Rumusan Ucapan Perdana Menteri Di Perhimpunan Agung PBB Ke-78

DUA Jumaat telah berlalu sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Kenyataan Negara dalam pidato sulungnya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78 di New York, Amerika Syarikat.

Mungkin ada yang sudah lupa, tetapi hari ini kita soroti kembali rumusan ucapan beliau dengan mengupas wacana Perdana Menteri terkait empat negara dan tiga isu global lain.

Palestin

Mengenai negara Palestin, Perdana Menteri komited mahu mempertahankan hak-hak negara itu dari terus dirampas oleh Israel selain melahirkan keresahan beliau bahawa pencabulan berterusan akan menghalang kepada penyelesaian Dua Negara yang mampu membawa keamanan berkekalan di Timur Tengah.

Hari ini kita melihat sendiri bagaimana perang kembali meletus di Palestin yang sebenarnya kesan dari dasar apartheid, penindasan dan sekatan oleh rejim Zionis Israel khususnya kepada rakyat Palestin di Genting Gaza.

Israel perlu kembali komited dan jujur dalam menghormati kedaulatan negara Palestin, bukannya mengenakan dasar yang menafikan hak-hak asasi rakyat Palestin.

Afghanistan

Menyentuh Afghanistan, Perdana Menteri melahirkan kebimbangan tentang krisis kemanusiaan yang berlarutan dan menegur penguasa negara itu untuk menghentikan diskriminasi ke atas wanita.

Sejak kembali dikuasai oleh Taliban, kita menyaksikan kehidupan rakyat Afghanistan terus terjejas dan krisis kemanusiaan yang berlaku di sana semakin meruncing. Rejim Taliban juga menafikan hak-hak wanita Afghanistan ke atas pendidikan dan pekerjaan, sesuatu yang sebenarnya sangat bertentangan dengan tuntutan agama.

Myanmar

Mengulas mengenai Myanmar pula, Perdana Menteri menyatakan kegusaran akan ketidakstabilan dan kekejaman di negara serantau itu dan menyeru Myanmar kembali kepada Konsensus Lima Perkara ASEAN.

Konsensus Lima Perkara ASEAN adalah satu persetujuan bersama antara sembilan negara anggota ASEAN dan junta Myanmar pada 24 April 2021, yang menuntut kepada penamatan segera keganasan di negara itu, dialog antara pihak terlibat, pelantikan wakil khas, bantuan kemanusiaan oleh ASEAN dan lawatan wakil khas ke Myanmar untuk bertemu semua pihak terlibat.

Ukraine

Dalam membicarakan isu Ukraine, Perdana Menteri dengan keras mengutuk pencerobohan negara itu oleh Russia dan menggesa penyelesaian damai melalui proses rundingan.

Pandangan ini adalah senada dengan negara-negara lain bahawa penyelesaian konflik Ukraine perlulah melalui proses rundingan yang membawa ke jalan perdamaian. Perang di Ukraine telah berlarutan lama tanpa terlihat penyelesaian yang boleh dicapai melainkan kedua pihak bertelagah kembali ke meja rundingan.

Islamofobia

Perdana Menteri juga menyentuh mengenai Islamofobia. Tindakan pembakaran Al Quran pada pandangan Perdana Menteri sebenarnya adalah satu bentuk rasisme baharu. Ia kononnya dibuat atas nama hak asasi dan kebebasan oleh sesetengah pihak namun adakah kita percaya kebebasan itu juga bermakna sesiapa sahaja boleh menindas atau menghina pihak lain sewenangnya?

Perubahan Iklim

Perdana Menteri juga cakna tentang isu perubahan iklim yang turut melanda negara kita Malaysia. Gejala peningkatan suhu, kenaikan aras laut, musim monsun melampau dan cuaca yang tidak menentu adalah antara kesan dari perubahan iklim yang kini melanda Malaysia.

Justeru komitmen negara maju membantu negara membangun diseru terutamanya dalam penyediaan dana perubahan iklim berjumlah AS$100 bilion untuk digunakan negara membangun dalam mencapai matlamat mitigasi perubahan iklim.

Ekonomi Global

Dalam mengulas ekonomi global, teguran Perdana Menteri adalah terhadap jurang pertumbuhan ekonomi dan pendapatan yang semakin meluas, mengakibatkan kelompok kaya menjadi maha kaya sementara kelompok miskin jatuh fakir miskin.

Ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan kenaikan harga komoditi yang berlaku di seluruh dunia dikenal pasti sebagai punca kepada meluasnya jurang pertumbuhan ekonomi dan pendapatan tersebut.

Kesimpulan

Kenyataan Negara oleh Perdana Menteri di pentas PBB adalah satu pernyataan dasar dan hala tuju negara di bawah rangka kerja Malaysia MADANI. Ia semestinya perlu didukung oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik sebagai satu simbol aspirasi Malaysia dalam persada politik dunia.

Komen