Pada 24 November yang lalu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun membentangkan belanjawan lebihan (surplus) bagi negeri itu dengan jumlah RM5.701 bilion untuk tahun 2024.
Belanjawan itu mewakili peningkatan sebanyak 11% daripada RM5.138 bilion yang disediakan untuk perbelanjaan mengurus dan membangun negeri bagi 2023.
Dari jumlah tersebut, RM0.95 bilion atau 17% diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.
Manakala RM4.751 bilion atau 83% pula diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus.
Belanjawan 2024 ini adalah satu belanjawan lebihan dengan nilai sebanyak RM35.87 juta.
Ini berikutan kerajaan negeri meletakkan Anggaran Hasil Negeri pada RM5.737 bilion mengatasi Anggaran Perbelanjaan Perbekalan berjumlah RM5.701 bilion.
Belanjawan 2024 ini dirangka khusus demi membela kesejahteraan hidup rakyat melalui pelaksanaan program pembangunan yang berterusan melalui belanjawan yang bersifat holistik dan inklusif.
Sebahagian besar belanjawan Sabah pada tahun depan akan diagihkan kepada Kementerian Kewangan negeri iaitu sebanyak RM2.48 bilion, diikuti Kementerian Kerja Raya (RM1.03 bilion) dan Jabatan Ketua Menteri (RM712.64 juta).
Selebihnya diagihkan kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan sebanyak RM363.91 juta; Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (RM82.67 juta); Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (RM184.71 juta); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (RM180.13 juta) dan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (RM148.82 juta).
Belanjawan 2024 Sabah dibentangkan dengan tema ‘Sabah Teguh, Rakyat Terbela’.