Ruang Dan Peluang Buat Anwar

LAPAN puluh lima hari telah berlalu sejak Perdana Menteri ke-10 Malaysia, Anwar Ibrahim mengangkat sumpah. Bermakna berbaki lagi 5 hari akan genap 90 hari atau tiga bulan lamanya Malaysia di bawah era kepimpinan Anwar Ibrahim atau lebih mesra dengan jolokan PMX.

Kepimpinan Anwar dalam tempoh tiga bulan ini boleh dikatakan berlaku tanpa sebarang permasalahan. Jika ada pun hanyalah kontroversi perlantikan Nurul Izzah sebagai penasihat pro bono di Kementerian Kewangan yang telah mendapat kritikan nepotisme dari pihak pembangkang. Tetapi secara keseluruhan Anwar menjalankan tugasnya sebagai PMX tanpa berdepan sebarang masalah.

Ia jauh berbeza dengan ketika Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri kali kedua memimpin Pakatan Harapan (PH) dan ianya diwarnai dengan pelbagai kontroversi serta perselisihan.

Ternyata pengalaman Anwar selaku pemimpin kerajaan sebelum dibuang dan juga sebagai pemimpin pembangkang telah membentuknya sebagai seorang ahli politik sejati. Tahun-tahun di penjara juga menjadikan Anwar seorang pemimpin yang bisa berdepan dengan tekanan atau musuh di segenap penjuru.

Namun kepimpinan PMX berlaku dalam waktu yang sukar buat negara. Tidak pernah Malaysia berada dalam keadaan polarisasi yang ketara seperti sekarang dengan isu perkauman dan keagamaan meracuni kewarasan sebahagian dari rakyat.

Anwar memimpin sebuah kerajaan campuran (yang diberi nama Kerajaan Perpaduan) terdiri dari PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lain-lain. Tetapi Anwar sendiri sebagai presiden PH memimpin sebuah blok politik yang hanya berjaya memperolehi 10% undi Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PH sebaliknya menang sebahagian besar dari kerusi dalam PRU15 hasil undian pengundi bukan Melayu pada peratusan sekitar 80%. Ia menjadikan Anwar seorang Perdana Menteri yang diundi oleh kelompok minoriti tetapi kini perlu memenangi hati kelompok majoriti yang asalnya menolak beliau.

Kehadiran BN dan GPS setidaknya memudahkan tugas PMX dalam membawa sebahagian sokongan kelompok majoriti Melayu yang tidak dapat menerima PH ketika PRU15.  Tetapi bergantung harap kepada rakan dalam kerajaan sahaja tidak cukup.

Anwar perlu membuktikan iltizam untuk membela kelompok majoriti Melayu yang masih beranggapan bahawa puak minoriti mahu merampas hak Melayu kesan dari propaganda melampau pada PRU15 lalu.

Tetapi iltizam ini tidak boleh dilakukan dengan Anwar dan kerajaannya mengambil pendekatan bersifat perkauman atau keagamaan. Kerajaan Perpaduan ini, PH khususnya perlu mengelak dari terjebak dalam naratif kaum dan agama yang menjadi mainan pembangkang sejak PRU15 hingga kini.

Sebaliknya, Anwar dan Kerajaan Perpaduan bolehlah memberi fokus kepada nasib golongan miskin dan menunjukkan komitmen untuk membela kelompok marginal ini. Melalui polisi dan tindakan, PMX perlu memperlihatkan keikhlasan beliau membantu rakyat miskin yang majoriti darinya adalah orang Melayu yang tertindas.

Hanya dengan pembelaan sebegini maka taraf hidup golongan miskin dapat diangkat dan seterusnya mengeluarkan mereka dari risiko dipengaruhi fahaman melampau perkauman atau keagamaan.

Madani Sebagai Penyelamat

Gagasan Madani yang dibawa oleh Anwar adalah satu wawasan negara yang adil, saksama dan mengamalkan tata kelola yang cekap. Dalam menghuraikan konsep Madani, PMX menekankan kepentingan pembangunan yang bersifat manusiawi dengan mengutamakan keperluan rakyat.

Agihan kekayaan negara selama ini bersifat berat sebelah, dengan si kaya semakin kaya sedang si miskin bertambah papa kedana. Pembangunan yang dibawa oleh PM-PM sebelum ini walaupun berjaya memajukan negara, tetapi ianya lebih menguntungkan sekumpulan kroni kecil dan golongan kayangan yang terus mewah.

Madani yang dibawa oleh PMX secara prinsipnya dilihat boleh mengubah situasi ini. Anwar sendiri mengakui perlunya pembangunan yang bercirikan keadilan sosial dan memberkati rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Sebuah negara madani haruslah menolak sebarang diskriminasi warna kulit atau kepercayaan sebaliknya bersifat menyeluruh.

Jika PMX komited dalam mengubah Malaysia menjadi sebuah negara madani yang didambakan, maka tidak mustahil gagasan Madani ilham beliau ini boleh menjadi penyelamat agar negara ini tidak terjerumus kepada ekstremisme dan perpecahan.

Kita berharap Anwar melalui gagasan Madani dapat menyedarkan setiap rakyat bahawa perbezaan darjat seperti miskin kaya yang menjadi ancaman kepada kita bukannya warna kulit atau kepercayaan agama.

Dan sehingga kini, dalam tempoh tiga bulan pertama beliau kita dapat melihat PMX sedang berada di landasan yang betul walaupun ianya berliku.

Kita wajar memberikan ruang dan peluang buat Anwar.

Komen