum dilihat punya kaliber. Sebelum ini kedua-duanya tidak pernah atau belum cukup diberi peluang untuk menunjukkan potensi. Nurul Izzah juga misalnya terlihat dibayangi wajah bapanya, sama seperti bayangan Tun Dr Mahathir di belakang Mukhriz bin Mahathir, 55 tahun. Ini juga masalah buat Khairy bin Jamaluddin, 44 tahun yang mana imej ‘tingkat empat’nya ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi, bapa mertua beliau menjawat kedudukan sebagai perdana menteri menjadi buah mulut orang.

Seorang lagi calon yang mungkin dapat difikirkan – sekiranya kita (dalam hal ini juga Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong) berhasrat untuk berfikir di luar kotak – nama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 27 tahun. Beliau juga boleh dipertimbangkan. Beliau adalah pengasas parti MUDA yang belum lagi beroleh kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Saddiq mungkin dilihat mentah, tetapi kemampuan beliau menggerakkan pelbagai parti dan tokoh untuk Undi18 misalnya mendapat tabik hormat daripada semua. Masalah Saddiq mungkin beliau digerhanai wajah Tun Mahathir dan Muhyiddin sebagai bekas mentor politiknya.

Suka tidak suka realpolitik negara ini menuntut seorang Perdana Menteri dalam kalangan orang Melayu. Tiga ahli parlimen DAP dari kalangan Bumiputera malangnya tidak cukup menyerlah berbanding pemimpin mereka yang berbangsa bukan Melayu. Ini menjadi pengajaran untuk DAP agar cepat mengasuh dan menampilkan ahli parlimen Melayu pada masa mendatang. Ini pun jika DAP serius untuk terus bertenaga dalam politik.

Nama-nama di atas adalah nama yang boleh dijadikan pertimbangan selain Anwar, Ku Li, Tun Mahathir dan Abdul Hadi Awang. Untuk Al-Sultan Abdullah memperkenankan sebuah kerajaan minoriti, atau kerajaan perpaduan; baginda memerlukan mereka yang paling kurang berpolitik (less politicking); nama-nama tersebut boleh diapungkan untuk undian. Saya berharap Tuanku yang sedang bersemayam diberi kesempatan membaca rencana ini.

Satu hal yang mengejutkan mengenai Covid-19 ialah bukan sangat mengenai bagaimana ia merubah norma hidup kita selama ini; norma boleh dipelajari. Rakyat memang cepat belajar. Akan tetapi Covid juga nampaknya menolak perubahan politik ke arah jurusan yang sama sekali tidak kita fikirkan.

Persoalannya adalah, siapakah yang terampil didorong Covid-19 ke atas permukaan air yang sedang  membuak di tengah-tengah rakyat karam dan lemas dengan permainan politik Anwar, Ku Li, Tun Mahathir dan Hadi?

Bolehkah kita berfikir di luar dari nama-nama orang tua di atas?

Komen