Rumah Panjang Bukit Kiara: Apabila Keadilan Sosial Diutamakan

Ada luka sosial yang tidak berdarah di khalayak ramai, tetapi bernanah dalam ingatan rakyat. Rumah Panjang Bukit Kiara ialah contoh luka sosial itu. Selama 44 tahun, 98 keluarga hidup dalam penempatan yang sepatutnya bersifat sementara, menunggu janji rumah kekal yang tidak kunjung tiba. Pada 15 Jun 2026, penantian itu akhirnya memasuki fasa penyelesaian akhir apabila projek perumahan baharu dimulakan, dengan setiap keluarga bakal menerima dua unit rumah secara percuma dan projek dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Asal usul kisah Rumah Panjang Bukit Kiara bermula daripada sejarah pembangunan Kuala Lumpur yang kadangkala lupa kepada manusia kecil di sebalik nilai hartanah. Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara berasal daripada komuniti pekerja ladang yang dipindahkan ke kawasan TTDI sekitar tahun 1982 selepas ladang asal dijual bagi tujuan pembangunan. Apa yang dijanjikan sebagai penempatan sementara akhirnya menjadi penantian selama empat dekad. Anak-anak membesar, ibu bapa menua, generasi bertukar, tetapi rumah kekal menjadi janji yang tergantung.

Mengapa terlalu lama? Kerana isu ini bukan sekadar soal membina pangsapuri. Ia bertembung dengan tiga kepentingan besar: hak penduduk miskin bandar, kepentingan pembangunan hartanah bernilai tinggi dan usaha menyelamatkan Taman Rimba Kiara sebagai paru-paru hijau. Di sinilah rumitnya. Ada pihak mahu rumah rakyat dibina, ada pihak menolak pembangunan berlebihan, ada pula yang melihat tanah hanya sebagai komoditi. Akhirnya isu ini melalui rundingan panjang, semakan institusi, perbahasan awam dan proses mahkamah sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Namun penyelesaian yang dicapai hari ini penting kerana ia menolak logik lama bahawa rakyat miskin dan alam sekitar mesti dikorbankan demi pembangunan. Di bawah penyelesaian baharu, rumah ganti akan dibina dahulu sebelum penduduk berpindah supaya komuniti asal tidak diusir ke tempat lain. Pembangunan pula dihadkan kepada 5.76 ekar manakala baki tanah diserahkan kepada kerajaan untuk diwartakan sebagai kawasan lapang awam. Audit bersama DBKL, Friends of Bukit Kiara dan FRIM turut dirancang bagi memastikan perlindungan pokok dan alam sekitar dapat dijalankan dengan telus dan terbuka.

Di sinilah peranan Hannah Yeoh wajar dipuji. Sebagai Menteri Wilayah dan Ahli Parlimen Segambut, beliau tidak mengambil jalan mudah dengan memilih satu pihak dan mengabaikan pihak lain. Sebaliknya Hannah memilih jalan yang susah tetapi iaitu merundingkan keadilan. Dari sudut seorang wanita, ini ialah politik penjagaan; politik yang tidak melihat rumah sebagai batu, simen dan geran semata-mata tetapi sebagai ruang membesarkan anak, menjaga orang tua, menyimpan maruah dan meneruskan kesinambungan komuniti.

Kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga penting kerana penyelesaian ini memerlukan keberanian politik di peringkat tertinggi. Kerajaan boleh sahaja berlindung di sebalik alasan teknikal, fail lama, keputusan pentadbiran terdahulu atau konflik pemaju-penduduk. Tetapi Kerajaan Madani memilih untuk menghormati proses undang-undang, menjaga Taman Rimba Kiara dan pada masa sama menunaikan hak penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara.

Inilah wajah kerajaan bertanggungjawab. Bukan kerajaan yang hanya pandai melaungkan slogan, tetapi kerajaan yang menyelesaikan pusaka masalah lama. Pakatan Harapan, melalui kes Bukit Kiara, menunjukkan bahawa Malaysia masih punya harapan cerah apabila kuasa digunakan untuk memulihkan, bukan menindas; membina, bukan merampas; dan memelihara alam, bukan menjualnya kepada kerakusan.

Bukit Kiara akhirnya mengajar kita satu perkara. Keadilan mungkin lambat, tetapi dengan kepimpinan yang sabar, berprinsip dan manusiawi, ia pasti tiba.

Komen