SEKTOR desa di Malaysia tidak dinafikan antara yang menjadi perhatian dalam negara. Akan tetapi, sektor ini mempunyai pelbagai kekangan dalam pelbagai aspek, dan salah satunya ialah masalah kekurangan tenaga kerja. Setiap jenis industri, termasuklah industri desa memerlukan tenaga untuk menggerakkan dan mengembangkan industri tersebut. Tenaga kerja umpama penggerak kepada fungsi dan struktur ekonomi dan sosial sesebuah industri. Kekurangan tenaga kerja akan sesebuah industri tidak berfungsi dengan elok.
Sekiranya dahulu kita melihat pelaksanaan beberapa dasar dalam memajukan sektor-desa di luar bandar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970-an, dan Dasar Pertanian Negara(DPN) pada tahun 1980-an berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupan dan menggiatkan sektor ekonomi desa di luar bandar, dan lebih penting lagi untuk meningkatkan lagi peluang pekerjaan terhadap masyarakat. Baru-baru ini pula terdapat usaha untuk mengintegrasikan teknologi dengan aktiviti-aktiviti sektor desa terutamanya dalam aktiviti pertanian, dan juga industri kecil dan sederhana(IKS).
Akan tetapi, cabaran yang dialami kini ialah kekurangan tenaga kerja di luar bandar, terutamanya dalam kalangan orang muda seperti yang disebut oleh Timmy Say yang bertarikh 30 Januari 2023 di MalaysiaNow. Kebanyakan yang menggerakkan sektor desa di luar bandar ialah golongan yang sudah berumur, iaitu dari generasi yang menerima pengaruh daripada dasar-dasar tersebut. Golongan muda pada hari ini pula – disebabkan oleh tekanan-tekanan sosial, dan ekonomi moden pada hari ini – kebanyakannya berpindah ke bandar. Bandar dilihat sebagai pusat kemodenan, kestabilan ekonomi, keuntungan, hiburan, kemajuan dan kebebasan. Nilai-nilai sosial sebegini yang dipengaruhi oleh globalisasi telah mempengaruhi anak-anak muda desa untuk berhijrah ke bandar, lagi-lagi pada masa ini golongan muda desa juga terpengaruh dengan budaya moden apabila mereka sendiri boleh mengakses apa-apa jenis maklumat secara atas talian pada hari ini.
Kebanyakan dalam kalangan anak muda pada hari ini sudah tidak berminat untuk menyambung warisan pekerjaan ibu bapa mereka. Mereka sudah ‘maju’ dan sudah ‘moden’. Pekerjaan seperti pertanian, kraftangan dan seumpanya tidak membawa kepada keuntungan yang besar, terutamanya apabila pekerjaan tersebut dilaksanakan di kawasan desa. Kebanyakan anak muda pada hari ini juga sudah tidak lagi mahu bekerja dalam sektor-sektor yang memerlukan kerja keras dan tenaga fizikal yang banyak.
Walaupun dari sisi mereka, benar, zaman sudah berubah dan mereka sendiri perlu pandang ke hadapan ke arah peluang yang lebih baik, tetapi ia akan memberi kesan yang buruk untuk jangka masa yang lama terhadap pembangunan desa. Hal ini membawa kepada brain drain di negara ini iaitu perpindahan kepakaran dari satu kawasan ke kawasan yang lain, dan ini banyak berlaku di kawasan desa. Bukan itu sahaja, jumlah populasi yang sikit di kawasan desa akan menyebabkan struktur masyarakat desa kelihatan longgar dan menyebabkan berlakunya masalah ‘penuaan desa’. Sekiranya tiada kelompok yang mampu menggantikan generasi tua ini, desa akan dipinggirkan, begitu juga dengan sektor ekonominya.
Hal ini juga berbalik dengan persaingan desa dengan bandar. Sedar ataupun tidak, masyarakat moden termasuklah anak muda pada hari ini melihat bandar sebagai tempat mereka memenuhi keperluan-keperluan mereka. Sekiranya dilihat dalam kerangka Hierarki Keperluan Maslow, bandar sudah cukup untuk memenuhi keperluan, kehendak dan juga merealisasikan kehidupan golongan muda. Daripada aspek Fisiologi, Keselamatan, sehinggalah Keperluan Hasrat Diri, ia dapat diperoleh di bandar dengan kelayakan dan kemahiran mereka, malah mereka sendiri dapat akses terhadap hiburan, dan sumber makanan dengan mudah. Di desa pula, ia memerlukan tenaga yang banyak, dan masa yang lama untuk mencapai keperluan dan kehendak mereka. Mungkin pada zaman dahulu ada yang sanggup untuk bergerak dari satu hierarki keperluan kepada satu hierarki keperluan yang lain, tetapi globalisasi, dan kemodenan telah memberikan satu pendedahan dan perubahan gaya hidup dan realiti sosial masyarakat pada hari ini yang lebih dipengaruhi dengan ekonomi yang bersifat neoliberal atau pasaran bebas yang meluas. Dengan kata lain, kita telah didedahkan dan disosialisasikan dengan ‘kesenangan moden’.
