Revolusi Hijab?

Isu kematian seorang wanita yang diuar-uarkan akibat dipukul polis ‘moral’ ketika dalam tahanan kerana tidak memakai hijab dengan sempurna menjadi bahan yang ditunggu-tunggu agen-agen subversif di Iran. Seperti menangguk di air yang keruh, gerombolan yang tidak sebulu dengan kumpulan pemerintah yang rata-rata agamawan itu kini lebih berani mempersoalkan dasar-dasar kerajaan rejim Mullah secara terang-terangan dalam siri rapat dan demonstrasi yang kian merebak ke seluruh negara.

Negara yang dikenali sebagai sebuah negara Islam konservatif berfahaman Syiah pasca Revolusi 1979 itu kini berada di depan pintu kebangkitan hak asasi manusia. Khusus berkait layanan terhadap wanita yang sebelum ini menurut laporan, tidak mendapat perhatian sewajarnya. Bukan sahaja kepada wanita yang tidak berhijab atau tidak sempurna berhijab, malah ada banyak lagi hal-hal yang seakan disenyapkan akibat takut melanggar adab dan ketaatan kepada pemimpin.

Mengenang sejarah kejatuhan dinasti Shah yang turut digelar para penunjuk perasaan sebagai Revolusi Fotostat, ia terjadi apabila rakyat Iran bangkit menentang keluarga Shah yang nyata Pro Barat, dipimpin Ayatollah Khomeini yang ketika itu dalam buangan di Paris, Perancis. Keluarga Shah yang dilindungi ketumbukan sebuah polis rahsia, Savak telah melakukan penculikan serta penyeksaan berleluasa ke atas rakyat, menyasarkan kelompok politik yang membangkang demi menjaga institusi monarki di negara Parsi itu. Pembaziran duit negara, kemewahan melampau keluarga Shah, kebuluran serta manipulasi ekonomi oleh Amerika Syarikat saat itu menjadi bahan buat golongan agama bangkit mengusir semuanya dari bumi Iran.

Kini setelah hampir 43 tahun peristiwa itu berlalu, rakyat kembali melihat sejarah. Bezanya dahulu Iran dikawal institusi beraja, kini golongan ulama yang ditugaskan untuk menjaga hala tuju sebuah negara.

Namun kejadian menyayat hati yang berlaku kepada wanita beretnik Kurdi, Mahsa Amini awal bulan ini umpama ‘minyak’ yang menambah dan mempercepat maraknya api sentimen dan rasa tidak puas hati rakyat Iran kepada pemimpin dan pemerintah sedia ada sejak bertahun-tahun lamanya. Dengan masalah rasuah yang berleluasa, krisis ekonomi, tekanan dari luar khususnya Amerika Syarikat telah menyebabkan kenaikan harga barangan asas serta kadar pengangguran yang sama sekali tidak mendapat perhatian negara. Jelas, rakyat sudah bosan dengan alasan yang diberi, apa lagi setelah pelaksanaan undang-undang yang melanggar hak asasi dan kebebasan, diguna untuk mengunci mulut orang ramai tetapi alat bagi mempertahankan kelompok tertentu.

Situasi di Iran menurut penganalisis Barat adalah kebangkitan rakyat yang bukan semata-mata untuk menuntut keadilan buat mangsa dan keluarga. Malah ia mesej jelas keinginan kepada perubahan secara total dan radikal. Buktinya, rakyat turun ke jalan raya melakukan protes dengan berani, puluhan orang telah terkorban, beratus lagi cedera dan entah berapa ribu lagi yang diperlakukan kasar oleh aparat kerajaan ketika menyertai demonstrasi dan perarakan.

Tatkala suhu penunjuk perasaan di Tehran jauh dari reda, dunia telah bersedia untuk bersolidariti menuntut pembelaan terhadap kezaliman sebuah hegemoni. Namun kepimpinan Iran mengambil jalan pintas dengan menuding jari kepada tangan-tangan ghaib yang disifatkan sengaja menimbulkan kebimbangan ketika negara sedang berusaha membawa pelaku ke muka pengadilan. Tanpa melihat isu secara objektif yang mendasari segala kekalutan, rejim Mullah terus mempertahankan diri dan menutup mata dan telinga kepada kehendak dan kebajikan rakyat yang mahu perubahan dan keadilan.

Jika dahulu rakyat gerun dengan Savak yang terkenal dengan penyeksaan tanpa belas, itu masuk akal. Tetapi pasukan penegak hukum akhlak dan moral, yang sepatutnya lebih berhemah dan menasihat, bukan kekerasan yang sepatutnya diterima ketika menegakkan syiar sesuatu agama. Apa lagi yang dikendali adalah kaum Hawa.

Ironi, tapi itulah yang terjadi. Mungkin ia titik tolak kepada Revolusi Hijab selepas ini.

(Artikel ini adalah hasil tulisan saudara Iqwan Samsudin dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Komen