Belum genap setahun Langkah Sheraton dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN), nampaknya sudah mula ada bibit perpecahan atau keretakan dalam kerajaan ‘pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’. Semua ini jadi semakin ketara apabila majoriti Bahagian UMNO memilih untuk tidak bersama BERSATU apabila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan kelak.
Ambang perpecahan ini bukan baru tercetus dalam tahun ini. Ia sudah mula kelihatan sejak tahun lalu lagi malahan dalam beberapa bulan kebelakangan, sudah ada percaturan politik yang dibuat oleh tiga parti besar Melayu iaitu UMNO, PAS dan BERSATU. Masing-masing sedang merancang untuk kekal berkuasa dan menjadi pihak paling beruntung dalam hubungan sumbang tiga serangkai atau threesome ini, yang sebenarnya sangat merumitkan.
Untuk memahami kerumitan hubungan threesome ini, ada baik kita letakkan gender kepada pihak-pihak terlibat.
Sebagai pemula, UMNO adalah ibarat seorang lelaki berumur yang banyak pengalaman dan pengaruh. Mungkin berpangkat Datuk, manakan tidak kerana hampir semua pemimpin tertinggi UMNO berpangkat gelaran, kaya dan dihormati ramai.
Kemudian kita ada PAS, yang rasanya sesuai kita sebut sebagai gadis berhijab pujaan hati. Sesuai dengan sifatnya menunggang agama, PAS menjanjikan kesenangan dan kedamaian hidup (dibaca: wang dan kuasa) buat mana-mana lelaki yang mahu memperisterikannya.
Dan akhir sekali adalah BERSATU, juga seorang lelaki tetapi berbeza dengan UMNO, lebih muda dan berani. BERSATU sebagai seorang jejaka tidaklah semewah UMNO dan pengaruhnya juga tidak meluas. Tapi kerana kudrat ia jauh lebih bertenaga berbanding UMNO (dibaca: memegang kuasa utama melalui jawatan Perdana Menteri), BERSATU masih mempunyai daya tarikan tersendiri.
Di antara UMNO dan BERSATU, boleh sahaja kita menganggap mereka ini seperti adik-beradik. UMNO adalah si abang dan BERSATU adalah si adik. Jadi dalam hubungan threesome tadi, si abang dan si adik sebenarnya sedang berebut PAS, si gadis berhijab pujaan hati.
Ini sebenarnya realiti tentang kompleksnya hubungan tadi.
Tentulah, UMNO yang terlebih dahulu melamar PAS melalui wadah politik yang dinamakan mereka sebagai Muafakat Nasional (MN). Pada masa itu, BERSATU masih belum bernafsu terhadap PAS.
Hubungan UMNO dan PAS pada mulanya indah. Bersandarkan kuasa politik Melayu-Islam dan perpaduan ummah, permuafakatan mereka mendapat sambutan dari golongan yang masih tebal dengan fahaman politik perkauman. Tetapi hubungan intim mereka masih belum cukup gah untuk memberikan pasangan ini kuasa politik yang didambakan.
Kemudian muncul BERSATU. Adik UMNO yang dibuang tetapi kini tidak senang dengan idea perpaduan Melayu-Islam yang dibawa oleh MN. Seperti kata orang apabila berdua pasti muncul orang ketiga, BERSATU datang untuk menagih modal politik perkauman.
Langkah Sheraton yang dibuat pada Februari 2020 adalah majlis melamar oleh BERSATU untuk mengajak UMNO dan PAS bersekongkol dalam hubungan sumbang threesome. Sebagai timbal balik, BERSATU menjanjikan kuasa dan wang buat UMNO dan PAS, dua perkara yang membuatkan songkok abang UMNO terbang dan tudung gadis pujaan hati PAS habis tersingkap.
Sejak dari itu hubungan threesome ini berlanjutan kini hampir setahun lamanya. Tapi ia bukanlah hubungan yang lancar tanpa sebarang sengketa. BERSATU yang datang kemudian sebenarnya mempunyai niat lain dan mahu menjadi pihak yang dominan dalam cinta tiga segi tadi.
Cita-cita ini mencapai kemuncaknya apabila Perikatan Nasional (PN) didaftarkan secara rasmi pada Ogos 2020. UMNO enggan turut serta, tetapi PAS yang sudah enak dihidangkan dengan kuasa dan wang menyambut baik lamaran BERSATU dan bersetuju untuk tidur sebantal dalam PN. Ia adalah pukulan besar buat UMNO.
Manakan tidak, UMNO selama ini berharap PAS setia dalam MN bersamanya tetapi kini PAS memilih PN bersama BERSATU. Walaupun MN masih wujud, tetapi ia bukanlah satu gabungan rasmi yang berdaftar tidak seperti PN. Dalam erti kata lain, BERSATU telah memberikan PAS jaminan tempat berlindung ketika UMNO masih belum mampu untuk berbuat demikian.
Langkah BERSATU inilah yang mendatangkan rasa iri hati dan cemburu UMNO apabila melihat PAS kini digomol oleh adik buangan sendiri. Maka timbul ura-ura mengatakan UMNO sedang mempertimbang untuk berpakat dengan parti politik lain kerana merasa tersisih dalam hubungan sumbang threesome tadi. Bagi UMNO, PAS dan politik perkauman Melayu-Islam hanya boleh dipelopori oleh mereka dan bukan oleh BERSATU.
Di pihak BERSATU pula, mereka sedar UMNO tidak pernah akan redha dan sanggup menerima mereka. Maka BERSATU perlu memastikan mereka memenangi hati PAS dan ianya dilakukan dengan tawaran kuasa dan wang dalam bentuk jawatan menteri dan kedudukan dalam GLC. Ini adalah modal BERSATU bagi memastikan PAS terus setia bersama mereka dan mungkin sanggup meninggalkan abang besar UMNO.
Jika kita tertanya siapa yang paling beruntung dalam situasi threesome ini, maka jawapannya pastilah PAS. Dengan UMNO mereka merasa sedap, dengan BERSATU pula mereka merasa puas. Maka tidak hairanlah jika kita boleh andaikan, dalam hubungan threesome itu PAS adalah gadis yang mendapat untung dari mabuk kepayang dan gila bayang oleh si abang UMNO dan si adik BERSATU yang keduanya memerlukan PAS untuk agenda politik perkauman mereka.
Pandai parti lebai.
Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.