Ya, mungkin penulisan yang bersifat ‘sosiologi’ ini kelihatan janggal sekiranya menyebut tentang tokoh psikologi yang berpengaruh, tetapi sedar ataupun tidak, pemahaman psikologi – terutamanya psikologi sosial – dapat membantu kita dalam memahami isu-isu ‘sosiologis’ yang sebenarnya berpunca daripada aktor masyarakat itu sendiri, atau dengan kata lain, individu, atau dalam penulisan ini, golongan muda dalam sektor desa.
Penyelesaiannya? Ramai melihat penerapan teknologi-teknologi moden boleh meningkatkan lagi produktiviti yang terdapat di kawasan desa. Akan tetapi, untuk membangunkan sektor desa dengan Internet Of Things dan AI semata-mata juga tidak memadai. Ia lebih kepada cara kerajaan untuk membentuk sikap masyarakat muda pada hari ini, dan juga dasar yang perlu difokuskan.
Negara kita, sedar ataupun tidak, tidak banyak bergantung dengan bahan mentah tempatan, tetapi banyak bergantung dengan barang-barang import, dan pada masa yang sama meningkatkan kos pertanian dan penternakan pada hari ini. Sebelum kerajaan berbincang tentang penerapan teknologi dalam sektor desa, kerajaan perlu melihat semula peluang-peluang yang baik untuk membangunkan desa serta sektor ekonomi di situ. Mungkin penulisan Timmy Say yang bertarikh 30 Januari 2023 di MalaysiaNow itu boleh dijadikan panduan untuk kerajaan mengambil inisiatif menyediakan banyak lagi peluang pekerjaan dan tingkatkan lagi beberapa institusi pendidikan di desa.
Kerajaan juga perlu membuat inisiatif untuk mengubah persepsi anak muda pada hari ini terhadap sektor desa. Sekiranya kini tanggapan anak muda melihat desa sebagai tempat yang tidak mempunyai peluang pekerjaan, dan pendapatan rendah, kerajaan perlu meningkatkan lagi latihan dan juga kesedaran terhadap teknik-teknik perniagaan yang berkesan di desa, aktiviti kraftangan, dan juga lain-lain dengan menjemput pelatih tempatan yang berkemahiran malah dari luar negara. Tidak dinafikan, anak muda pada hari ini mempunyai sifat rendah diri dan ketidakmandirian dalam menjana pendapatan di desa, kerana telah tertanam dalam pemikiran mereka dengan melihat bandar sebagai tempat untuk meningkatkan taraf kehidupan.
Kerajaan boleh mengambil peluang dengan ‘memasarkan’ sektor desa-tani terutamanya dalam industri agro-pelancongan. Sedar ataupun tidak, untuk mengukur pembangunan sesebuah desa bukanlah dalam kalangan penduduk desa itu sendiri, tetapi pengunjung luar yang mempunyai peranan sebagai ‘pengguna’. Pengguna yang dimaksudkan di sini ialah mereka inilah yang akan melancong ke desa dan membeli produk-produk di kawasan desa-tani. Sekiranya ini dimanfaatkan dengan baik, sudah tentunya ia akan membuka satu ruang pekerjaan yang luas kepada golongan muda. Antara inisiatif baru yang saya kira baik ialah projek rintis SMART VILLAGE di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah(KKDW).
Sekiranya aspek-aspek ini diambil kira dan berjaya dilaksanakan, persepsi anak muda terhadap sektor ekonomi desa-tani akan berubah, dan ini memudahkan penerapan teknologi dan peruntukan terhadap AI, IOT dan seumpanya akan dilihat berbaloi, kerana terdapat keyakinan anak muda akan banyak menyumbang kepada sektor ekonomi desa-tani, malah membangunkan desa-desa di Malaysia yang dilihat semakin lengang dengan perpindahan penduduk desa ke bandar. Sebaliknya, ianya akan dilihat satu pembaziran yang besar.
Akan tetapi, kerajaan juga perlu sedar akan fenomena sosial semasa. Ini disebabkan hanya membuat perubahan dengan mengikut trend-trend sahaja tetapi tidak memahami keperluan asas dalam sektor desa-tani dan juga golongan muda hanya akan membawa kepada pembaziran dan pelaksanaan projek-projek “canggih” yang tidak berjaya.
Ia bergantung kepada kebijaksanaan kerajaan itu sendiri untuk membuat keputusan yang efektif terutamanya dalam menerima dan melaksanakan perubahan yang efektif terhadap sektor desa-tani dalam kalangan anak muda.
(Artikel ini adalah hasil tulisan saudara Hazman Abd Kadir dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.