Rukunegara – Prinsip Terjulang, Kepercayaan Terabai

Tahun ini, genap 50 tahun usia Rukunegara yang merupakan ideologi kebangsaan negara kita. Dibentuk pada tahun 1970 sebagai reaksi terhadap peristiwa 13 Mei 1969 dan perlunya memupuk perpaduan kaum antara semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, Rukunegara seperti kebanyakan ideologi lain tidak kebal dari cubaan mengubah ideanya, semangat atau juga matlamat.

Contoh paling ketara perubahan ini boleh kita lihat pada namanya. Kini Rukunegara lebih kerap dirujuk sebagai ‘Rukun Negara’, memisahkan perkataan rukun dan negara yang sebelum ini merupakan satu perkataan sekaligus memberikan satu nama khas buat ideologi kebangsaan negara. Selain dari itu, intepretasi atau mesej Rukunegara juga turut diubah sesuai mengikut selera politik golongan tertentu lalu menghilangkan intipati asal ideologi kebangsaan ini.

Bersempena genapnya 50 tahun, mungkin ada baiknya kita melihat kembali kepada semangat dan idea asal Rukunegara ketika ia mulanya dibentuk pada tahun 1970.

Bagaimanakah idea, semangat dan intepretasi Rukunegara ketika ianya mula dibentuk?

Merujuk pada risalah yang dikeluarkan Jabatan Penerangan, Kementerian Penerangan dan Kebudayaan pada tahun 1970, Rukunegara secara asasnya terhurai pada dua peringkat. Peringkat pertama ialah Kepercayaan yang terdiri dari lima perkara yakni (1) Negara Bersatu, (2) Masyarakat Demokratik, (3) Masyarakat Adil, (4) Masyarakat Liberal dan (5) Masyarakat Progresif. Manakala peringkat kedua Rukunegara pula adalah Prinsip yang juga terdiri dari lima perkara iaitu (1) Kepercayaan kepada Tuhan, (2) Kesetiaan kepada Raja dan Negara, (3) Keluhuran Perlembagaan, (4) Kedaulatan Undang-undang dan (5) Kesopanan dan Kesusilaan.

Peringkat pertama iaitu Kepercayaan merupakan cit-cita yang terkandung di dalam Perisytiharan Rukunegara seperti dalam teks berikut:

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:

 Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; [(1) Negara Bersatu]

Memelihara cara hidup demokratik; [(2) Masyarakat Demokratik]

Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama; [(3) Masyarakat Adil]

Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; [(4) Masyarakat Liberal]

Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden. [(5) Masyarakat Progresif]

Manakala peringkat kedua iaitu Prinsip adalah seperti yang telah dihafal oleh kebanyakan rakyat Malaysia seperti berikut:

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

 KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

KELUHURAN PERLEMBAGAAN

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

KESOPANAN DAN KESUSILAAN

 Dari bentuk Rukunegara yang terdiri dari dua peringkat ini jelaslah ideologi kebangsaan kita menetapkan lima kepercayaan atau cita-cita negara yang hendak dicapai berdasarkan di atas lima prinsip.

Namun, apa yang berlaku selepas 50 tahun sejak Rukunegara dibentuk adalah satu kecenderungan dimana kita lebih menghafal lima prinsip Rukunegara tetapi mengabaikan lima kepercayaan (cita-cita) Rukunegara. Dalam kata lain, jika prinsip ialah kenderaan dan kepercayaan adalah destinasi, bangsa Malaysia ketika ini sebenarnya sedang memandu tanpa arah tujuan. Jika dilihat kembali pada situasi negara ketika ini, memandu tanpa arah tuju ini sangatlah cocok dengan situasi hari ini.

Oleh itu, amat jelaslah perlunya masyarakat hari ini melihat kembali kepada Rukunegara seperti yang dibentuk 50 tahun lalu dan bukannya berpegang pada Prinsip semata-mata. Mudahnya, menghafal dan menghayati lima Kepercayaan atau cita-cita negara kita Malaysia.

 Dalam menghayati Rukunegara, kita perlu keluar dari kepompong lima Prinsip tadi. Malahan keluar dari kepompong prinsip itu adalah wajib kerana lewat kebelakangan ini ada pihak tertentu yang keras berhujah di atas lima Prinsip untuk kepentingan politik mereka. Sebagai contoh, menggunakan prinsip pertama (Kepercayaan kepada Tuhan) untuk menyekat kebebasan beragama, atau merujuk pada prinsip kedua (Kesetiaan kepada Raja dan Negara) untuk menutup sebarang kritikan atau teguran pada pihak istana dan kerajaan. Lupa mereka, kebebasan beragama atau keterbukaan insititusi diraja dan kerajaan terhadap kritikan merupakan sebahagian dari kepercayaan yang termaktub dalam Rukunegara.

Dan pengabaian Kepercayaan inilah yang membuatkan cita-cita negara kita Malaysia dilupakan selepas 50 tahun wujudnya Rukunegara. Cita-cita yang jelas menggariskan sebuah negara yang bersatu merentasi latar belakang kaum dan pegangan agama, masyarakat demokratik yang menjunjung idea demokrasi, masyarakat adil yang tidak melihat pada warna kulit atau tuhan yang disembah, masyarakat liberal yang menerima dan menghormati perbezaan satu sama lain, dan masyarakat progresif yang menggunakan sains dan teknologi.

Ini adalah cita-cita negara kita Malaysia. Rukunegara wujud kerana ini adalah matlamat yang perlu kita capai dalam membina sebuah negara. Ini destinasi kita.

Rumusannya seperti yang telah dinukilkan sebelum ini, berpegang kepada Prinsip semata tetapi mengabaikan Kepercayaan dalam Rukunegara adalah ibarat kita memandu tanpa arah tujuan.

Dan selama mana kita mahu terus berpusing-pusing hingga habis minyak tetapi destinasinya tidak pernah tercapai?

Komen