Sejarah Melayu

Maka titah Seri Teri Buana, “Apa janji yang dikehendaki oleh bapaku itu?”

Maka sembah Demang Lebar Daun, “Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi hambalah ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuan hamba; syahadan jikalau ia berdosa, sebesar-besar dosanya sekalipun, jangan ia difadihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau patut pada hukum syarak”.

Maka titah baginda, “Kabullah hamba. Akan janji bapa hamba?”

Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu?”

Maka titah Seri Teri Buana, “Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa jangan durhaka pada anak cucu hamba, jikalau ia zalim dan jahat pekertinya sekalipun”.

Maka sembah Demang Lebar Daun, “Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu tuanku dahulu mengubahkan dia, anak cucu patik pun mengubahkan dia”.

Maka titah Seri Teri Buana, “Baiklah, kabullah hamba akan wa’ad itu”.

Maka keduanya pun bersumpah-sumpahlah, barang siapa mengubahkan perjanjiannya itu dibalik Allah Subhanahu wa Ta’ala bumbungan rumahnya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Itulah sebabnya maka dianugerah akan Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada segala raja-raja Melayu, tiada penah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagai mana sekalipun besar dosanya, tiada diikatnya dan digantungnya dan difadihatkannya dengan kata yang jahat. Jikalau ada seorang raja memberi aib, itu alamat negeri akan dibinasakan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Syahadan segala hamba Melayu pun dianugerahkan Allah Subhanahu wa Ta’ala tiada pernah durhaka dan memalingkan mukanya kepada rajanya, jikalau jahat sekalipun pekertinya dan aniaya sekalipun.

Seriyesli? Tidak pernah derhaka (atau durhaka) dan memalingkan muka pun tidak? Kalau raja jahat macam syaitan pun tidak boleh?

Ini janji Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun ini, janji apa ini?

Oh, janji orang berkahwin. Seri Teri Buana mahu kahwin sama anak dara Demang Lebar Daun, Wan Sendari namanya, yang cun melecun, tiap-tiap malam pakai Sendayu Tinggi agaknya.

Tapi ceritanya Seri Teri Buana ini cucu-cicit-piut Iskandar Zulkarnain, tersangatlah tinggi daulatnya dan segala kebesarannya yang bersemayam di atas takhta. Dengan mana-mana saja perempuan yang Seri Teri Buana sudah ‘main’, akan terkena kedal si perempuan itu. Tidaklah pula diketahui kedal ini penyakit apa, mungkin AIDS barangkali.

Lalu bila Seri Teri Buana sudah terlihat akan Wan Sendari, yang cun melecun, tiap-tiap malam pakai Sendayu Tinggi, jatuh cintalah agaknya Seri Teri Buana, sudah ‘I Lap U’ kata orang putih.

Teringinlah Seri Teri Buana hendak meng-test akan Wan Sendari, lalu masuklah dia meminang (masuk meminang dulu, benda lain belum boleh masuk lagi, haram!). Gundah gulana hati Demang Lebar Daun dibuatnya, kerna takut akan kedal pula puteri kesayangan intan payung. Lalu bersembah si Demang Lebar Daun, “Jikalau anak patik tuanku peristeri, nescaya kedal ia. Tapi jikalau tuanku mahu berjanji sumpah setia dengan patik, maka sudilah patik persembahkan anak patik ke bawah Duli Yang Dipertuan.”

Dan taa-daa! Dapatlah kita perjanjian seperti di atas, dengan bersaksi Allah Subhanahu wa Ta’ala adanya, walaupun nama Seri Teri Buana lebih kepada nama Hindu dan Demang Lebar Daun kedengaran agak Melayu Proto.

Agaknya, kalaulah ada mesin merentas masa, aku akan hantar Karpal Singh kembali ke zaman lampau, di Bukit Siguntang itu.

Seri Teri Buana : Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa jangan durhaka pada anak cucu hamba, jikalau ia zalim dan jahat pekertinya sekalipun.

Demang Lebar Daun : Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu tuanku dahulu mengubahkan dia, anak cucu patik pun mengubahkan dia.

Karpal Singh : Dey! Apa ini janji-janji? Kalau mahu buat janji mesti buat satu kontrak, mesti cop itu stamp duty!

Demang Lebar Daun : Cis! Siapakah gerangannya tuan hamba ini, rupa tidak seperti Melayu, tapi pandai berbicara Melayu?

Karpal Singh : I am Karpal Singh, I am lawyer. I know what I’m doing!

Seri Teri Buana : Pelik sungguh. Apakah gerangan bahasa yang kamu tuturkan wahai lelaki tua?

Karpal Singh : (Tepuk dahi) Ini tiada sekolah punya oranglah. Saya Karpal Singh, saya peguam, pengerusi DAP, wakil rakyat.

Seri Teri Buana : Wakil rakyat?! Berani sungguh kamu bersuara di depan beta yang berdaulat ini, yang bersemayam di atas takhta dengan segala kebesaran beta?

Karpal Singh : Selepas tahun 1993, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dan satu mahkamah khas ditubuhkan di mana secara jelas menyatakan raja-raja dan sultan boleh dibawa ke mahkamah. Perlembagaan Persekutuan itu telah memperuntukkan sedemikian. Bukan saya yang menentukannya. Saya tahu apa yang saya perkatakan.

Demang Lebar Daun : Tuan hamba Karpal, apa yang tuan hamba katakan ini?

Karpal Singh : Jangan main-main dengan saya!

Seri Teri Buana : Tapi beta memang tidak mahu main dengan kamu. Beta hanya mahu ‘main’ dengan Wan Sendari.

Demang Lebar Daun : Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Patik rasa ada baiknya tuanku diam saja.

Karpal Singh : Ya, you shut up. I will see you in court.

Demang Lebar Daun : Binatang apakah ‘court’ itu?

Karpal Singh : (Tepuk dahi lagi) Tiada sekolah punya orangkah? Court itu mahkamah la. Saya mahu seret ini sultan, raja, maharaja, Rajagopal masuk itu mahkamah, saya mahu saman ini sultan!

Seri Teri Buana : Sungguh berani kamu derhaka kepada beta! Demang Lebar Daun, beta sangat murka, humban lelaki tua ini ke dalam ISA!

Karpal Singh : Over my dead body!

Tulisan Lucius Maximus ini adalah petikan dari buku Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua

blank

Komen