Revolusi Industri 4.0 Dalam Pendidikan

Pada tahun 2030, lebih kurang 10 tahun akan datang, pekerjaan yang ditawarkan belum dapat untuk kita bayangkan pada hari ini seperti mana yang dilaporkan oleh Dell Technologies and Institute for the Future. Malah, McKinsey menjangkakan 800 juta pekerjaan yang dilakukan oleh manusia akan diambil alih oleh mesin automasi tetapi pada masa yang sama, 900 juta pekerjaan baharu akan dibuka kepada rakyat seluruh dunia. Ini bermakna, isunya bukanlah tentang kegusaran terhadap ketiadaan pekerjaan tetapi, adalah mengenai kerelevanan pengetahuan dan kemahiran yang menepati keperluan pekerjaan masa hadapan.

Sebab itulah, Insitusi Pengajian Tinggi harus memastikan bahawa kurikulum yang disediakan serta kursus yang ditawarkan adalah relevan dan mampu mengisi ruang pekerjaan yang diperlukan oleh pihak industri pada masa akan datang. Isunya hari ini, industri kekurangan tenaga kerja. Ironinya, masih ramai mahasiswa yang menganggur dan tidak boleh memenuhi tuntutan industri. Soalnya, mengapa kelompongan ini berlaku dan di mana silapnya kita?.

Pesanan Alvin Toffler bahawa…

“The illiterate of the 21st century will not be those who cannot read and write, but those who cannot learn, unlearn, and relearn”

…ada benarnya.

Pembelajaran Merentas Disiplin

Dalam anjakan Revolusi Industri 4.0, Juan Romo, rektor Universidad Carlos III de Madrid menekankan tentang kepentingan untuk mempelajari ilmu kemanusiaan walaupun kepada bakal jurutera kerana, bagi beliau, pelajar perlu faham tentang kepentingan moral dan etika terutamanya apabila dihimpit oleh ledakan revolusi industri. Bukankah kemajuan dan ketatasusilaan seharusnya bergerak selari? Atau, semakin maju sesebuah negeri, semakin tinggi sifat pentingkan diri.

Malah, kerisauan ini turut dikongsi oleh Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia melalui tulisannya, Revolusi Industri ke-4: Mampukah Menginsankan Teknologi yang menyatakan kebimbangan tentang nilai kemanusiaan yang mungkin merosot apabila manusia gagal menginsankan teknologi, sebaliknya kita pula ‘ditukarkan’ menjadi jentera berautomasi yang mengawal dunia tanpa roh dan hati nurani. Kewujudan Revolusi Industri 4.0 menyebabkan manusia terlalu mengejar kepantasan, kecekapan, kecepatan, kecerdasan dan melupakan soal kemanusiaan, keprihatinan, keadilan, kesejagatan, kemesraan dan kesejahteraan. Aristotle telah lama berpesan kepada kita

“Educating the mind without educating the heart is no education at all.”

Kegusaran ini boleh untuk kita redakan dengan cara kita merobohkan sempadan yang selama ini memisahkan dunia sains dan kesusasteraan sebagaimana yang dilakukan oleh Fakulti Kemanusiaan dan Fakulti Kejuruteraan di University of the Witwatersrand. Universiti ini menawarkan joint undergraduate program  yang menggabungkan aspek keseniaan dan kejuruteraan bagi memastikan bakal graduan tidak mengenepikan nilai kemanusiaan dalam ketaksuban mengejar pemodenan dan pembangunan. Di Malaysia pula, institusi pendidikan seperti International Medical University, Universiti Teknologi Petronas dan HELP University telah mula memperkenalkan kurikulum mengenai data analytics kepada program yang tidak berteraskan ICT seperti perakaunan, perniagaan, pendidikan dan farmasi. Saya mula memahami mengapa Dr Maszlee Malik bersama sama Kementerian Pendidikan Malaysia berusaha untuk menghilangkan garis pemisah antara pelajar sains dan sastera kerana sesungguhnya, kedua-dua elemen ini saling melengkapi.

Pengajaran Dan Pembelajaran Yang Fleksibel

Di era revolusi industri 4.0, pelajar mengimpikan satu ekosistem pembelajaran yang tidak lagi terhad kepada bilik darjah dan pembelajaran secara bersemuka. Sepatutnya, pelajar boleh untuk menelaah ilmu walau di mana pun mereka berada dan tenaga pengajar juga boleh untuk menyampaikan ilmu tanpa perlu menghadirkan diri ke dewan kuliah. Istilah kelas ganti tidak seharusnya dijadikan norma khususnya pada revolusi industri 4.0 kerana pelbagai alternatif yang menggunakan teknologi sebagai platform membolehkan PDP berjalan tanpa perlu bertemu mata. Terma seperti flipped classroom, blended learning tidak seharusnya menjadi bualan semata tetapi perlu dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran sebenar.

Lima tahun akan datang, saya mengimpikan pelajar untuk mengikuti pembelajaran sambil mencicip secawan kopi di Starbucks, menikmati ayam goreng pedas di McDonald’s ataupun sambil menunggu Grab dan KTM kerana percayalah, dalam dunia revolusi industri 4.0, ia membolehkan ilmu untuk ditelaah walau di mana pun kita berada. Bahkan, di sebalik kemunculan virus COVID-19 yang menggerunkan dunia, ada terselit hikmahnya. Kini, kita sedang melihat sistem pendidikan mengalami revolusi apabila guru dan pensyarah sedang giat melalukan pembelajaran secara maya bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan. Maka ada benarnya, adaptasi dan fleksibiliti itu adalah anugerah tidak ternilai daripada Tuhan buat manusia. John Dewey pernah meninggalkan satu pesanan penting untuk kita renungkan bersama.

“If we teach today’s students as we taught yesterday’s, we rob them of tomorrow.”

Kesimpulan

 Sekalipun kita berasa teruja dengan kehadiran teknologi yang membolehkan pendidikan untuk terus berlangsung tanpa mengira tempat dan masa, usahlah dilupa nasib mereka yang kurang berkemampuan dan bukan sahaja tidak mempunyai kemudahan capaian Internet, tetapi juga perlu menggalas beban keluarga. Sejumlah 36.9% pelajar Malaysia tidak mempunyai sebarang peranti elektronik dan figura ini seharusnya menyedarkan kita bahawa walaupun kita berkongsi langit yang sama, jalan cerita, rezeki dan takdir tetap berbeza. Justeru, bersyukurlah dengan fasiliti yang ada dan gunakannya untuk memajukan diri dan bangsa kerana di luar sana, ramai yang mengimpikan untuk mempunyai kehidupan seperti kita. Semoga pendidikan mampu menjadi jawapan kepada kesenjangan, ketidakadilan dan kemiskinan.

Tentang Penulis

Nur Syafiqah adalah siswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan Perakaunan. Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.

Komen