KECOH beberapa hari ini berkaitan dengan program Artikel 11 Jom Ziarah anjuran Impact Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan. Program yang dirangka untuk mendedahkan kepada belia mengenai perbezaan agama yang terdapat dalam negara kita seterusnya diharap dapat menyemai rasa toleransi dan hidup harmoni dan sekali gus membentuk dan menyemarakkan lagi semangat kemajmukan dalam masyarakat kita.
Program murni sebegini telah disalah tafsir oleh segelintirnya hingga ada yang mengatakan bahawa ini adalah agenda untuk “mengkristiankan” belia yang menyertai program ini.
Agak bias buat saya untuk membuat komen, kerana Hannah Yeoh adalah satu figura yang paling saya hormati dan kagumi dalam bidang politik dan saya juga seorang ahli DAP. Namun saya berpendapat bahawa saudara seagama saya yang lain harus bertenang dan berfikiran rasional.
Suhu politik dalam negara kita pasti melonjak naik jika ada isu-isu berkaitan dengan agama dan kaum dimainkan. Tidak hairanlah jika ini senjata kepada sesetengah ahli politik untuk meraih sokongan. Saya tidak risau dengan masyarakat bandar – kerana mereka lebih terbuka untuk menilai. Namun isu begini sangat memberikan kesan kepada masyarakat luar bandar.
Perlembagaan Malaysia telah menjamin kedudukan orang Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini. Tidak ada satu unsur pun yang boleh menggugat jaminan ini kerana untuk mengubah apa sahaja perkara dan fasal berkaitan dengan orang Melayu dan agama Islam, pentadbir negara kita memerlukan perkenan daripada Majlis Raja-raja. Kepada yang acap kali bermain dengan isu ini dengan menyatakan ada sesetengah pihak (baca: DAP) ingin menukar perlembagaan negara kita yang berkaitan dengan orang Melayu dan agama Islam, soalan saya adakah anda memandang rendah dan menghina kebijaksanaan Raja-raja Melayu dan Majlis Raja-raja? Atau anda sebenarnya kurang cerdik dan tidak tahu mengenai syarat ini?
Hannah Yeoh adalah satu figura yang sangat digeruni oleh setiap musuhnya. Wanita kecil molek ini telah beberapa kali memecah rekod kebiasaan dalam negara kita. Beliau merupakan wanita pertama yang dilantik menjadi Speaker Dewan Negeri – satu pencapaian yang sangat besar dalam negara kita. Saya mengagumi Hannah kerana keikhlasan beliau dalam menjalankan tanggungjawab beliau. Saya ambil Hannah sebagai idola dan contoh untuk saya di dalam dunia politik ini.
Namun, seperti menjadi satu dosa buat Hannah dan satu kesalahan kerana beliau beragama (dan juga taat kepada ajaran) Kristian. Saya masih tidak mengerti mengapa agama Hannah dijadikan senjata untuk menyerang Hannah.
Tahun lalu, isu tudung berwarna ungu beliau menjadi hangat. Tahun ini, program anjuran bersama kementerian yang beliau terajui pula menjadi hangat. Ya. Hannah bagaikan punching bag.
Persoalannya kenapa Hannah? Kenapa sesetengah pihak beria menyerang agama dan pegangan hidup beliau? Adakah menjadi satu dosa buat Hannah yang dilahirkan dan dibesarkan dengan ajaran Kristian? Adakah membenarkan penganut Kristian menjadi sebahagian dari negara ini sebenarnya satu kesalahan? Jika persoalan terakhir saya membuatkan anda bersetuju, maka tiada beza antara anda dan rejim Israel.
Sebagai seorang yang beragama Islam, saya malu dengan tindakan segelintir saudara seagama saya. Menyerang peribadi (ya, bagi saya agama seseorang adalah peribadi mereka) bukan ajaran agama kita. Agama kita adalah agama yang penuh dengan kelembutan, hikmah dan kasih sayang. Agama kita juga menyeru kita agar berfikiran rasional. Wahyu pertama yang diturunkan kepada junjungan kita juga menyebut “Bacalah” – yang sedikit sebanyak membawa maksud tersirat untuk menyeru umat Islam agar belajar.
Maka tidak salah pada pandangan saya untuk kita belajar mengenali agama dan bangsa lain. Untuk mendalami cara hidup mereka agar kita boleh mencari satu titik kesamaan yang boleh kita jadikan pedoman untuk kita hidup bersama-sama dalam negara ini.
Saya terbuka dalam meraikan perbezaan dan pada masa yang sama mencari titik persamaan untuk kita hidup lebih sentosa. Sepatutnya kepelbagaian agama dan bangsa ini menjadi kekuatan dan keunikan buat negara kita. Raikan sahaja sahabat-sahabat kita yang berlainan agama dan bangsa – asal saja kita tidak menggadaikan keimanan kita dan kepercayaan tauhid kita kepada Allah swt.
Kita bukan hidup di zaman jahiliyyah yang mana perkataan jahiliyyah itu sahaja sudah melambangkan betapa sempit dan kolotnya pemikiran mereka. Kita kini hidup di zaman teknologi dan zaman yang penuh dengan infomasi.
Satu lagi persoalan saya, adakah iman kita ini sebetulnya senipis kulit bawang sehingga kita terpaksa memerangi agama lain demi kesejagatan agama kita? Adakah kita tidak mempercayai keampuhan ajaran dan pegangan agama kita sehingga kita harus memusuhi setiap manusia yang berlainan agama dengan kita? Saudara ku, sikap begini secara tidak langsung mencerminkan bahawa agama Islam ini adalah agama yang keras sedangkan Islam adalah agama yang praktikal. Allah itu Ar Rahman saudara ku.
Janganlah kita membuat musuh dan memecahbelahkan keharmonian negara ini dengan tuduhan dan sikap acuh tidak acuh kita terhadap bangsa dan agama lain. Perlembagaan Persekutuan telah memberikan jaminan kebebasan beragama kepada setiap rakyatnya namun ia juga ada menyatakan larangan untuk mempengaruhi rakyat beragama Islam untuk menganuti agama lain.
Saya bersolidariti dengan Hannah Yeoh dan pengelola program Artikel 11 Jom Ziarah. Saya menyelar setiap tindakan dan hasutan yang berniat jahat terhadap individu dan kumpulan demi untuk mendapatkan sokongan politik. Sanggup anda menggadaikan keharmonian negara demi matlamat anda. Itulah sebenarnya dosa besar kepada pertiwi ini.
Pernah berkhidmat sebagai pegawai khas parlimen dan dasar kini menceburi bidang korporat. Extrovert. Memasak adalah terapi dan masih single.