Semalam apabila kami mendapat khabar Datuk Seri Salahuddin Ayub sudah pulang ke Rahmatullah, isteri saya bertanya kepada saya.
“Allahyarham lah yang perkenalkan Menu Rahmah tu kan?”
Saya jawab ya.
“Oh, I selalu juga order dan makan kalau kat tempat kerja,” tambah isteri saya lagi.
Jawapan balas isteri saya membuatkan saya tersentak. Barulah saya sedar yang sebenarnya belum pernah lagi saya pesan dan makan Menu Rahmah sejak ia pertama kali diperkenalkan.
Bukanlah sebab saya ini T20 atau M40 Atas. Menu Rahmah itu sendiri pun sebenarnya tidak mendiskriminasi antara miskin dan kaya. Ia terbuka untuk semua. Siapa-siapa yang mahu boleh saja beli tanpa perlu menunjukkan slip gaji.
Tetapi mungkin sebab bekerja di luar Kuala Lumpur dan ada banyak pilihan, berbanding isteri yang bekerja di sekitar KL Sentral dan berdepan dengan kos makan minum yang agak tinggi.
Pun begitu Menu Rahmah ada di seluruh negara, bukan dalam Kuala Lumpur sahaja.
Maka tengah hari tadi buat pertama kalinya saya mencuba untuk pesan dan beli Menu Rahmah buat pertama kali dalam hidup.
Untuk benar-benar menguji Menu Rahmah, saya cuba untuk letak diri dalam keadaan kesempitan.
Saya kumpul duit syiling 20 sen yang ada di rumah, cukup-cukup RM5 yang merupakan harga untuk mana-mana Menu Rahmah.
Kemudian saya keluar ke Mekdi dengan hanya berbekalkan duit syiling 20 sen berjumlah RM5 itu. Saya tidak bawa satu sen pun duit lebih.
Di Mekdi, menggunakan mesin pesanan layan diri saya pesan pakej Menu Rahmah yang ada. Satu Spicy McChicken dan satu Ice Lemon Tea bersaiz kecil. Betul-betul RM5 selepas ditambah 6% cukai perkhidmatan.
Saya pilih untuk bayar di kaunter, kerana saya hanya ada duit syiling.
Apabila juruwang Mekdi minta RM5 dari saya, dengan sedikit segan saya keluarkan selonggok duit syiling sambil berkata “sorry ye saya bayar pakai syiling”.
Juruwang tersebut jawab tidak mengapa dah biasa. Tuhan sahaja agaknya tahu entah berapa pelanggan lain sebelum ini yang bayar dengan selonggok syiling.
Saya dapat pesanan saya sama seperti yang dipamerkan. Spicy McChicken yang lengkap dan Ice Lemon Tea penuh secawan kecil tanpa ais.
Dan pada suapan pertama Menu Rahmah, saya terkenang pada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menu Rahmah yang dicetuskan beliau adalah satu idea yang mudah. Set makan minum pada harga RM5, satu harga yang boleh dikatakan mampu untuk kebanyakan rakyat dan masih boleh mendatangkan sedikit pulangan kepada peniaga.
Namun masih ada yang mempertikaikan Menu Rahmah.
Ada seorang ahli parlimen di Selangor yang mendakwa makanan Menu Rahmah tidak berkualiti dan boleh mendatangkan kanser atau autisme.
Ada pula seorang ADUN di Terengganu mendakwa nasi Menu Rahmah yang dijamahnya tiada rasa sampai perlu dituang air oren untuk menambah perisa.
Bukan sedikit juga yang bersikap pertikaian nasional kononnya Menu Rahmah masih mahal, tidak berbaloi, tidak sedap dan sebagainya.
Kemudian ada yang mempertikaikan jika Menu Rahmah ini lestari atau sustainable.
Untuk itu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin pernah menjawab di Dewan Rakyat:
“Betul ada Yang Berhomat yang berbahas adakah ia boleh sustain. Saya pun tak boleh beri jawapan. Tapi sejauh mana dalam hati rakyat ini ada RAHMAH, ia boleh kekal. Cita-cita saya adalah kalau boleh, RAHMAH ini jadi suatu value. Mungkin sampai bila-bila setiap peniaga atau pun antara kita yang membuka perniagaan yang untung atau pun tidak untung, tapi ada portion daripada perniagaan kita itu kita dah niat untuk bantu orang yang susah. Kalau itu boleh berlaku insya Allah, negara Malaysia ini juga boleh menjadi negara yang penuh kasih sayang.”
Jelas, apa yang mahu dicapai oleh beliau melalui Menu Rahmah ini adalah untuk memupuk sifat kasih sayang sesama kita, untuk bantu orang yang susah.
RAHMAH itu menjadi satu nilai kemanusiaan, bukan sekadar satu program kerajaan.
Hari ini setelah individu yang mencetuskan Inisiatif Payung Rahmah yang salah satunya ialah Menu Rahmah telah pergi meninggalkan kita, ramai yang berkongsi kisah tentang betapa RAHMAH ini telah membantu mereka ketika di dalam kesempitan.
Mekdi Menu Rahmah yang saya pesan dan makan tadi memang terasa lainnya apabila dibayar dengan selonggok syiling lebihan di rumah cukup-cukup RM5. Mungkin inilah yang dirasai oleh mereka yang pernah membeli Menu Rahmah ketika dalam kesempitan sejak ia diperkenalkan.
Nak makan, tapi hanya ada RM5. Syukur ada Menu Rahmah buat mengisi perut yang kosong.
Terima kasih Bapa RAHMAH Malaysia.
RAHMAH jiwanya.
RAHMAH pekerjaannya.
RAHMAH tutur katanya.
Moga diberikan RAHMAH berkekalan di sana jua.
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.