KEJAYAAN Morocco (juga disebut Maghribi dalam bahasa Melayu) layak sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2022 telah menarik perhatian ramai. Morocco bukan sahaja menjadi negara Afrika pertama yang sampai ke separuh akhir, tetapi juga negara Arab pertama dan kini telah pun menyamai rekod yang dicipta Turki 20 tahun lalu sebagai negara Islam kedua layak ke separuh akhir.
Perjalanan Morocco ke separuh akhir telah pun menjadi satu kisah epik yang memukau peminat bola sepak seluruh dunia. Dalam bola sepak, tiada siapa yang tidak suka kisah underdogs menewaskan lawan gergasi (melainkan anda penyokong pasukan yang dikalahkan oleh si underdogs tadi). Begitulah juga dengan Morocco.
Bermula dari peringkat kumpulan apabila Morocco mengejutkan Belgium dengan kemenangan 2-0 seterusnya menjuarai Kumpulan F, perjalanan Morocco di Pusingan 16 juga tidak kurang epiknya apabila mereka berjaya mengikat Sepanyol, sebuah pasukan gergasi bola sepak, tanpa jaringan hingga tamat masa dan seterusnya menang penentuan sepakan penalti 3-0. Morocco meneruskan kisah luar biasa mereka apabila menumpaskan Cristiano Ronaldo dan Portugal dalam saingan suku akhir dengan kemenangan tipis 1-0.
Dengan kemenangan luar biasa ini, maka fokus semua peminat bola sepak yang mengikuti Piala Dunia kini terarah ke Morocco, termasuklah para peminat bola sepak di Malaysia. Segelintir dari mereka mengorek sejarah dan apa yang ditemui agak mengejutkan, Malaysia pernah menewaskan Morocco dalam perlawanan bola sepak!
Pestabola Merdeka 1980
Morocco pernah dijemput menyertai kejohanan Pestabola Merdeka yang merupakan salah satu kejohanan bola sepak tertua di Asia. Pada edisi 1980, Morocco merupakan sebahagian dari 8 pasukan termasuk Malaysia, Burma, Indonesia, Korea Selatan, Kuwait, New Zealand dan Thailand yang bersaing dalam Pestbola Merdeka tahun itu.
Kejohanan diadakan secara round robin dengan kesemua pasukan menentang satu sama lain dalam satu kumpulan dimana dua pasukan teratas akan bermain dalam perlawanan penentuan akhir. Malaysia menjuarai peringkat kumpulan dengan empat kemenangan dan tiga seri, salah satu darinya adalah menewaskan Morocco dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Hassan Sani dan Mokhtar Dahari. Morocco pula di tempat kedua peringkat kumpulan hasil empat kemenangan, dua seri dan satu kalah.
Justeru mengikut format round robin Malaysia akan menentang Morocco dalam perlawanan akhir untuk menentukan siapa juara sebenar. Di dalam perlawanan pada 2 November 1980 itu, Malaysia bagaimanapun tewas 2-1 kepada Morocco yang seterusnya dinobat sebagai juara Pestabola Merdeka 1980.
Walaupun tewas dalam perlawanan akhir, kejayaan menumpaskan Morocco dalam peringkat kumpulan tetap menjadi satu pencapaian yang membanggakan. Setidaknya kita boleh mendabik dada bahawa satu masa dahulu, skuad Harimau Malaya pernah mengalahkan Morocco yang merupakan semifinalis Piala Dunia hari ini.
Kehebatan Harimau Malaya
Kejayaan menewaskan Morocco 42 tahun dahulu adalah testimoni kepada kehebatan bola sepak kita di zaman dahulu. Jangan kita lupa pada tahun yang sama dalam edisi Pestabola Merdeka itu, skuad Harimau Malaya juga sepatutnya layak beraksi di Sukan Olimpik 1980 di Moscow tetapi kita menarik diri sebagai langkah protes di atas pencerobohan Kesatuan Soviet di Afghanistan.
Barisan skuad Harimau Malaya pada zaman itu dibarisi oleh Mokhtar Dahari, Hassan Sani, Soh Chin Aun, Santokh Singh, G. Torairaju dan beberapa pemain laig yang merupakan nama-nama lagenda bola sepak Malaysia. Perlu diakui antara 1970 hingga 1980 bola sepak Malaysia berada dalam zaman emas kerana dalam dekad itulah kita layak ke Olimpik dua kali (1972 dan 1980) serta beberapa kali hampir layak ke Piala Dunia.
Kisah-kisah kehebatan ini pernah saya tuliskan sendiri dalam buku Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia yang melakarkan kisah bola sepak Malaysia dalam memburu slot di Piala Dunia.
Malaysia juga pada masa itu bukan sekadar lawan yang setara buat Morocco, tetapi kita juga mampu bersaing sama hebat menentang Arab Saudi, Jepun dan Korea Selatan yang merupakan antara gergasi bola sepak Asia pada masa kini. Kita juga pernah mengalahkan
Kejatuhan Harimau Malaya Dan Kebangkitan Bola Sepak Negara Lain
Entah siapa yang salah, bola sepak Malaysia merudum selepas 1980 dan pada masa sama lawan-lawan kita yang lain terus maju ke hadapan dalam sukan bola sepak.
Hari ini, kita ketinggalan jauh berbanding lawan-lawan setara kita di Pestabola Merdeka dahulu. Morocco, Arab Saudi, Jepun dan Korea Selatan semuanya layak ke Piala Dunia 2022. Walaupun tidak pergi sejauh Morocco, tetapi kita perlu akui untuk layak ke Piala Dunia sahaja sudah cukup hebat dan luar biasa.
Sementara itu, skuad Harimau Malaya masih tercari-cari Piala Dunia pertama mereka. Dahulu dalam Pestabola Merdeka memang kita pernah mengalahkan Morocco atau Jepun atau Korea Selatan. Tetapi itu cerita dahulu. Keadaan sudah berubah. Pestabola Merdeka itu sendiri pun sudah dipandang sepi, mati sendiri.
Lagi 8 tahun, dunia akan meraikan genapnya 100 tahun Piala Dunia dianjurkan iaitu pada tahun 2030. Adakah kita akan berbangga mempunyai skuad Harimau Malaya dalam Piada Dunia itu, atau akan terus kagum dengan kisah hebat negara lain mara sebagai underdogs melawan gergasi bola sepak dunia yang lain?
Masa akan menentukan.

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.