Lebih dua puluh tahun lalu, pesawah padi di Thailand telah didatangi oleh beberapa eksekutif korporat dengan satu cadangan usul yang agak luar biasa.
Apa yang diusulkan ialah agar para pesawah memberikan izin kepada mereka untuk menggunakan batas sawah bagi tujuan penanaman sejenis pokok. Apabila pokok tersebut matang kelak, sekitar tiga hingga lima tahun kemudian, mereka akan membeli pokok-pokok tersebut dari pesawah tadi.
Usul yang diberikan adalah terlalu bagus untuk ditolak. Para pesawah seringkali berdepan dengan situasi tidak menentu seperti harga beras yang turun naik, bencana kemarau, ancaman penyakit padi dan sebagainya. Memberi izin eksekutif korporat tadi menggunakan batas sawah mereka, yang selama ini fungsinya hanya sekadar memisahkan bendang dan sebagai laluan pergerakan, tidak melibatkan sebarang kos atau kerugian. Dan paling utama, para pesawah akan mendapat hasilnya jua melalui jualan pokok-pokok yang ditanam di batas sawah tadi.
Hasil yang sebenarnya boleh membantu memberikan mereka pendapatan alternatif selain dari bergantung pada hasil padi semata.
Kini, selepas 20 tahun berlalu amalan penanaman pokok di atas batas sawah itu telah berkembang pesat melibatkan 1.5 juta pesawah Thailand dan 200 juta pohon pokok kertas. Para pesawah bahkan kini dibayar sewa batas sawah selain bayaran untuk pembelian pokok matang.
Kesemua ini dilakukan oleh syarikat pengeluar kertas, Double A. Di setiap kotak atau bungkusan kertas Double A, tertera ayat “paper from KHAN-NA”. KHAN-NA tadi merujuk khusus pada batas sawah dalam bahasa Thailand.
Idea yang tampak terlalu mudah asalnya, tetapi memberi kesan besar kepada pesawah padi, industri kertas malahan juga alam sekitar itu sendiri. Pokok kertas yang ditanam di Khan-na atau batas sawah memberikan pendapatan alternatif kepada pesawah padi, membolehkan syarikat pengeluar kertas menanam pokok tanpa perlu membuka tanah baharu dan pada masa yang sama memberikan tindak balas untuk positif dalam isu perubahan cuaca dan carbon footprint kesan dari penanaman padi (bijirin beras dikenal pasti sebagai bijirin paling mencemar penghasilannya di dunia).
Apa pengajaran dari Thailand yang mungkin bisa kita bawa ke dalam senario pertanian di Malaysia?
Kata kuncinya ialah, pentingnya tanaman alternatif untuk setiap petani, pekebun atau peladang.
Setahun lalu di Malaysia, mantan Menteri Industri Utama, Teresa Kok pernah dihentam teruk kerana muncul dengan idea penanaman buluh sebagai alternatif pada kelapa sawit. Ramai yang bangkit mempersoalkan kenapa buluh? Buluh bagi mereka, tidak lebih sekadar untuk meriam di bulan puasa dan lemang di bulan raya. Buluh ketika kecil rebungnya dijamah, bila tua dijadikan galah. Itulah tanggapan ramai tentang buluh.
Mudahnya bagi mereka, buluh tidak ada kegunaan komersil. Bila tiada kegunaan komersil, ianya tiada nilai. Buluh tidak sama seperti kelapa sawit yang minyaknya menjadi komiditi pertanian utama dunia. Maka apabila buluh disebut sebagai alternatif pada kelapa sawit, ramai yang ketawa sinis, bukan sedikit yang mencaci.
Yang ramai tidak sedar ialah, saiz pasaran global untuk produk buluh mencecah USD68 bilion pada tahun 2018, hampir sama sahaja dengan saiz pasaran global minyak sawit. Buluh digunakan di dalam pelbagai lapangan industri seperti perabot, makanan, fabrik, kraftangan, kutleri, pembinaan dan eko-pelancongan. Buluh juga dilihat sebagai tanaman masa hadapan, oleh kerana kegunaannya yang pelbagai serta sifat kelestarian dan mesra alam di dalam dunia yang semakin sedar pentingnya melindungi alam sekitar.
Dan apa yang membuatkan buluh alternatif menarik, ianya tanaman yang mudah ditanam dan dijaga. Tempoh matang sekitar tiga hingga empat tahun bermakna masa yang ditunggu untuk buluh dituai adalah singkat. Lebih singkat berbanding kelapa sawit dan hampir sama dengan pokok kertas yang ditanam di batas sawah Thailand sana.
Bayangkan bagaimana jika pekebun kecil sawit diberi ruang dan peluang untuk menanam buluh sebagai tanaman alternatif? Tidak ada lagi kebergantungan 100% pada hasil kelapa sawit dan harganya yang turun naik.
Itulah yang dilontarkan oleh Teresa Kok setahun lalu. Dan selaku menteri ketika itu, beliau hanya menyampaikan idea yang dipersetujui setelah dinasihati oleh penjawat awam yang pakar dalam hal pertanian dan sebagainya. Tanam buluh bukanlah idea tidak masuk akal dari kepala seorang menteri, tapi hasil kajian dan penyelidikan oleh penjawat-penjawat awam yang pakar dalam bidang mereka.
Sayang sekali, setahun lalu idea yang dilontarkan menteri dipersendakan oleh pemimpin politik lain. Pemimpin yang pada hari ini menjawat jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, dan kini bercakap pula hal bulu sebagai tanaman alternatif yang baik. Dan oleh kerana ianya habis dijadikan modal politik, maka rakyat kebanyakan juga turut menumpang kaki mempersenda idea yang muncul setahun lalu, tapi memberikan sedikit pun peluang untuk menilai dengan bijak akal.
Sedangkan jika dinilai secara waras, idea tanaman buluh sebagai alternatif ini tidak kurang hebatnya berbanding kisah Double A dan pesawah padi di Thailand. Bagaimana sesuatu yang asing sebelum ini boleh menjadi penyelamat kepada nasib ribuan pekebun dan petani kecil.
Peribahasa ada menyebut, sedang rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari. Maksudnya masa kecillah diajar jangan ditunggu hingga besar. Atau dalam senario idea buluh tanaman alternatif yang pernah dipersendakan, boleh saja kita kata rebung itu rakyat dan buluh itu pemimpin politik.
Maka didiklah rakyat dengan akal bukan emosi, supaya nanti tidak besar jadi pemimpin politik yang tidak sedar diri ibarat menteri yang pernah mengutuk idea buluh tapi kini mengangkatnya ibarat ia wahyu yang paling agung.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.