Pada 20 November yang lalu Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg membentangkan belanjawan pengembangan bagi negeri itu dengan jumlah RM13.6 bilion untuk tahun 2024.
Belanjawan itu mewakili peningkatan sebanyak 18% daripada RM11.5 bilion yang disediakan untuk perbelanjaan mengurus dan membangun negeri bagi 2023.
Dari jumlah tersebut, RM9.06 bilion atau 66% diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.
Manakala baki RM4.56 bilion atau 34% pula diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus.
Belanjawan 2024 ini adalah belanjawan pengembangan yang akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan seterusnya akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
Belanjawan itu juga akan terus menyediakan peruntukan kepada sektor utama untuk memacu pembangunan ekonomi dan akhirnya menjadikan ekonomi negeri makmur, teguh dan berdaya tahan.
Tumpuan kepada pembangunan kawasan luar bandar juga akan diteruskan dengan penubuhan sembilan agensi pembangunan wilayah yang berperanan penting dalam memperkasakan masyarakat setempat.
Premier Sarawak juga menegaskan kerajaan Sarawak akan menyediakan bantuan kos sara hidup untuk mengurangkan beban kewangan kumpulan berpendapatan pertengahan, melabur secara bersasar dan terus melaksanakan program dan projek penting untuk manfaat rakyat.
Belanjawan 2024 ini juga adalah belanjawan terbesar yang pernah disediakan kerajaan Sarawak dalam sejarah.
Ia adalah bukti kepada kejayaan Sarawak merekayasa hasil negeri dan berjimat dalam pengurusan kewangan.